Anda di sini

Syor dua jawatan ketua kaum tidak relevan

Advertisement
Talib bertanya khabar dengar hadirin sebaik tiba pada majlis Sesi Perbincangan Menteri Bersama CEIO Siri 22 Bil. Tahun 2019 di Kuching hari ini.

KUCHING: Sarawak tidak akan melayan cadangan kerajaan Persekutuan untuk melantik dua jawatan Ketua Kaum dan Tuai Rumah (TR) di sesebuah penempatan.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, cadangan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa K. Rasiah dilihat tidak masuk akal kerana boleh mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau berkata, syor untuk mewujudkan dua jawatan ketua masyarakat itu juga menggambarkan pemimpin dari Semenanjung itu tidak memahami adat budaya masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

“Tiada keperluan untuk kita melantik dua jawatan ketua kaum di sebuah perkampungan kecil atau rumah panjang seperti disyorkan oleh Sivarasa.

“Nampak sangat mereka (pemimpin Semenanjung) tidak memahami budaya penghuni rumah panjang sedangkan kita dari kecil sudah bergaul rapat dengan masyarakat Iban,” katanya sambil menambah, mereka seperti menyimpan maksud tersembunyi dalam perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sesi Perbincangan Menteri Bersama Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Sivarasa baru-baru ini mengeluarkan kenyataan akan membuat lantikan Tuai Rumah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung di Sarawak dari kalangan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, perkara itu diputuskan dan kabinet akan merombak semula sistem Majlis Pengurusan Komuniti Kampung  (MPKK).

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar itu mendakwa kenyataannya disalah faham.

“Justeru, jangan kacau kerajaan negeri dengan mensyorkan cadangan mengenai urusan pelantikan pemimpin masyarakat negeri ini,” jelas Talib.
 

  • oleh
  • Advertisement