Anda di sini

‘Apai’ bakal bimbing skuad SUKMA Sarawak

Advertisement
 Abdillah (tiga kiri) bersalam dengan Ahmad Fairuz sambil disaksikan (dari kiri) Abdul Ajis, Phillip dan Ahmad Rodzli.
KEYAKINAN: Abdillah (tiga kiri) bersalam dengan Ahmad Fairuz sambil disaksikan (dari kiri) Abdul Ajis, Phillip dan Ahmad Rodzli.

KUCHING: Bekas jurulatih skuad bola sepak SUKMA Sarawak 2018, Ahmad Fairuz Yunus sekali lagi diberi kepercayaan untuk membimbing skuad bawah 23 tahun negeri bagi menghadapi kempen SUKMA 2020 di Johor.

Pelantikan Ahmad Fairuz atau mesra dengan panggilan ‘Apai’ diumumkan oleh Pengerusi Skuad Piala Presiden Sarawak 2020, Abdillah Majid pada sidang media di sini semalam.

Menurut Abdillah, Ahmad Fairuz juga akan membimbing skuad Piala Presiden Sarawak bagi musim depan.

“Pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) sebulat suara melantik Ahmad Fairuz untuk membimbing skuad Piala Presiden 2020 di mana beliau juga akan mengetuai skuad SUKMA 2020.

“Untuk barisan jurulatih lain, kita akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi memutuskan senarai lengkap sebelum mengumumkannya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fairuz berterima kasih dengan pihak FAS dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) kerana memberinya peluang untuk sekali lagi membimbing skuad Piala Presiden dan SUKMA Sarawak.

Menurut beliau, pemilihan pemain akan dilakukan dengan mengadakan jelajah di seluruh negeri bermula Oktober ini.

“Kita akan melakukan pemilihan pemain secara awal kerana tidak mahu masalah kelewatan seperti pada 2018 berulang lagi.

“Selain itu, kita juga akan menyertai pertandingan seperti K-League LSC 2019 untuk mencari pemain yang berkualiti dan berpotensi,” katanya.

Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan SSC, Ahmad Rodzli Hashim pula memberitahu pihaknya sentiasa komited dalam membantu FAS untuk meningkatkan martabat bola sepak negeri.

Hadir sama Naib Presiden FAS Philip Jabu dan Abdul Ajis Kon Ghazali.

  • oleh
  • Advertisement