Anda di sini

Alkisah sama rendah di Samarinda

 Menikmati makan malam di sebuah kafe di kawasan perbukitan, berlatarbelakangkan pemandangan malam kota Samarinda.
PANORAMA MALAM: Menikmati makan malam di sebuah kafe di kawasan perbukitan, berlatarbelakangkan pemandangan malam kota Samarinda.

Miliki kekuatan, daya dukung tersendiri sebagai pemangkin ibu kota negara baharu Indonesia

SATU malam meniduri Kota Samarinda tidak cukup untuk mengorek segala rahsianya. Ia menyimpan kisah panjang. Sepanjang alur Sungai Mahakam yang membelah kota, mengunjur sejauh 980 kilometer ke seluruh Kalimantan Timur.

Tapi dalam kesempatan singkat itu, kembara jurnalistik  kami bertiga sempat mengelilingi kota. Di tengah kesempitan waktu, kami menyempatkan diri melihat sungainya dari jambatan sebelum ke sebuah kafe di perbukitan ketika menjelang senja, untuk melihat panorama indahnya malam menyinari seluruh Kota Samarinda.

 Terdapat perkampungan masyarakat Toraja di pinggir jalan antara Balikpapan dan Samarinda.
TRADISI: Terdapat perkampungan masyarakat Toraja di pinggir jalan antara Balikpapan dan Samarinda.

Terima kasih kepada pasukan Pejabat Perhubungan Tentera Malaysia di kota Samarinda, diketuai Kapten Kamarul Ariffin Ajhman bersama dua anggotanya,  Koperal Saham Yak dan Koperal Esron Laidin, dengan dibantu Koperal Aidal Ramli dari Pejabat Perhubungan Tentera Malaysia di Balikpapan.

Kerana bantuan mereka, maka misi saya bersama dua rakan setugas, Saibi Gi (Utusan Borneo Sarawak) dan Jeremy Veno (The Borneo Post Sarawak) menjadi lebih mudah. Lalu membawa keberhasilan untuk dikongsikan.

 Penulis (dua kanan) bergambar bersama Kapten Kamarul (tengah). Turut kelihatan Saibi (dua kiri) dan Jeremy (kanan).
ALBUM KENANGAN: Penulis (dua kanan) bergambar bersama Kapten Kamarul (tengah). Turut kelihatan Saibi (dua kiri) dan Jeremy (kanan).

Kota Samarinda adalah destinasi utama kami, tapi hanya menginap satu malam. Sedang Balikpapan sebagai transit, kami singgahi selama dua malam.

Sebelum kembara merentasi Borneo bermula, kami susuri persiapan rapi. Saibi dan Jeremy mengatur urusan logistik, manakala saya mengurus temujanji bersama Gubernur Kalimantan Timur (KALTIM), Bapak Isran Noor.

Semuanya berjalan lancar. Teratur dan menepati jangkaan. Perhubungan dan komunikasi dalam era dunia digital sungguh memudahkan.

Seusai wawancara eksklusif bersama Bapak Isran Noor, kami dibawa oleh Koperal Aidal berkeliling kota. Melihat sungai dan jambatan, sebahagian lebuh raya tol Samarinda-Balikapapan yang sedang dalam pembinaan, dan meredah jalan kota bersimpang-siur dengan kenderaan bertali-arus.

 Kerja pembinaan lebuh raya tol Samarinda-Balikpapan sedang giat dilaksanakan.
LAMBANG KEMAJUAN: Kerja pembinaan lebuh raya tol Samarinda-Balikpapan sedang giat dilaksanakan.

Kami melihat Sungai Mahakam tersenyum lebar. Banyak kapal mudik mengangkut batubara ke muara. Juga kapal-kapal bermuatan balak besar-besar. Tanah subur belantara hijau Kalimantan ini adalah pengeluar kayu ulin (belian) terbilang. Inilah sungai yang menjadi urat nadi Kota Samarinda.

Sungai Mahakam turut memberi kehidupan kepada warga di sepanjangnya. Di bahagian hulu, ia melintasi wilayah Kabupaten Mahakam Ulu, manakala hilirnya merentas Kabupaten Kutai Kartanegara dan Kota Samarinda.

Ketika senja melabuhkan tirai, kami dibawa menikmati makan malam di Tranz Cafe, sebuah tempat makan di kawasan perbukitan, melihat panorama seluruh Samarinda, termasuk Samarinda Islamic Center yang merupakan ikon mercu tanda kota ini.

 Jambatan Mahakam menjadi mercu tanda kota Samarinda selain menjadi laluan penghubung utama antara dua bahagian kota itu.
KEMUDAHAN ASAS: Jambatan Mahakam menjadi mercu tanda kota Samarinda selain menjadi laluan penghubung utama antara dua bahagian kota itu.

Hasil tinjauan kembara kami mendapati kota ini begitu pesat membangun. Sebagai ibu kota KALTIM, Samarida sudah siaga menjadi pemangkin ibu kota negara baharu Indonesia.

Indahnya Samarinda. Ia memiliki kekuatan dan daya tarikan tersendiri. Nyata sekali bahawa pembangunan wilayah KALTIM dengan penduduk sekitar 3.5 juta ini sedang membugar. Malah, sebuah lebuhraya baharu menghubungkan Samarinda-Balikpapan sedang dibina. Ia dijangka siap tidak lama lagi.

Apabila siap kelak, pemanduan antara dua kota ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam berbanding sekarang antara tiga hingga empat jam.

Dari pengamatan dan tinjauan awal kami mendapati KALTIM sudah bersiap menata masa depan menjadi ibu kota baharu Indonesia, biarpun lokasi sebenarnya masih menjadi tandatanya.

Dua tempat disebut-sebut di perantaraan Balikpapan dan Samarinda - Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara - sebagai bakal menjadi lokasi ibukota baharu Indonesia.

 Pemandangan sebahagian kota Samarinda dari udara, berlatarbelakangkan Sungai Mahakam.
INDAH: Pemandangan sebahagian kota Samarinda dari udara, berlatarbelakangkan Sungai Mahakam.

Bapak Isran sendiri mengakui pihaknya sememang bersedia untuk menjadi bakal ibu kota negara baharu, dan menggariskan beberapa hal mengapa KALTIM menjadi pilihan pemerintah, khususnya Presiden Joko Widodo.

"Pertama, kerana ia letaknya di tengah-tengah negara Indonesia. Kedua, kerana ia bebas daripada bencana seperti  gempa bumi. Tidak ada gempa di sini. Tapi bencana alam lain pasti ada seperti angin taufan, kemarau, banjir dan sebagainya. Ini tidak bisa diramalkan.

"Kalimantan Timur kebetulan sudah ada dua kota yang kedua-duanya mempunyai lapangan terbang antarabangsa, iaitu Samarinda dan Balikpapan. Sudah ada juga lebuh raya tol Balikpapan-Samarinda, dan nanti dilanjutkan lagi Balikpapan-Penajam yang sedang dalam persiapan, juga dari Samarinda-Bontang.

 Sebahagain lagi pemandangan kota Samarinda.
MAJU: Sebahagain lagi pemandangan kota Samarinda.

"Kemudian kita ada pelabuhan laut bertaraf antarabangsa di Balikpapan. Yang penting, daya dukungnya bagus sekali (kawasannya cukup luas dan strategik). Ertinya kawasan yang akan dijadikan ibukota baharu itu, menurut hasil kajian pemerintah Pusat dan Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas), itu sudah cukup.  Demikian kedudukannya, tapi saya kira, di mana pun di Kalimantan ini, saya yakin ia tetap sesuai pada posisinya," kata Bapak Isran dalam wawancara eksklusif kami.

Kami melewati kedua-dua lokasi yang disebutkan ketika dalam perjalanan dari Balikpapan ke Samarinda. Kawasannya dilitupi hutan tebal, di antara kawasan datar dan sedikit belahan berbukit-bukau. Dari ketinggian lebuh raya, saujana mata memandang.

Mengikut perancangan, pembangunan ibu kota baharu itu mengutamakan aspek kelestarian alam sekitar, mengekalkan 70 peratus ekosistem semulajadi, seiring gagasan menjadikannya `ibu kota di dalam hutan.'

Selepas semalaman, kami meninggalkan Samarinda keesokan paginya dengan langkah longlai. Kerana belum berkesempatan habis meneroka dada kotanya yang gebu berdebu, jauh sekali menyusur alur dan lembah sungainya sentiasa basah.

Sesingkat kunjungan itu, saya sempat bersahabat dan mengakrabi ramai orang. Semuanya ramah-tamah. Manis senyuman, lembut bicara. Daripada Gubernurnya hingga kepada rakyat biasa. Demikianlah benar asal nama Samarinda -- dari perkataan sama rendah (kemudian menjadi Samarinda) yang melambangkan kesaksamaan darjat antara kaum asli dan pendatang. Simbol kesopanan dan kesusilaan terunggul.

Kenderaan kami diiring Kapten Kamarul dan dua anggotanya hingga ke Bukit Soeharto, di sempadan Samarinda-Balikpapan. Selepas minum di sebuah gerai di pinggiran jalan,  kami kemudian bersalaman sebagai tanda terima kasih, sebelum masing-masing menghala jalan pulang ke arah bertentangan.

Indahnya Samarinda. Sebuah kunjungan mengukir kenangan. Kembara jurnalistik yang sungguh menarik. Kami menyimpan harapan untuk bertandang sekali lagi selepas lahirnya ibu kota baharu Indonesia nanti. Kita adalah sepulau Borneo.

 Papan tanda Hutan Pendidikan Universitas Mulawarman yang menjadi pusat penyelidikan ilmu perhutanan di Samarinda.
HUTAN PENYELIDIKAN: Papan tanda Hutan Pendidikan Universitas Mulawarman yang menjadi pusat penyelidikan ilmu perhutanan di Samarinda.