Anda di sini

Lebuh raya tol Samarinda-Balikpapan giat dilaksanakan

 Samsul menunjukkan lokasi tempat Presiden Jokowi meninjau projek lebuh raya itu dan cadangan ibu kota negara baru Indonesia.
PENERANGAN: Samsul menunjukkan lokasi tempat Presiden Jokowi meninjau projek lebuh raya itu dan cadangan ibu kota negara baru Indonesia.

SEBUAH projek lebuh raya tol giat dilaksanakan merentasi kawasan lembah dan perbukitan bagi menghubungkan dua kota besar di Kalimantan Timur (Kaltim), iaitu Samarida dan Balikpapan.

Majlis perasmian untuk empat fasa pertama yang hampir siap dijangka disempurnakan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo, menjelang penghujung bulan depan.

Lebuh raya tol sepanjang 99 kilometer itu bakal memendekkan tempoh perjalanan antara dua kota itu kepada kira-kira satu jam berbanding ketika ini antara tiga hingga empat jam.

 Kerja pembinaan lebuh raya tol Samarinda-Balikpapan kini giat dilaksanakan.
RANCAK: Kerja pembinaan lebuh raya tol Samarinda-Balikpapan kini giat dilaksanakan.

Kumpulan wartawan Utusan Borneo dan The Borneo Post berkesempatan meninjau projek lebuh raya itu selepas wawancara dengan Gubernur Kaltim, Bapak Isran Noor, di pejabatnya di kota Samarinda, baru-baru ini.

Menurut Isran, projek lebuh raya itu akan menjadi nadi perhubungan utama antara dua kota dan pastinya akan menggerakkan ekonomi keseluruhannya.

Beliau berkata kemudahan perhubungan adalah antara yang dititikberatkan dalam persiapan Kaltim menjadi ibu kota baharu.

"Sudah ada juga lebuh raya tol Balikpapan-Samarinda, dan nanti dilanjutkan lagi Balikpapan-Penajam yang sedang dalam persiapan, juga dari Samarinda-Bontang," katanya.

Menurutnya, perhubungan  lebuh raya tol itu memudahkan perjalanan antara dua kota selain daripada kemudahan lapangan terbang bertaraf antarabangsa selain kemudahan pelabuhan di Balikpapan yang juga bertaraf dunia.

 Kemudahan lebuh raya ini bakal memendekkan perjalanan antara dua kota, Balikpapan dan Samarinda kepada kira-kira sejam sahaja.
JALUR DARATAN: Kemudahan lebuh raya ini bakal memendekkan perjalanan antara dua kota, Balikpapan dan Samarinda kepada kira-kira sejam sahaja.

Katanya, semua aspek berkaitan kemudahan asas bagi laluan darat, laut dan udara sememangnya terkandung dalam perancangan pembangunan menyeluruh hasil kajian pemerintah Pusat dan Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas).

Dalam pada itu, hasil tinjauan itu mendapati kerja-kerja akhir bagi empat fasa pertama itu sedang giat dijalankan oleh pemaju projek.

Ketika tinjauan, sejumlah kenderaan berat kelihatan keluar masuk dengan pekerja sibuk melaksanakan kerja masing-masing.

Staf Biro Humas Setda Provinsi Kaltim, Samsul Arifin, selaku pengiring membawa kami ke lokasi di mana Presiden Jokowi berdiri dan diberi taklimat mengenai rancangan pembangunan ibu kota baharu itu.

"Di sini tempat Presiden berdiri dan diberi taklimat tempoh hari," katanya, sambil menunjukkan sebuah bukit tinggi di hadapan lebuh raya itu, menghadap laut yang begitu strategik kedudukannya.

 Kilometer 46 Lebuh Raya Tol Balikpapan-Samarinda tempat Presiden Indonesia Joko Widodo melawat baru-baru ini.
KEMUDAHAN WARGA: Kilometer 46 Lebuh Raya Tol Balikpapan-Samarinda tempat Presiden Indonesia Joko Widodo melawat baru-baru ini.