Anda di sini

Pertunjukan ‘Spirit’ Alena Murang di Kuching pada 24 Oktober ini

Advertisement
 Alena Murang akan membawakan ‘Spirit’ kepada Kuching Oktober ini. — Gambar oleh Adam Lewis
AKAN DATANG: Alena Murang akan membawakan ‘Spirit’ kepada Kuching Oktober ini. — Gambar oleh Adam Lewis

KUCHING: Pemain sape wanita, Alena Murang bakal mengadakan pertunjukan terbarunya ‘Spirit’ pada 24 Oktober ini bermula jam 8.00 malam bertempat di Auditorium Chemsain di sini.

Alena yang juga vokalis dan aktivis budaya akan ditemani kumpulan muziknya yang terdiri daripada Joshua Maran (pemain gitar, penerbit dan pengarah muzik), Derrick Show (pemain dram) dan Jonathan Wong (gitar stail jari) serta Sharifah Nur Hannah (pengurus produksi).

‘Spirit’ adalah perkongsian muzik dan cerita masyarakat Kelabit  yang dikumpul oleh Alena sendiri dari masyarakat tersebut.

“Mempelajari sape daripada Mathew Ngau telah penuh dengan cerita masa kecilnya, bagaimana beliau mempelajari sape serta kehidupannya di Long Simayang yang saya kunjungi,” kata Alena.

Perjalanan Alena membawa beliau ke Ulung Palang, Bario di mana Alena belajar lagu mengenai pembinaan semula selepas sebuah kampung musnah.

Di Long Banga, Alena belajar bermain alat muzik dipanggil Lutong daripada salah seorang pengamal terakhir.

Seorang lagi pemuzik tradisional mengajar Alena pagang dan memainkan lagu selepas pemburuan badak sumbu.

Di Bario Asal, Alena belajar lagu Kelabit lama mengenai pahlawan purba bernama Agan Tadun dan isterinya Dayang.

“Saya belajar cerita lama dari Tepu Malian Long Peluan. Cerita ini adalah sejarah rakyat di sana. Beliau juga berkongsi mengenai kehidupannya sebagai penghulu dan amalannya sebagai artis,” katanya.

Dilahirkan di Kuching berdarah Kelabit dan Inggeris-Itali, Alena belajar di Sekolah Perniagaan Manchester sebelum berpindah dan bekerja sebagai perunding pengurusan pada 2011.

 Alena dan guru sapenya, Matthew Ngau. — Gambar oleh Tong
MENTOR: Alena dan guru sapenya, Matthew Ngau. — Gambar oleh Tong

Alena kemudiannya menyambung pengajian dalam Seni Visual di Kolej Seni La Salle di Singapura pada 2014.

Selepas memulakan pengajian sape pada 2002 dengan Mathew Ngau, Alena memulakan kerjaya sebagai pemain sape profesional pada 2014 dan telah membuat persembahan di peringkat antarabangsa.

Untuk tiket bagi menyaksikan pertunjukan ‘Spirit’ oleh Alena boleh hubungi 019-4892038 atau emel kepada [email protected].

Pertunjukan ini adalah sebahagian daripada What About Kuching 2019 dan untuk maklumat lanjut atau memuat turun kalendar, kunjungi aboutkuching.com.

Buku program juga boleh didapati secara percuma di Kuching dan untuk maklumat terkini temui WAK pada Facebook, Instagram dan Twitter dibawah @aboutkuching.

Advertisement