Anda di sini

Permulaan hambar Barca berterusan dengan kekalahan 0-2 di Granada

Advertisement
 Pemain Barca, Frenkie de Jong (tengah) bersaing dengan pemain Granada,  Yangel Herrera (kanan) ketika beraksi pada perlawanan La Liga Sepanyol di  Nuevo Estadio de Los Carmenes, Granada kelmarin. — Gambar Reuters
TIDAK BERI PELUANG: Pemain Barca, Frenkie de Jong (tengah) bersaing dengan pemain Granada, Yangel Herrera (kanan) ketika beraksi pada perlawanan La Liga Sepanyol di Nuevo Estadio de Los Carmenes, Granada kelmarin. — Gambar Reuters

MADRID, Sepanyol: Barcelona menurunkan bintang semasa dan masa depan mereka Sabtu lepas tetapi Lionel Messi dan Ansu Fati tetap tidak mampu menghalang kekalahan 0-2 di Granada dalam aksi La Liga Sepanyol Sabtu lepas.

Messi masih tidak dianggap cukup cergas sepenuhnya untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan di Los Carmenes sementara Fati, pemain berusia 16 tahun yang mencuri perhatian dalam liga sejak beberapa minggu yang lalu, turut bermula di bangku simpanan.

Tetapi ketika kedua-dua pemain itu dimasukkan selepas rehat dengan Barca ketinggalan 0-1 dari gol Ramon Azeez, Granada menambah jaringan apabila Alvaro Vadillo menyempurnakan satu tendangan penalti selepas bola terkena pemain Barca, Arturo Vidal dalam kotak penalti.

Barca kini hanya menang dua dari lima perlawanan liga pertama dan tiada satu pun kemenangan di gelanggang lawan selain kekalahan kedua mereka, kurang satu kekalahan berbanding tiga yang mereka alami sepanjang musim lepas.

Dengan hanya tujuh mata yang dikumpul setakat ini, ia adalah permulaan musim terburuk mereka sejak 1994.

“Sudah tentu saya bimbang,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde. “Kerana kami tidak mendapat keputusan yang baik dan apabila ia berlaku pada dua atau tiga perlawanan, ia bermakna kami tidak bermain dengan baik.”

Sebaliknya, Granada melonjak ke tangga teratas liga selepas Atletico Madrid seri tanpa jaringan ketika menentang Celta Vigo di tempat sendiri pada perlawanan awal.

Mereka mungkin menduduki kedudukan di tangga teratas liga untuk beberapa jam lagi sebelum Sevilla, Real Madrid atau Athletic Bilbao boleh memintas jika menang pada perlawanan lewat mereka.

Barcelona jatuh ke tangga keenam pada penampilan kedua Messi sebagai pemain gantian dalam tempoh lima hari, yang mencadangkan beliau sudah akhirnya cergas sepenuhnya dari kecederaan betis pada awal bulan Ogos.

Namun masalah mereka tidak akan dijangka diselesaikan dengan kepulangan Messi.

Kesilapan Junior Firpo seawal minit kedua menghadiahkan gol kepada Granada dan kemudian memastikan permainan bertahan yang kental dari pasukan tuan rumah.

Di jentera serangan, Antoine Griezmann sekali lagi hambar, dengan tidak banyak gandingan yang mencadangkan Ernesto Valverde sudah menemui gandingan serangan terbaik beliau.

Sebarang harapan Barca untuk bangkit berkecai apabila bola terkena tangan Vidal dalam kotak penalti pada minit ke-66, membolehkan Vadilo menyempurnakan penalti untuk gol kedua pasukan tuan rumah.

Atletico boleh merampas kembali tangga teratas liga tetapi mereka gagal menembusi benteng kebal Celta Vigo.

Selepas mengikat Juventus 2-2 dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu, Atletico gagal mengekalkan rentak mereka Sabtu lepas.

Skuad kendalian Diego Simeone itu menang tiga perlawanan pertama liga musim ini tetapi sekarang dua perlawanan tanpa kemenangan selepas tewas mengejut di Real Sociedad minggu lepas. — AFP

Advertisement