Anda di sini

Pemimpin aktivis belia lantang bersuara di PBB

Advertisement
 Guterres berjabat tangan dengan Thunberg pada Sidang Kemuncak Iklim Belia di ibupejabat PBB di perbandaran Manhattan, New York kelmarin. — Gambar Reuters
SIDANG PERTAMA: Guterres berjabat tangan dengan Thunberg pada Sidang Kemuncak Iklim Belia di ibupejabat PBB di perbandaran Manhattan, New York kelmarin. — Gambar Reuters

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Sehari selepas mogok iklim global pimpinan belia, beberapa ratus aktivis muda termasuk Greta Thunberg berhimpun untuk satu sidang kemuncak iklim di PBB kelmarin, dan membidas generasi lebih tua kerana tidak begitu berusaha untuk membendung pengeluaran karbon.

PBB telah menjemput 500 aktivis muda dan usahawan untuk menyertai persidangan di New York, yang pertama seumpamanya, tetapi ada yang tidak dapat hadir selepas dinafikan visa Amerika Syarikat, satu perkara yang dibangkitkan oleh penganjur.

Ia berlaku beberapa hari sebelum sidang kemuncak tindakan iklim yang dianjurkan oleh ketua PBB Antonio Guterres untuk mendapatkan komitmen yang lebih kuat daripada para pemimpin dunia untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau mereka selari dengan perjanjian Paris untuk mengelak pemanasan global yang amat buruk.

Nada bagi acara kelmarin ditetapkan oleh satu ucapan yang bersemangat daripada aktivis berusia 19 tahun dari Argentina, Bruno Rodriguez, yang mengetuai mogok sekolah di negara asalnya.

“krisis ekologi dan iklim merupakan krisis politik pada zaman kita, ia adalah krisis ekonomi pada zaman kita, dan ia adalah krisis budaya pada zaman kita,” katanya, disaksikan oleh Guterres, yang dilabel sebagai ‘pendengar utama’.

“Banyak kali, kita dengar bahawa generasi kami akan menjadi golongan yang akan bertanggungjawab untuk menangani masalah yang telah dicipta oleh para pemimpin sekarang, dan kami tidak akan menunggu secara pasif untuk menjadi masa depan itu: masanya adalah sekarang bagi kami untuk menjadi pemimpin.”

Thunberg, yang mencetuskan pergerakan belia global berkenaan selepas dia mengadakan protes di luar Parlimen Sweden pada tahun lepas, berucap terlebih dahulu tetapi secara ringkas kerana menurutnya dia mahu memberi lebih masa kepada orang lain.

“Kami menunjukkan kami bersatu dan orang muda tidak dapat dihalang,” kata gadis berusia 16 tahun itu yang juga dijangka berucap di sidang kemuncak pada hari ini (Isnin).

Pada Jumaat lepas, kanak-kanak ponteng sekolah beramai-ramai untuk menyertai mogok global yang menurut Thunberg “hanyalah permulaan” bagi pergerakan itu.

Koridor PBB penuh kelmarin dengan orang muda yang memakai tali leher dan sut rasmi, gaun, dan pakaian tradisional dari negara asal mereka, manakala yang lain memakai seluar jean dan kemeja sederhana.

“Ini adalah perubahannya, dan ia akan datang,” kata Lalita P-Junggee, seorang usahawan hijau dari Mauritius, yang mengubah papan iklan dan sisa tekstil menjadi beg-beg bergaya.

Hari itu turut menyaksikan inovator muda mencadangkan penyelesaian, dengan membentangkan idea mereka kepada panel dari syarikat global terkemuka seperti Google.

Namun syarikat korporat juga dikecam kerana hubungan mereka dengan industri minyak dan gas.

Rodriguez, aktivis dari Argentina, memberitahu AFP bahawa aktivis muda amat menyokong usaha untuk mengeluarkan pelaburan daripada industri bahan bakar fosil, yang bertanggungjawab “menjarah” seluruh Amerika Latin. — AFP

Advertisement