Anda di sini

RM1 bilion untuk laksana pembangunan sekolah daif

 Baru (empat kanan) serta yang lain ketika meraikan Majlis Makan Malam Sambutan Hari Malaysia di Selangau, kelmarin.
RAIKAN BERSAMA: Baru (empat kanan) serta yang lain ketika meraikan Majlis Makan Malam Sambutan Hari Malaysia di Selangau, kelmarin.

SELANGAU: Peruntukan sejumlah RM1 bilion digunakan untuk pelaksanaan pembangunan sekolah daif di negeri ini melibatkan tiga fasa mulai Ogos ini hingga 2020.  

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata bagi pelaksanaan program RM1 bilion Fasa 1, Kementerian Kewangan Malaysia bersetuju memperuntukkan RM350 juta bagi 37 sekolah daif di Sarawak dalam tempoh tahun ini.

“Sebagai tambahannya, kualiti kemudahan pendidikan juga akan dipertingkatkan melalui projek naik taraf dan pembinaan semula 32 sekolah daif di Sarawak dengan peruntukan RM100 juta melalui Peruntukan Pembangunan, di samping peruntukan RM1 billion itu,” katanya pada Majlis Makan Malam Sambutan Hari Malaysia di sini kelmarin.

Ahli Parlimen Selangau itu memberitahu, kemudahan kesihatan juga diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan melalui projek tiga hospital iaitu di Lawas, Miri dan Petra Jaya.

“Diharapkan usaha naik taraf infrastruktur asas ini dapat menyediakan kemudahan lebih sempurna dan selesa seterusnya dapat menambah baik taraf kehidupan rakyat Sarawak,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan itu berkata, meskipun berbeza landasan, kerajaan persekutuan amat komited membangunkan Sarawak dan sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam agenda pembangunan negeri ini bagi memastikan rakyat Sarawak menikmati faedah pembangunan.

“Sebagai bukti komitmen kesungguhan kerajaan persekutuan, Jawatankuasa Khas dinamakan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Sarawak ditubuhkan bagi mengkaji, merangka dan melaksanakan pembangunan Sarawak yang dipengerusikan bersama oleh saya dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Jalinan kerjasama di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri ini diharap dapat merancang projek pembangunan dengan lebih efisien dan berkesan,” jelasnya.

Sementara itu, Baru mengingatkan bahawa projek pembangunan untuk rakyat tidak seharusnya dipolitikkan kerana fokus utama sepatutnya memastikan projek persekutuan dirancang berjalan dengan lancar demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut memberitahu Kementerian Kerja Raya berinisiatif membina jajaran menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei iaitu ‘Sarawak Sabah Link Road’ yang memberi manfaat kepada hampir sejuta pengguna di samping meneruskan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Katanya, kemudahan infrastruktur jalan raya dapat menyediakan jaringan lebuh raya efisien di Sarawak khususnya merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan sekitar.

Mengenai Hari Malaysia, beliau berkata sambutan tahun ini menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara serta memupuk integriti dan jati diri seluruh rakyat.

Baru berpendapat rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama hidup dengan harmoni, seia sekata dan bersatu padu sejak penubuhan Malaysia pada 1963 oleh empat rakan iaitu Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah dan Singapura meskipun Singapura kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar.

“Sambutan Hari Malaysia diharap dapat menyemarakkan perpaduan kita dan menjadi wadah penyatuan rakyat.

“Kesedaran dan pengetahuan tentang perjuangan pembentukan Malaysia perlu dihayati agar kita lebih mensyukuri dan menghargai setiap perjuangan dan pengorbanan nenek moyang dahulu.

“Kepelbagaian masyarakat perlu diraikan dan budaya toleransi sesama kita harus dikekalkan demi kesejahteraan bersama.

“Adalah penting kita mengelak isu sensitif dan mempolitikkan isu berkaitan bangsa dan agama dalam usaha memelihara keharmonian dan perpaduan kaum,” jelasnya.