Anda di sini

KWJF 2019: Ning sukar lelap, tidak sabar nak beraksi

Advertisement
 Edwin (lima kiri) dan Gracie (enam kiri) bersama Ning Baizura dan artis lain yang akan muncul di pentas KWJF 2019.
JAZZ: Edwin (lima kiri) dan Gracie (enam kiri) bersama Ning Baizura dan artis lain yang akan muncul di pentas KWJF 2019.

KUCHING: Disebabkan terlalu teruja hendak melakukan persembahan di pentas Festival Jazz Tebingan Kuching (KWJF) 2019, Ning Baizura berkata beliau agak sukar melelapkan mata pada malam Rabu.

Penyanyi jazz itu akan muncul pertama kali menerusi KWJF 2019 bersama kumpulannya di Dewan Masyarakat MBKS di sini, pada malam ini (Jumaat).

“Sukar hendak lena mungkin tidak sabar hendak melakukan persembahan di hadapan penonton dan bersama menghayati muzik jazz yang akan saya bawakan,” katanya pada sidang media KWJF 2019 di sini, semalam.

Menurutnya, Borneo terutama Sarawak dan Sabah amat dekat di hatinya dan menganggap ia kampung halaman sendiri kerana ketenangannya.

“Tidak sabar lagi hendak berjumpa dengan penonton dan bersama menghayati muzik jazz.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi tetapi berusaha untuk memberikan persembahan yang terbaik,” ujarnya.

Beliau akan bersama artis lain menghiburkan peminat jazz pada 27 dan 28 September.

Artis lain - Harvey Malaihollo (Indonesia), Sitti Navarro (Filipina), Dave Brewer & The DooDaddies (Australia), Dawn Wong & The Shanghai Club (Singapura), Z Yan (Malaysia), Ushera (Malaysia), Saxx In The Citty (Indonesia), Xanaduduo (UK/Sarawak), Q Sound (US/Malaysia), Nisa Addina (Sarawak), Swaiv (Sarawak) dan The Fingerprints (Sarawak).

Sementara itu, Kurator Festival KWJF 2019 Gracie Geikie berkata peminat Ning wajar merebut peluang menyaksikan persembahan artis itu menerusi festival yang tahun ketiga diadakan ini.

“Berbanding membeli tiket kapal terbang untuk menyaksikan persembahan Ning di Kuala Lumpur, inilah peluang untuk menyaksikan Ning di Kuching,” ujarnya.

Beliau yakin perubahan lokasi berbanding pada asalnya di Tebingan Kuching, tidak akan menjejaskan sokongan peminat jazz.

Lokasi ditukar ekoran jerebu, meskipun sudah reda, tetapi penganjur jelasnya enggan mengambil risiko kesihatan para pengunjung dan tetap kekal dengan mengada-kannya di Dewan Masyarakat MBKS.

“KWJF sudah mempunyai penonton tetap. Mereka membantu mempro-mosikan KWJF menerusi media sosial secara sukarela,” katanya.

Penganjuran itu bukan sekadar soal muzik, jelasnya, tetapi bermatlamat mempromosikan Kuching dan Sarawak sebagai destinasi pelancongan.

Hadir sama adalah Timbalan Pengurus Besar Sektor Komersial SEDC Edwin Abit.

  • oleh
  • Advertisement