Anda di sini

160 graduan FIC diraikan pada majlis konvokesyen

Advertisement
 Graduan yang mendahului senarai, Chia Kah Fung menerima Ijazah Sarjana Muda Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Pekerjaan daripada Lily sambil disaksikan (dari kiri) Julian dan Tham pada konvokesyen FIC semalam.
TAHNIAH: Graduan yang mendahului senarai, Chia Kah Fung menerima Ijazah Sarjana Muda Eksekutif Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Pekerjaan daripada Lily sambil disaksikan (dari kiri) Julian dan Tham pada konvokesyen FIC semalam.

MIRI: Seramai 160 pelajar Fajar International College (FIC) menerima skrol graduan masing-masing pada majlis konvokesyen kali ke-12 FIC 2019 di sini semalam.

Graduan terbabit terdiri daripada mereka yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Gunaan (1), Ijazah Sarjana Muda Eksekutif Keselamatan (1), Kesihatan dan Alam Sekitar Pekerjaan (8), Diploma Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (1), Diploma Perakaunan (15), Diploma Pengajian Perniagaan (15), Diploma Pengurusan Sumber Manusia (31), Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (87) dan Sijil Pengajian Perniagaan (2).

Majlis penyampaian skrol itu disempurnakan Ketua Eksekutif dan Naib Canselor Wawasan Open University (WOU) Profesor Dr Lily Chan dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif FIC Dr Peter Tham serta Pensyarah Perunding FIC Dr Julian Jolly.

Lily dalam ucapannya mengingatkan graduan agar menghargai majlis graduasi itu yang merupakan antara hari penting dalam kehidupan mereka.

“Hari ini (semalam) adalah hari yang bermakna dan perlu dihargai setiap graduan kerana anda bukan sahaja menamatkan pengajian tetapi turut melangkah ke alam baharu iaitu mencari kerjaya.

“Malah, semangat juang ketika bergelar graduan perlu dikekalkan agar dapat membantu mencari peluang kerjaya nanti, justeru dapat menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan ekonomi.

“Gunakan kepakaran diperolehi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan jika mahu memperluas peluang pembangunan kerjaya boleh memilih membuka institusi pendidikan yang menyediakan kursus berkaitan,” jelasnya.

Malah katanya, ia memerlukan pengetahuan dan kebolehan untuk menjadi lebih kompetitif dalam persaingan persekitaran kerja masa kini.

Terdahulu, Tham berbangga dengan pencapaian graduan terbabit dan yakin FIC memainkan peranan melahirkan graduan berkemahiran profesional serta menyumbang pembangunan sosial.

“Sejak penubuhan FIC pada 1996 dan institusi pengajian tinggi swasta pertama di Miri, kita melahirkan beribu-ribu graduan berkaliber dalam pelbagai bidang perindustrian yang relevan.

“FIC juga adalah pertama dan sehingga kini satu-satunya kolej menawarkan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSH) berjaya mendapatkan Akreditasi MQA, pengiktirafan DOSH dan pengiktifaran IOSH.

“Sehingga hari ini, program diperkenalkan pada 2006 itu masih kekal menjadi pilihan utama kalangan lepasan sekolah,” katanya.

Tambah beliau, Wawasan Open University turut menawarkan kursus-kursus ijazah dalam Perakaunan, Pegurusan Sumber Manusia, Perniagaan dan Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan di FIC.

Majlis itu menyaksikan empat pelajar terbaik dalam kursus masing-masing iaitu Tiong Siew Ping (Diploma Perakaunan), Liliane Supang Poulter (Diploma Pengajian Perniagaan), Grayzella Kendy (Diploma Pengurusan Sumber Manusia) dan Gennieve Awing Pui (Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerja).

Advertisement