Anda di sini

Warga Kaltim sambut baik, harap bawa perubahan besar

Advertisement
 Pemandangan sebahagian kota Balikpapan yang diyakini bakal berubah wajah.
INDAH: Pemandangan sebahagian kota Balikpapan yang diyakini bakal berubah wajah.

Cadangan ibu kota baharu Indonesia Bakal merubah dimensi kehidupan 

PENGUMUMAN mengenai pemindahan ibukota baharu Indonesia ke Kalimantan Timur (Kaltim) menjadi khabar gembira buat masyarakat setempat di Balikpapan, sambil menantikannya dengan semangat berkobar-kobar.

Beberapa warga yang ditemui melahirkan rasa optimistik bahawa pemindahan ibukota dari Jakarta itu bakal merubah suasana dan kehidupan mereka.

Mereka mengimpikan ekonomi akan meningkat apabila kawasan perkampungan dan penempatan sekarang dibangun menjadi pusat pentadbiran, sekali gus mewujudkan jaringan ekonomi lebih luas.

ANISAH
ANISAH

Penduduk asli Penajam Paser Utara, Ibu Masniati, 53, melihat masa depan lebih cerah baginya serta penduduk sekitar kawasan itu susulan langkah kerajaan memindahkan ibukota baharu ke kawasan perkampungannya.

"Saya rasa akan ada banyak perubahan berlaku kepada penduduk setempat. Sekarang ini, rata-rata penduduk bekerja sendiri, berniaga kecil-kecilan, bertani dan menjadi nelayan.

"Apabila kawasan kami menjadi ibukota, sudah tentu kemajuan akan meningkat berlipat ganda. Kami mengharap kehidupan kami akan terus membangun," katanya yang berniaga kecil-kecilan di pinggiran pantai Pelabuhan Semayang Balikpapan.

Mempunyai lapan anak, Masnati datang ke Balikpapan dari Penajam Paser Utara dengan menaiki bot kecil (kelatok) selama kira-kira tiga jam merentasi teluk dan menyusuri sungai., untuk berniaga minuman botol dan makanan ringan.

Dia akan tinggal di Balikpapan dan hanya pulang ke kampungnya seminggu sekali, menceritakan bahawa penduduk asli di kampungnya menantikan cadangan pemindahan ibukota itu dengan harapan membawa suasana kehidupan baharu yang lebih baik.

FIRMAN
FIRMAN

Pemilik butik, Pak Firman, 54, juga sependapat bahawa cadangan pemindahan ibukota baharu itu membawa dimensi baharu masyarakat peniaga sepertinya, lantaran Kaltim bakal berubah wajah menjadi pusat pentadbiran Indonesia.

"Sudah pasti aktiviti bisnes akan berkembang lagi. Dalam beberapa tahun kebelakangan lalu, ekonomi dunia agak perlahan dan tempiasnya turut kami rasai, namun apabila Kaltim menjadi ibukota baharu Indonesia, pasti aktiviti ekonomi akan bertambah dan berubah.

"Lebih ramai orang akan datang ke Kaltim untuk berurusan dengan pemerintah, begitu juga pelabur akan meningkat ke sini. Peluang perniagaan antara yang diyakini boleh mengalami  perubahan positif," katanya.

MASNIATI
MASNIATI

Menyifatkan pemindahan ibukota baharu ke Kaltim sebagai berita gembira, Firman yang pernah menjadi pemberita sambilan sebuah akhbar tempatan di Balikpapan sebelum membuka butik mengakui pemilihan kawasan itu sebagai amat tepat sekali.

Katanya, faktor keluasan kawasan itu adalah antara yang memberi kelebihan kepada Kaltim dan kawasan tanah yang dipilih pula dimiliki pemerintah sepenuhnya.

Firman menjangkakan penduduk bersempadan dengan Kaltim akan turut menikmati tempias pembangunan ibukota baharu itu, termasuklah negeri Sabah dan Sarawak di Malaysia yang bersempadan dengan Kalimantan.

"Kita adalah jiran, kawasan perbatasan juga dekat, makanya pasti banyak peluang akan turut dinikmati oleh tetangga kita apabila kawasan Kaltim sudah membangun," katanya.

Pekerja industri perhotelan, Annisa Nur Fitriani, 20, memandang masadepan lebih cerah dengan pemindahan ibukota baharu itu kerana pastinya peluang pekerjaan dan perniagaan akan bertambah berlipat kali ganda.

Oleh itu, katanya, penduduk setempat harus memanfaatkan peluang dan potensi itu dengan mencari kemahiran dalam pelbagai sektor, termasuklah kemahiran atas talian (online) kerana dalam dunia ICT sekarang, ia adalah satu kemestian untuk dimiliki.

SUNGKARNO
SUNGKARNO

Menurutnya, perkembangan globalisasi menuntut warganya untuk memiliki kemahiran teknologi maklumat dan ia wajib dimiliki jika tidak mahu tercicir daripada arus pembangunan negara.

"Kos sara hidup juga akan meningkat seiring pembangunan ibukota baharu, maka ini perlu diimbangi. Sekarang pun, harga barangan di Balikpapan memang agak tinggi berbanding kota lainnya, justeru ini harus juga diambil kira," katanya.

Gadis yang lahir di kota Balikpapan dan sudah tiga tahun dalam industri perhotelan ini mengakui sektor pelancongan antara yang diramal mengalami perubahan pesat dalam tempoh beberapa tahun mendatang ini.

Katanya, pelawat dan pelancong akan bertambah, justeru kemudahan perhotelan, tempat makan dan riadah akan turut sama menikmati manfaatnya.

Seorang lagi pekerja hotel, Sungkarno, 36, menyifatkan pembangunan ibu kota baharu itu sebagai pemerataan penduduk dan pembangunan bangsa Indonesia, justeru Kaltim tentunya pilihan terbaik dan Balikpapan mendapat tempias ekonomi.

"Ia bagus untuk meluaskan pergaulan bangsa Indonesia walau dari wilayah mana mereka berasal. Pemerataan juga penting agar tidak wujud dominasi sesuatu suku semata-mata," katanya.

Beliau optimis bahawa pembangunan ibu kota baharu itu mewujudkan dimensi baharu pembangunan wilayah Kalimantan dan Pulau Borneo keseluruhannya.

Katanya, ini kerana jajaran pembangunan dan jalur perhubungan menerusi darat, laut dan udara akan berkembang seiring dengan status ibu kotanya.

"Kalimantan ini sungguh indah dan kaya sumber alam, justeru ini harus dipertahankan supaya ia kekal biarpun sudah membangun nanti," katanya, merujuk pembangunan sesak Jakarta yang turut membawa bersamanya masalah sosioekonomi sejagat.

SOROSO
SOROSO

Peniaga jalanan, Soroso Bakhtiar, 24, turut mendengar perkhabaran mengenai ibukota baharu itu dengan harapan akan membawa perubahan dalam kehidupannya, malah berazam untuk mencari tapak sesuai untuk berniaga nanti.

"Kalau ada rezeki dan peluang, saya mahu membuka kedai makan kerana pasti ramai orang akan datang ke Kaltim, terutama Balikpapan untuk berurusan di pusat pentadbiran baharu nanti," katanya yang merantau dari Pulau Jawa sejak kecil, mengikut ibu bapanya.

Sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak, Soroso berniaga makanan secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain sekitar kota Balikpapan dengan pendapatan `kais pagi makan petang, kais petang makan malam.'

Beliau bagaimanapun tidak berhasrat untuk kembali ke kampungnya di Pulau Jawa, sebaliknya mahu terus mencari kehidupan di Balikpapan, apatah lagi dengan pengumuman kerajaan memindahkan ibukota baharu ke sini.

 Kemudahan jalan raya dan laluan pejalan kaki menjadikan kota Balikpapan aman dan tenang untuk didiami.
TERATUR: Kemudahan jalan raya dan laluan pejalan kaki menjadikan kota Balikpapan aman dan tenang untuk didiami.
  • oleh
  • Advertisement