Anda di sini

Warga Balikpapan teruja ibu kota dipindah ke Kalimantan Timur

Advertisement

HARAPAN untuk menaik taraf sosioekonomi warga Kalimantan Timur amat tinggi apabila ibu kota negara Indonesia dipindahkan dari Jakarta.

Mereka mengimpikan ekonomi akan meningkat apabila kawasan perkampungan dan penempatan sekarang dibangun menjadi pusat pentadbiran, sekali gus mewujudkan jaringan ekonomi lebih luas.

Masniati
Masniati

Penduduk asal Penajam Paser Utara, Masniati, 53, melihat masa depan lebih cerah baginya serta penduduk sekitar kawasan itu susulan langkah kerajaan memindahkan ibu kota baharu ke kawasan perkampungannya.

"Saya rasa akan ada banyak perubahan berlaku kepada penduduk setempat. Sekarang ini, rata-rata penduduk bekerja sendiri, berniaga kecil-kecilan, bertani dan menjadi nelayan.

"Apabila kawasan kami menjadi ibu kota, sudah tentu kemajuan akan meningkat berlipat ganda. Kami mengharap kehidupan kami akan terus membangun," katanya yang berniaga kecil-kecilan di pinggiran pantai Pelabuhan Semayang, Balikpapan.

Mempunyai lapan anak, Masnati datang ke Balikpapan dari Penajam Paser Utara dengan menaiki bot kecil (kelatok) selama kira-kira tiga jam merentasi teluk dan menyusuri sungai untuk berniaga minuman botol dan makanan ringan.

Dia yang tinggal di Balikpapan dan hanya pulang ke kampungnya seminggu sekali, menceritakan bahawa penduduk kampungnya menantikan cadangan pemindahan ibu kota itu dengan harapan membawa suasana kehidupan baharu yang lebih baik.

Ibu kota negara yang baharu itu akan dibina di sebahagian daripada wilayah Kutai Kartanegara dan sebahagian lagi Penajam Paser Utara. Sehingga kini, Presiden Joko Widodo belum mendedahkan lokasi sebenar pembinaan ibu kota negara yang baharu.

Satiyah
Satiyah

Bagi Satiyah yang berniaga gerai makanan di tepi jalan berhampiran Pelabuhan Semayang, kesan pemindahan ibu kota negara itu kelak diharap dapat membantu meningkatkan jualan mereka.

“Meskipun bukan terletak di Balikpapan, ibu kota baharu itu kelak sudah pasti akan memberi tempias ekonomi kepada para peniaga gerai seperti kami.

“Ya. Sudah pasti kami gembira dan berharap rancangan pemindahan itu akan berjalan lancar,” katanya.

Sungkarno
Sungkarno

Sungkarno, 36, berkata pemindahan ibu kota negara sudah pasti membabitkan proses pemerataan penduduk.

Proses itu menurutnya harus dilihat dari sudut positif, yakni meluaskan pergaulan bangsa Indonesia tanpa mengira dari mana-mana wilayah.

“Pemerataan juga penting agar tidak wujud dominasi sesuatu suku sahaja.

“Malahan, kerajaan akan memberi dua hektar tanah kepada setiap keluarga yang dipindahkan,” jelasnya.

Apa yang pasti, dia yakin ekonomi Balikpapan akan menerima kesan positif apabila ibu kota negara dipindah ke Kalimantan Timur.

Annisa
Annisa

Annisa Nur Fitriani, 20, melihat masa depan lebih cerah dengan pemindahan ibu kota itu kerana pastinya peluang pekerjaan dan perniagaan akan bertambah berlipat kali ganda.

Oleh itu katanya, penduduk setempat harus memanfaatkan peluang dan potensi itu dengan mencari kemahiran dalam pelbagai sektor, termasuk kemahiran atas talian (online) kerana dalam dunia ICT sekarang, ia adalah satu kemestian untuk dimiliki.

Menurutnya, perkembangan globalisasi menuntut warganya untuk memiliki kemahiran teknologi maklumat dan ia wajib dimiliki jika tidak mahu tercicir daripada arus pembangunan negara.

"Kos sara hidup juga akan meningkat seiring pembangunan ibu kota baharu, maka ini perlu diimbangi. Sekarang pun, harga barangan di Balikpapan memang agak tinggi berbanding kota lain, justeru ini harus juga diambil kira," katanya.

Gadis yang lahir di kota Balikpapan dan sudah tiga tahun dalam industri perhotelan ini mengakui sektor pelancongan antara yang diramal mengalami perubahan pesat dalam tempoh beberapa tahun mendatang ini.

Katanya pelawat dan pelancong akan bertambah, justeru kemudahan perhotelan, tempat makan dan riadah akan turut sama menikmati manfaatnya.

Soroso
Soroso

Peniaga jalanan, Soroso Bakhtiar, 24, turut mendengar perkhabaran mengenai ibu kota baharu itu dengan harapan akan membawa perubahan dalam kehidupannya, malah berazam untuk mencari tapak sesuai untuk berniaga nanti.

"Kalau ada rezeki dan peluang, saya mahu membuka kedai makan kerana pasti ramai orang akan datang ke Kaltim, terutama Balikpapan untuk berurusan di pusat pentadbiran baharu nanti," katanya yang merantau dari Pulau Jawa sejak kecil, mengikut ibu bapanya.

Sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak, Soroso berniaga makanan secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain sekitar kota Balikpapan dengan pendapatan ‘sekadar cukup makan’.

Beliau bagaimanapun tidak berhasrat untuk kembali ke kampungnya di Pulau Jawa, sebaliknya mahu terus mencari kehidupan di Balikpapan, apatah lagi dengan pengumuman kerajaan memindahkan ibu kota baharu ke sini.

Pemilik butik, Firman, 54, juga sependapat bahawa cadangan pemindahan ibu kota baharu itu membawa dimensi baharu kepada masyarakat peniaga sepertinya, lantaran Kaltim bakal berubah wajah menjadi pusat pentadbiran Indonesia.

"Sudah pasti aktiviti bisnes akan berkembang lagi. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi dunia agak perlahan dan tempiasnya turut kami rasai, namun apabila Kaltim menjadi ibu kota baharu Indonesia, pasti aktiviti ekonomi akan bertambah dan berubah.

"Lebih ramai orang akan datang ke Kaltim untuk berurusan dengan pemerintah, begitu juga pelabur akan meningkat ke sini. Peluang perniagaan antara yang diyakini boleh mengalami perubahan positif," katanya.

Menyifatkan pemindahan ibu kota baharu ke Kaltim sebagai berita gembira, Firman yang pernah menjadi pemberita sambilan sebuah akhbar tempatan di Balikpapan sebelum membuka butik mengakui pemilihan kawasan itu sebagai ibu kota amat tepat sekali.

Katanya, faktor keluasan kawasan itu adalah antara yang memberi kelebihan kepada Kaltim dan kawasan tanah yang dipilih pula dimiliki pemerintah sepenuhnya.

Firman menjangkakan penduduk bersempadan dengan Kaltim akan turut menikmati tempias pembangunan ibu kota baharu itu, termasu negeri Sabah dan Sarawak di Malaysia yang bersempadan dengan Kalimantan.

"Kita adalah jiran, kawasan perbatasan juga dekat, pasti banyak peluang akan turut dinikmati oleh tetangga kita apabila kawasan Kaltim sudah membangun," katanya.

Taufik
Taufik

Sebagai belia di Balikpapan, Taufik pula berharap sektor perhotelan akan berkembang apabila semakin ramai pengunjung datang.

Menurutnya yang bekerja di hotel, sektor pelancongan yang mantap akan memangkin pertumbuhan sektor perhotelan.

“Saya berharap perhotelan di Balikpapan maju seperti Jakarta. Walaupun pembinaan ibu kota baharu bukan di Balikpapan, tetapi kesannya pasti dirasai di sini.

“Kita juga berharap dengan pertambahan bilangan penduduk, kemudahan awam akan dipertingkatkan pemerintah,” katanya yang disahut pasangannya, Khairunisa tanda setuju.

Khairunisa
Khairunisa

“Ekonomi di sini sebagai kawasan berhampiran ibu kota akan bertambah baik. Penduduk akan bertambah ramai dan sudah pasti ekonomi penduduk tempatan akan meningkat,” ujarnya yang bekerja di sektor swasta.

  • oleh
  • Advertisement