Anda di sini

Gempa bumi gegar Ambon, Indonesia

Advertisement
 Bangunan pasar tradisional musnah selepas gempa bumi berukuran 6.5 melanda                    Ambon di Kepulauan Maluku, Indonesia semalam. — Gambar Antara Foto/Reuters
MUSNAH: Bangunan pasar tradisional musnah selepas gempa bumi berukuran 6.5 melanda Ambon di Kepulauan Maluku, Indonesia semalam. — Gambar Antara Foto/Reuters

KOTA AMBON: Empat orang terkorban selepas gempa bumi kuat melanda kepulauan Maluku yang terpencil di Indonesia semalam, memusnahkan rumah dan menyebabkan tanah runtuh yang menimbus sekurang-kurangnya seorang mangsa.

Penduduk yang ketakutan lari ke tengah jalan manakala bangunan tumbang di sekeliling mereka selepas gempa berukuran 6.5 berlaku sekitar jam 8.45 pagi waktu tempatan.

Dua orang maut selepas ditimpa puing yang tumbang, seorang mati selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh manakala seorang wanita maut selepas dia terjatuh dari moto-sikalnya ketika dia cuba lari ke kawasan lebih tinggi, kata agensi mitigasi bencana negara Indonesia dan pejabat pencari dan penyelamat tempatan.

Orang di Ambon, sebuah bandar dengan kira-kira 400,000 penduduk, kelihatan membantu penduduk yang cedera dengan baju berlumuran darah, manakala gambar menunjukkan rumah rosak dengan dinding yang runtuh dan puing yang bertaburan di atas tanah.

Beberapa pesakit lari dari sebuah hospital tempatan apabila gempa berlaku, yang mendorong pegawai untuk menyediakan tempat perlindungan sementara di luar bangunan tersebut, kata seorang pegawai.

“Impak dirasai di seluruh kota Ambon dan kawasan sekitar,” kata Rahmat Triyono selaku ketua bahagian gempa bumi dan tsunami di Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia.

“Ramai orang terjaga dari tidur disebabkan oleh gegaran. Ia rasa seperti sebuah trak yang sedang lalu.”

Jabatan Survei Geologi Amerika Syarikat berkata gempa itu berlaku kira-kira 37 kilometer ke timur laut Ambon di wilayah Maluku pada kedalaman 29 kilometer.

Kawasan itu mengalami sekurang-kurangnya 24 gegaran susulan termasuk satu yang berukuran 5.6, kata Triyono.

Seorang pemberita AFP di Ambon menceritakan tentang suasana yang panik apabila orang ramai lari dari rumah mereka ketika gempa melanda.

“Saya sedang tidur bersama keluarga saya apabila tiba-tiba rumah mula bergoyang,” kata seorang pemberita AFP di Ambon.

“Gempa itu amat kuat. Kami lari dari rumah kami dan melihat jiran kami juga sedang lari. Semua orang panik.”

Arkitek Suryanto Soe-karno berkata sebuah tapak pembinaan di mana dia dan pekerjanya bekerja telah digegarkan oleh gempa.

“Ia adalah gegaran yang amat kuat,” katanya kepada AFP.

“Almari fail tumbang dan pekerja saya lari untuk menyelamatkan diri. Ada yang cedera tetapi syukur kepada Tuhan, hanya luka ringan.”

Laporan awal menyebut gempa berlaku di luar pesisir, tetapi kemudian analisis mendapati ia berlaku di darat, seterusnya meningkatkan lagi potensi bagi kerosakan, menurut agensi mitigasi bencana negara Indonesia.

Ketua tempatan BMKG, Oral Sem Wilar, meminta semua bertenang.

“Orang panik dan mula pindah di beberapa tempat, tetapi kami cuba memberitahu mereka bahawa mereka tidak perlu panik kerana tidak ada ancaman tsunami,” katanya kepada AFP.

Kepulauan Asia Tenggara itu merupakan salah sebuah negara paling cenderung mengalami bencana di Bumi.

Ia mengalami aktiviti gempa bumi dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di ‘Lingkaran Api’ Pasifik, di mana dataran tektonik bertembung.

Pada Ogos lalu, lima orang maut dan beberapa lagi ce-dera selepas gempa bumi bawah laut yang kuat meng-gegarkan Pulau Jawa yang mempunyai ramai penduduk di Indonesia.

Pada tahun lepas, gempa bumi berukuran 7.5 dan tsunami yang menyusul di Palu, Pulau Sulawesi, menyebabkan lebih 4,300 orang mati atau hilang.

Kekuatan impak me-nyaksikan seluruh kawasan kejiranan diratakan oleh pencecairan – proses di mana tanah mula berkelakuan se-perti cecair dan menelan tanah seperti pasir jerlus.

Hampir 60,000 orang masih tinggal dalam penginapan sementara hampir setahun selepas dua bencana tersebut, kata Persatuan Palang Merah pada minggu ini.

Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.1 yang kuat berlaku di perairan pantai Suma-tra dan mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di rantau sekitar, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia. — AFP

Advertisement