Anda di sini

Perkembangan positif untuk Malaysia

Advertisement
PETA lokasi ibu kota negara baharu Indonesia.
PETA lokasi ibu kota negara baharu Indonesia.

Cadangan pemindahan ibu kota Indonesia ke wilayah Kaltim

CADANGAN pemindahan ibu kota baharu Indonesia ke wilayah Kalimantan Timur (Kaltim) akan membawa bersama perkembangan positif kepada Malaysia dalam pelbagai aspek, termasuk bidang perekonomian.

Mengambil kira kedudukan geografinya berdekatan dengan Sabah dan Sarawak, pembangunan ibu kota baharu itu nantinya bakal menjadi pemangkin pembangunan antara wilayah bagi kedua-dua negara.

Yang pasti, pembangunan itu merapatkan perhubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kerana akan lebih ramai rakyat akan saling berkunjungan antara satu sama lain.

MEJAR FADZLIN
MEJAR FADZLIN

Apabila ibu kota baharu itu sudah berpindah secara rasminya, sudah pasti kemudahan perhubungan melalui udara, laut dan udara antara kedua-dua negara akan diperkasakan lagi.

Pegawai Perhubungan Tentera Malaysia (PPTM) di Balikpapan, Kalimantan Timur, Mejar Fadzlin Mohd Nasir, ketika ditemui menyifatkan cadangan pemindahan ibu kota itu sebagai langkah positif kerana membawa banyak kebaikan.

Menurutnya, Malaysia sendiri mempunyai pengalaman apabila memindahkan pusat pentadbiran ke Putrajaya dari Kuala Lumpur walaupun jaraknya tidak begitu jauh.

"Dari segi infrastruktur sedia ada, kawasan cadangan lokasi lokasi ibu kota baharu di kawasan antara Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara, dinaungi dua kota iaitu Balikpapan dan Samarinda, harus disokong.

"Ini kerana pelbagai faktor, termasuk kemudahan asas, kekayaan sumber hasil bumi serta kedudukan geografi yang bebas bencana gempa bumi kerana letaknya di luar Lingkaran Pasifik," katanya.

 FADZLIN (empat kiri) dan Teddy (tiga kiri) bergambar bersama Lichong (tiga kanan), Saibi (dua kiri) dan Jeremy (dua kanan). Turut kelihatan Aidal (kiri) dan Fikre (kanan).
KENANGAN: FADZLIN (empat kiri) dan Teddy (tiga kiri) bergambar bersama Lichong (tiga kanan), Saibi (dua kiri) dan Jeremy (dua kanan). Turut kelihatan Aidal (kiri) dan Fikre (kanan).

Ditanya kemungkinan akan lebih ramai orang Malaysia datang ke Kaltim apabila ibu kota itu dibangunkan kelak, beliau berkata impak sedemikian adalah sesuatu yang pasti akan berlaku, terutama dalam konteks penduduk Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, katanya, adalah penting kemudahan seperti perhubungan udara dan darat dipertingkatkan bagi menjadikan hubungan lebih dekat.

"Ketika ini tiada penerbangan terus dari negara kita ke Balikpapan, tapi saya yakin apabila ibu kota sudah berpindah, kemudahan ini akan dilihat oleh kerajaan," katanya, sambil mengakui impak industri pelancongan antara yang akan dirasai nanti.

Bertugas di pejabat PPTM bersama dua lagi anggotanya, Koperal Mohd Aidal Ramli dan Koperal Mohd Fikre  Ahmad, Fadzlin berkata Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak mempunyai titik sempadan bersama di kawasan perbatasan seperti di Pulau Sebatik dan Serudong-Simanggaris di Tawau, Sabah, serta Ba Kelalan dan Long Midang di Miri, Sarawak.

Berikutan itu, katanya, pernah dicadangkan dalam mesyurat Sosek-Malindo sebelum ini untuk mewujudkan pusat lintas batas di kawasan sempadan Serudong-Simanggaris menjelang tahun depan.

Di kawasan Kalimantan Utara (Kaltara) misalnya juga sudah dibangun jalan raya tar sejauh kira-kira 300 kilometer dari Tanjung Selor menghala ke Simanggaris.

Mengenai kos sara hidup di Balikpapan, Fadzlin mengakui ia agak tinggi sedikit berbanding wilayah lain di Kalimantan berikutan status kota itu sebagai bandar batubara, minyak dan gas di mana ramai warga asing bekerja di sini.

Katanya, makanan bahan mentah agak mahal, begitu juga barangan keperluan lain kerana Balikpapan tidak mempunyai perusahaan atau kilang pengeluaran barangan sendiri.

TEDDY AMAU
TEDDY AMAU

"Pakaian misalnya datang dari Surabaya, Jakarta atau Makassar, jadi harga meningkat dengan ambil kira kos pengangkutan atau penghantaran," katanya, sambil menyatakan Nasi Kuning antara pilihannya jika makan di kedai.

Beliau berpendapat apabila ibu kota sudah dibangunkan nanti, sudah pasti harga barangan dan kos sara hidup juga akan turut meningkat.

Fadzlin yang sudah lebih setahun bertugas di sini mengakui banyak pengalaman dan kenangan sudah ditempuhi, antaranya misi bantuan oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika bencana gempa melanda Palu.

"Walaupun operasi sekadar di Lapangan Terbang Palu, tapi dari ruang udara, saya melihat begitu dahsyat bencana itu melenyapkan kampung di pesisir pantai," katanya.

 Fadzlin (kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Lichong.
TERIMA KASIH: Fadzlin (kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Lichong.

Secara umum, beliau menyifatkan masyarakat di Balikpapan bersikap lebih terbuka, menumpukan kepada kerja sahaja dan tidak terlalu sensitif terhadap isu-isu panas yang melibatkan kedua-dua negara.

Sementara itu, seorang rakyat Malaysia, Teddy Amau, berasal dari Kapit, Sarawak turut sependapat dengan Fadzlin bahawa pembangunan ibu kota baharu Indonesia di Kaltim akan menarik kehadiran ramai pelancong Malaysia ke sini.

Selain pelancong, katanya, usahawan dan ahli perniagaan Malaysia pastinya akan mengintai peluang yang terbuka dengan pembangunan ibu kota baharu itu.

"Saya kira, cadangan pemindahan ibu kota ke Kaltim banyak manfaat dan kebaikannya kepada warga tempatan dan juga negara berjiran seperti Malaysia dan Negara Brunei Darussalam," katanya.

 Pemandangan sebahagian kota Balikpapan yang bersih, indah, aman dan nyaman.
BERIMAN: Pemandangan sebahagian kota Balikpapan yang bersih, indah, aman dan nyaman.

Beliau yang sudah berumahtangga dengan wanita berasal Manado, Sulawesi Utara, berkhidmat sebagai pengurus operasi sebuah syarikat Amerika Syarikat di Balikpapan sejak tahun 2004.

Teddy yang pernah bekerja di 26 negara seluruh dunia  dalam industri berkaitan minyak dan gas, mengakui pembangunan ibu kota baharu itu memberi harapan kepada warga tempatan menikmati kehidupan lebih baik,

Namun, katanya, ia akan membawa bersama pelbagai cabaran hidup juga, seperti peningkatan kos sara hidup yang mungkin tidak dapat dielakkan.

Apapun, katanya, wilayah Kaltim tetap bertuah dan beruntung kerana dipilih pemerintah sebagai lokasi ibu kota baharu.

 Antara kerangka pembangunan yang dicadang dibina di ibu kota negara baru Indonesia.
PEMBANGUNAN: Antara kerangka pembangunan yang dicadang dibina di ibu kota negara baru Indonesia.
  • oleh
  • Advertisement