Anda di sini

Protes anti-Sisi gegar Mesir

Advertisement
 Seorang anggota polis menahan trafik yang melalui bulatan di Dataran Tahrir, tengah Kaherah kelmarin. — Gambar AFP
TEGAS: Seorang anggota polis menahan trafik yang melalui bulatan di Dataran Tahrir, tengah Kaherah kelmarin. — Gambar AFP

KAHERAH: Pasukan keselamatan Mesir bertelingkah dengan ratusan penunjuk perasaan antikerajaan di kota pelabuhan Suez kelmarin, dengan melepaskan gas pemedih mata dan peluru hidup, kata beberapa penduduk yang mengambil bahagian dalam demonstrasi.

Keselamatan ketat juga dikuatkuasakan di Dataran Tahrir, Kaherah, pusat bagi revolusi di Mesir pada 2011, selepas protes di beberapa buah bandar raya menuntut pemecatan jeneral yang menjadi presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Demonstrasi sedemikian amat jarang sekali berlaku selepas Mesir melarang protes di bawah undang-undang yang diluluskan ekoran penyingkiran bekas presiden Islamis Mohamed Morsi pada 2013.

Namun rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga semakin meningkat di Mesir, di mana kerajaan Sisi telah mengambil langkah berjimat-cermat yang ketat sejak 2016 sebagai sebahagian daripada pakej pinjaman sebanyak AS$12 bilion (RM57.6 bilion) dari Tabung Kewangan Antarabangsa.

Hampir satu dalam tiga warga Mesir hidup di bawah garisan kemiskinan dengan pendapatan kurang daripada AS$1.40 (RM6.70) sehari, demikian menurut perangkaan rasmi yang dikeluarkan pada Julai lalu.

Kelmarin penunjuk perasaan menuju ke pusat Suez untuk malam kedua berturut-turut, di mana mereka berdepan dengan pasukan keselamatan yang menutup jalan selain kenderaan perisai.

“Terdapat kira-kira 200 orang.

“Mereka (pasukan keselamatan) melepaskan gas pemedih mata, peluru getah dan hidup, dan ada yang cedera,” kata seorang lelaki, yang menyertai demonstrasi tetapi enggan dikenali, kepada AFP.

Seorang lagi penduduk, yang juga enggan dikenali, berkata gas pemedih mata begitu tebal sehinggakan ia sampai ke blok pangsapurinya yang terletak beberapa kilometer dari kawasan pusat kota yang bergolak.

“Hidung saya mula panas, baunya menyerap menerusi beranda.

“Saya juga melihat beberapa belia berlari dan bersembunyi di jalan kami,” kata wanita itu.

Lewat Jumaat, ratusan warga Mesir membanjiri jalan di Kaherah sambil melaungkan slogan termasuk “Keluar, Sisi!” dan menuntut kejatuhan rejim.

Sekurang-kurangnya 74 orang ditangkap susulan pertelingkahan di antara orang ramai dengan polis di ibu negara, kata sumber keselamatan kepada AFP.

Protes berlaku selepas Mohamed Aly, ahli perniagaan yang hidup dalam buangan dan musuh Sisi, memaparkan seruan dalam talian bagi demonstrasi untuk menentang Sisi.

Beliau meningkatkan lagi tekanan kelmarin dalam video yang sarat dengan kata-kata kesat menyeru rakyat Mesir agar menyertai ‘perarakan sejuta orang’ Jumaat ini dan memenuhi semua dataran utama di negara itu.

“Ini adalah revolusi rakyat.

“Kita perlu bertemu sebagai satu dan menganjurkan perarakan ke dataran utama,” katanya dalam satu rayuan Facebook kepada pengikutnya.

Kontraktor pembinaan itu telah memaparkan video yang tular sejak awal September, menuduh Sisi dan angkatan tentera terlibat dalam rasuah yang berleluasa.

Presiden menafikan dakwaan tersebut pada minggu lepas, dan berkata beliau jujur dan setia kepada rakyat dan angkatan tentera.

Namun pada Jumaat, penunjuk perasaan memenuhi jalan di Kaherah selepas perlawanan bola sepak yang amat tegang di antara dua kuasa bola sepak tempatan, Al Ahly dan Zamalek.

“Saya rasa ia adalah selamat untuk menyatakan kejadian yang berlaku sejak beberapa minggu lalu, termasuk perkembangan semalam, menimbulkan krisis kesahan paling serius yang dihadapi Sisi,” kata penganalisis politik di Kaherah Nael Shama kepada AFP.

“Tidak ada orang yang menjerit roti, kebebasan, keadilan sosial seperti pada 2011, mereka terus meruncing kepada ‘Keluar’ dari minit pertama,” kata Shama.

Dalam media sosial, ribuan berkongsi rakaman demonstrasi Jumaat lalu di beberapa kota, termasuk orang ramai yang menyekat jalan raya di Iskandariah, Al-Mahalla, Damietta, Mansoura dan Suez.

“Ini adalah kali pertama rakyat memenuhi jalanan sejak sekian lama tetapi saya tidak pasti sama ada ia akan bertahan lama,” tambah Shama.

Di bawah pemerintahan Sisi, pihak berkuasa telah melancarkan operasi meluas ke atas penentang, menahan ribuan Islamis serta aktivis sekular dan penulis blog popular.

Sisi kerap menyebut tentang keselamatan dan kestabilan sebagai ciri-ciri utama pemerintahannya berbanding tompok panas serantau seperti Libya dan Syria.

Badan akreditasi media asing kerajaan mengeluarkan satu kenyataan lewat kelmarin untuk memberi amaran kepada wartawan antarabangsa agar tidak menggembar-gemburkan laporan mereka mengenai kejadian yang berlaku, tanpa menyebut tentang protes secara jelas.

Menerusi televisyen malam Jumaat lepas, pengacara pro-Sisi Amr Adib mengecam Aly, ahli perniagaan terbabit, dan menunjukkan rakaman Aly yang didakwa dalam keadaan mabuk.

Adib menggesa rakan senegara untuk menjaga negara kerana ‘Ikhwanul Muslimin mahu memusnahkannya’.  

Kumpulan Islamis itu yang pernah dianggap sebagai salah satu kuasa politik paling terancang di Mesir, diharamkan sebagai kumpulan pengganas pada 2013 susulan penggulingan Morsi. — AFP

Advertisement