Anda di sini

Utusan Borneo, The Borneo Post akhbar pertama Malaysia tinjau lokasi ibukota baharu Indonesia

Advertisement
 Kumpulan wartawan Malaysia, Lichong (dua kanan), Jeremy (kiri) dan Saibi (kanan) bergambar bersama Staf Biro Humas Setda Provinsi Kaltim, Samsul Arifin (dua kiri) di Samboja, Kilometer 46, lokasi tempat Presiden Jokowi berdiri ketika meninjau lokasi cadangan ibukota baharu Indonesia itu.
KENANGAN: Kumpulan wartawan Malaysia, Lichong (dua kanan), Jeremy (kiri) dan Saibi (kanan) bergambar bersama Staf Biro Humas Setda Provinsi Kaltim, Samsul Arifin (dua kiri) di Samboja, Kilometer 46, lokasi tempat Presiden Jokowi berdiri ketika meninjau lokasi cadangan ibukota baharu Indonesia itu.

KUMPULAN akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post menjadi akhbar pertama di Malaysia membuat tinjauan dan liputan mengenai cadangan pemindahan ibukota baharu Indonesia ke Kalimantan Timur (Kaltim).

Sekumpulan tiga wartawan - Lichong Angkui (Utusan Borneo Sabah), Saibi Gi (Utusan Borneo Sarawak) dan Jeremy Veno (The Borneo Post Sarawak) melakukan misi penjelajahan itu selama seminggu bermula pada 8 September lepas.

Lebih bertuah, Utusan Borneo dan The Borneo Post menjadi akhbar pertama Malaysia mengadakan kunjungan hormat dan wawancara eksklusif bersama Gurbernur Kalimantan Timur, Bapak Isran Noor di pejabatnya di Jalan Gajah Mada, kota Samarinda, Kalimantan Timur.

Perjalanan bermula pada 8 September dari Kota Kinabalu ke Kuching dan Pontianak, sebelum meneruskan penerbangan ke Balikpapan keesokan harinya.

Pada hari ketiga lawatan, kumpulan wartawan Malaysia turut diberi peluang dan kebenaran oleh Gubernur Kaltim untuk memasuki kawasan tempat Presiden Indonesia, Joko Widodo, berdiri di atas lebuh raya di mana dikatakan antara lokasi cadangan ibukota baharu itu nanti.

Lokasi berkenaan letaknya di Kilometer 46 Lebuh Raya Balikpapan-Samarinda yang sedang dalam pembinaan, dalam lingkungan kawasan Samboja, terletak di wilayah pesisir Kabupaten Kutai Kartanegara.

Letaknya di sekitar lingkungan Bukit Suharto, Samboja adalah antara kawasan disebut-sebut menjadi sebahagian lokasi ibukota baharu itu selain daripada Sepaku di wilayah Penajam Paser Utara yang letaknya bersebelahan.

Pada 26 Ogos lalu, Presiden Jokowi menetapkan ibukota baharu itu letaknya di antara kedua-dua wilayah berkenaan, namun titik lokasi sebenar dan nama rasminya juga belum diumumkan.

Menurut Kepala Biro Humas Setda Provinsi Kaltim, Hj Riawati, berkata Utusan Borneo dan Borneo Post adalah akhbar pertama dari Malaysia berkunjung ke Kaltim selepas Presiden Jokowi mengumumkan secara rasmi di Parlimen mengenai cadangan pemindahan ibukota baharu itu.

"Ya, anda dalah media pertama dari Malaysia sampai di sini," katanya, sambil memaklumkan antara wakil media antarabangsa yang sudah sampai di situ termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, Belanda, Singapura dan Jepun.

Ketika kunjungan itu, ketiga-tiga wartawan Utusan Borneo dan The Borneo Post turut diwawancara oleh beberapa akhbar, portal media dan radio tempatan Kaltim.

  • oleh
  • Advertisement