Anda di sini

Mohammad dipilih presiden baharu SAFA Lahad Datu

 Barisan jawatankuasa baharu SAFA Lahad Datu.
BERSEMANGAT: Barisan jawatankuasa baharu SAFA Lahad Datu.

LAHAD DATU: Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Daerah Lahad Datu, Mohammad Abdul Karim mahu semua pihak berganding bahu menjayakan program pembangunan bola sepak daerah.

Beliau berkata, tumpuan pada program pembangunan itu menjadi keutamaan SAFA Lahad Datu kerana prestasi dan penampilan pasukan daerah perlu ditingkatkan.

"Kita bukanlah seperti badan sukan lain yang mempunyai dana persatuan untuk tujuan itu, namun saya percaya dan yakin dengan semangat sukan kita perlu bersatu menjayakan misi ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas pemilihannya menerajui SAFA Lahad Datu bagi sesi 2017-2021 di Dewan Tun Mustapha, semalam.

Mohammad mengajak pengurusan jawatankuasa baharu persatuan memainkan peranan jitu dan mengenepikan permasalahan lalu dengan bersemangat membuka lembaran baharu sukan itu.

Menurutnya, prestasi bola sepak daerah yang pernah mencipta kejayaan di peringkat luar perlu dijadikan penanda aras kemampuan anak-anak tempatan di sini.

Katanya, perubahan dan penambahbaikan akan dilaksanakan selepas ini untuk mencungkil dan menggilap bakat pemain di semua peringkat secara konsisten.

"Saya mahu meletakkan bolasepak daerah di tahap yang membanggakan semua kerana kita pernah mencapainya sebelum ini dan marilah kita sama-sama mengulangi serta mengecapi kegemilangan sejarah lalu itu," katanya.

Keputusan rasmi pemilihan menyaksikan Mohammad sebagai presiden, Timbalan Presiden Azmer Shamsuddin, Naib 1 Mohammad Noor Ariffin dan Naib 2 Haslan Dullah.

Jawatankuasa dibarisi Haslan Dullah, Lesley Sirub, Abdul Harun Sulai, Yusli Alfian Yunus, Hassan Abdul Karim, Suriansa Mansur, Jumaat Amir, Mohamed Radzalee Tatan dan Nasir Tunggara.

Seramai 169 perwakilan melibatkan 148 individu dan 21 gabungan mengundi.

Turut hadir ialah Pegawai Belia dan Sukan Daerah Irwan Iskandar.