Anda di sini

Warga UAE cipta sejarah sebagai orang Arab pertama sampai ke ISS

Advertisement
 Gambar diambil kelmarin menunjukkan                          Burj Khalifa, bangunan pencakar langit tertinggi di dunia, memaparkan imej Mansoori yang mencipta sejarah sebagai orang Arab pertama sampai ke ISS. — Gambar AFP
CIPTA SEJARAH: Gambar diambil kelmarin menunjukkan Burj Khalifa, bangunan pencakar langit tertinggi di dunia, memaparkan imej Mansoori yang mencipta sejarah sebagai orang Arab pertama sampai ke ISS. — Gambar AFP

BAIKONUR: Seorang warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mencipta sejarah sebagai orang Arab pertama sampai ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), selepas beliau dilancarkan dari Kazakhstan.

Pesawat angkasa Rusia yang membawa Hazzaa al-Mansoori dari UAE, yang diiringi Oleg Skripochka dari Rusia dan angkasawan NASA, Jessica Meir, berlabuh kelmarin selepas penerbangan selama enam jam.

Ketiga-tiga angkasawan “memasuki makmal orbit itu dan menyertai enam rakan kru stesen mereka untuk majlis sambutan kru yang gembira pada hari ini”, tweet NASA.

Satu video menunjukkan ketibaan baharu masuk de-ngan kepala dahulu menerusi pintu bulat kecil untuk me-nyertai rakan-rakan mereka yang senyum lebar dan me-nyambut mereka dengan pelukan terapung.

Mansoori, 35, menerima sokongan dari seluruh dunia menjelang apa yang beliau gambarkan sebagai misi “impian”.

Di Dubai, orang ramai berhimpun di Pusat Angkasa Mohammed Bin Rashid untuk menyaksikan pelancaran berkenaan, sambil bersorak-sorai dan menggelar Mansoori seorang wira negara. Ada yang membawa bendera UAE.

Burj Khalifa, bangunan pencakar langit tertinggi di dunia yang ikonik di Dubai, bernyala pada waktu pelepasan.

Mansoori akan meluangkan masa selama lapan hari di ISS dan akan menjadi warga Emiriah pertama dan orang Arab pertama di makmal orbit itu, tetapi bukan Muslim pertama.

Menulis dalam Twitter sebelum pelancaran di pusat angkasa Baikonur, bekas juruterbang dalam angkatan tentera UAE itu berkata beliau “penuh dengan perasaan mulia dan takjub yang tidak dapat digambarkan”.

“Hari ini saya membawa impian dan cita-cita negara saya ke dalam dimensi yang baharu sepenuhnya. Semoga Allah memberikan kejayaan kepada saya dalam misi ini,” katanya.

Sehari sebelum pelancaran, beliau berkata beliau akan merekodkan rutin solatnya di atas ISS dan menyiarkannya kepada orang di Bumi.

“Sebagai seorang juruterbang pejuang, saya sudah bersolat dalam pesawat saya,” katanya, dan menjelaskan beliau ada pengalaman bersolat pada kelajuan tinggi.

Mansoori merancang untuk menjalani uji kaji dan berkata beliau akan membawa makanan Emiriah bersamanya untuk dikongsikan dengan kru lain, yang buat seketika akan berjumlah sembilan orang di ISS.

Di satu persidangan sebelum penerbangan, Meir, 42, berkata kru berkomunikasi dengan menggunakan ‘Rung-lish’ – campuran bahasa Rusia dengan bahasa Inggeris.

“Kami masih perlu memperbaiki bahasa Arab kami,” kata wanita itu sambil bergurau.

Paderi Ortodoks Rusia memberkati pesawat angkasa berkenaan menjelang pelancaran, dalam upacara sembahyang tradisional yang sering diadakan sebelum pelancaran roket Rusia.

Pesawat angkasa itu me-rupakan yang terakhir untuk dilancarkan dari landas pelancaran di mana kosmonaut Soviet Yuri Gagarin berlepas ke ruang angkasa di atas pesawat angkasa Vostok 1, seterusnya menjadi manusia pertama di angkasa lepas pada 1961.

Mansoori dijadual kembali ke Bumi bersama Nick Hague dari NASA dan kosmonaut Rusia, Alexey Ovchinin, pada 3 Oktober.

Skripochka dan Meir akan kekal di ISS sehingga musim bunga tahun 2020.

Orang Arab pertama di angkasa lepas adalah Sultan bin Salman Al-Saud dari Arab Saudi, yang menyertai misi pesawat Amerika Syarikat pada 1985.

Dua tahun kemudian, juruterbang tentera udara Syria, Muhammed Faris, meluangkan masa seminggu di atas stesen angkasa Mir milik Soviet Union.

Sebagai sebahagian daripada rancangan angkasanya, UAE turut mengumumkan matlamatnya untuk menjadi negara Arab pertama yang menghantar perayau automatik, yang dinamakannya sebagai ‘Hope’, untuk mengelilingi Marikh menjelang 2021.

ISS – contoh unik bagi kerjasama di antara Rusia dengan dunia Barat – sudah mengelilingi Bumi pada kelajuan kira-kira 28,000 kilometer sejam sejak 1998.

Rusia bertekad untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri angkasa, khususnya bagi penerbangan angkasa yang dikendalikan oleh manusia. — AFP

Advertisement