Anda di sini

Labuan IBFC terus diyakini sebagai pusat kewangan dan perniagaan pilihan Asia

Advertisement
 Mah (kanan) dan Ketua Eksekutif Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarbangsa Labuan (IBFC), Farah Jaafar. Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) yang ditubuhkan 29 tahun lalu terus menjadi pusat kewangan dan perniagaan pilihan di Asia. — Gambar Bernama
JADI PILIHAN: Mah (kanan) dan Ketua Eksekutif Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarbangsa Labuan (IBFC), Farah Jaafar. Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) yang ditubuhkan 29 tahun lalu terus menjadi pusat kewangan dan perniagaan pilihan di Asia. — Gambar Bernama

SINGAPURA: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) yang ditubuhkan 29 tahun lalu terus menjadi pusat kewangan dan perniagaan pilihan di Asia.   

Pusat itu yang menawarkan pelbagai struktur perniagaan dan pelaburan untuk memudahkan urus niaga rentas sempadan, urusan perniagaan dan keperluan pengurusan harta, mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam separuh pertama 2019.

 Labuan IBFC mencatatkan peningkatan jumlah deposit sebanyak 23 peratus dalam sistem perbankan Labuan yang berjumlah US$10 bilion, menerusi 55 pemegang lesen perbankan yang berdaftar dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dalam separuh pertama tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, pusat kewangan tersebut juga digunakan oleh bank-bank Malaysia dan asing untuk memudahkan pertumbuhan pinjaman dan aset berkaitan dengan rantau Asia dengan 62.5 peratus pinjaman dan 48.5 peratus deposit datang dari luar.

“Jelas ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap Labuan IBFC sebagai pusat kewangan pilihan bagi perkhidmatan perbankan berkaitan di Asia,” kata Ketua Pengarah Labuan FSA Danial Mah Abdullah dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama mengenai prestasi separuh pertama Labuan IBFC, di sini.

Menurut Mah, kini terdapat 217 pemegang lesen dalam sektor insurans dan insurans semula di Labuan IBFC dan ‘pertumbuhan ini terus disokong oleh nisbah pengekalan tinggi sebanyak 64.5 peratus berbanding  59.1 peratus pada masa yang sama tahun lepas’.

“Dan dengan premium asing berjumlah hampir 60 peratus daripada semua premium bertulis di Labuan IBFC, ini sekali lagi menunjukkan peranan yang dimainkan pusat kewangan itu dalam menguruskan risiko ekonomi-ekonomi Asia yang sedang berkembang.  

“Sebagai tambahan kepada prestasi unggul kami dalam pengurusan risiko adalah pertumbuhan kami dalam insurans kaptif, apabila empat insurans kaptif baharu diluluskan di Labuan IBFC antara Januari hingga Jun 2019, menjadikan jumlah kesemuanya sebanyak 51 kaptif didaftarkan di pusat kewangan itu setakat Jun 2019,” katanya.

Ini merupakan pertumbuhan 8.5 peratus tahun ke tahun dan adalah tinggi apabila dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pada 2018, iaitu sebanyak enam kaptif diluluskan, katanya.  

Selain itu, beliau berkata kedua-dua sektor pengurusan harta serta sektor digital juga terus berkembang dalam  Labuan IBFC dengan bilangan yayasan mencecah pertumbuhan 178, peningkatan 15 peratus tahun ke tahun, dan bilangan pemegang lesen digital setakat ini berjumlah lebih 20.

“Kita boleh jangka lebih banyak lesen akan dikeluarkan dalam separuh kedua tahun ini,” kata Mah.

Labuan IBFC berjaya mencatatkan pertumbuhan ketara tersebut pada separuh pertama tahun ini meskipun beberapa pelarasan yang perlu disesuaikan terutamanya dengan keperluan ketat ekonomi bagi semua aktiviti berlesen dijalankan di pusat kewangan.

Mah berkata pemain dan penyedia perkhidmatan telah dapat membiasakan diri dengan keperluan baharu itu dan bagi memenuhi keperluan ini, antara lainnya, perlu mempunyai pejabat dengan bilangan minimum pekerja, akan mengambil sedikit masa.

“Perubahan-perubahan ini melibatkan semua Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC), jadi bukan hanya Labuan IBFC yang menjalani perubahan ini, namun kami masih lagi mendahului pusat luar pesisir yang lebih tradisional,” katanya,

Mah menekankan bahawa walaupun Labuan IBFC dianggap sebagai pusat ‘midshore’, banyak keperluan yang diperkenalkan di pusat lain juga selalunya diperlukan juga di Labuan IBFC.

Menyentuh mengenai kesan ke atas Labuan IBFC daripada krisis di Hong Kong, Mah berharap dapat melihat pertumbuhan ekonomi secara holistik di Asia, dan percaya dengan situasi sama-sama menang bagi semua pusat kewangan Asia.

“Pertumbuhan Labuan IBFC konsisten sejak 10 tahun lepas dan kami percaya keseluruhannya terdapat peralihan daripada pelaburan berisiko kepada pelaburan selamat dalam kalangan pengguna IFC di seluruh dunia yang akan terus memberi manfaat kepada Labuan IBFC.

“Juga, penting untuk memahami bahawa IFC sebagai pusat pengantaraan kewangan borong dan perkhidmatan bergantung kepada antara satu sama lain untuk beroperasi dalam pasaran global,” katanya.

Di Asia, terdapat tiga pusat seperti itu, iaitu Labuan IBFC, Singapura dan Hong Kong.

“Justeru itu, anda boleh bayangkan semua ketiga-tiga pusat kewangan itu memainkan peranan penting dalam pengantaraan perdagagan, kewangan dan perniagaan di rantau ini. Oleh itu sekiranya sitiasi di Hong ong terus mencabar, dibimbangi ia akan memberi kesan negatif kepada perumbuhan Asia secara keseluruhannya, dan seterusnya menjejaskan semua IFC di Asia,” katanya.

Pada masa hadapan, Mah berkata beliau optimis dengan keseluruhan tahun 2019 bagi Labuan IBFC sekiranya tiada sebarang keaadan tidak dijangka yang akan mengubah secara drastik situasi ekonomi di dunia dan Asia.

Pada 2018, terdapat 58 setiausaha syarikat - penyedia amanah dan perkhidmatan korporat - di Labuan, peningkata 150 peratus daripada 23 pada 2008.

“Ini merupakan kadar pertumbuhan tahunan 10 peratus. Jadi jelas entiti-entiti ini  percaya dengan pusat tersebut dan berpotensi untuk melabur dan membuka perniagaan di  Labuan IBFC,” kata Mah.

Labuan IBFC yang diisytiharkan sebagai IBFC pada 1 Okt, 1990, menyumbang 51.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diikuti sektor minyak dan gas.

Labuan IBFC kini dianggap sebagai satu daripada IBC terunggul di rantau Asia Pasifik.

Keyakinan terhadap Labuan IBFC kekal kukuh dan pusat itu mencatatkan purata pertumbuhan kira-kira 10 peratus tahun ke tahun dengan lebih daripada 70 peratus daripada syarikat adalah dari Asia.

Pada 1996, jumlah syarikat yang diperbadankan adalah hanya 937, tetapi hari ini, bilangannya berkembang sebanyak lebih daripada tiga kali ganda kepada lebih 15,700 dan lebih daripada 900 institusi berlesen terdiri daripada bank, syarikat insurans dan berkaitan insurans, syarikat amanah, syarikat pajakan dan badan pengurusan harta seperti yayasan dan amanah.  — Bernama

Advertisement