Anda di sini

‘Little Mermaid’ boleh bantu selamatkan laut, kata Bardem

Advertisement
JAVIER BARDEM
JAVIER BARDEM

AKTOR Hollywood Javier Bardem sedang mengadakan perbincangan mendalam untuk membawa watak Raja Triton dalam ‘The Little Mermaid’ – tetapi pelakon berasal dari Sepanyol itu sudah pun menyelam di laut untuk dokumentari lautan baharunya yang mengadakan tayangan perdana di Festival Filem Toronto.

Dalam ‘Sanctuary’, kamera mengekori Javier dan saudaranya Carlos ke Antartika untuk belajar tentang – dan mendapatkan sokongan bagi – kempen Greenpeace untuk menyelamatkan lautan selatan itu daripada aktiviti manusia.

Pada satu peringkat, Bardem yang kelihatan cemas memasuki sebuah kapal selam dua orang yang kecil untuk mencedok sampel spesimen yang dirosakkan oleh perubahan iklim dan kapal pukat tunda dari dasar laut.

“Syukur kepada Tuhan saya tidak takut tempat tertutup … Ia seperti ‘Kinder Egg’!” katanya kepada AFP di Toronto. “Tetapi saya dalam jagaan selamat.”

Pelakon yang memenangi anugerah Oscar itu berkata dia dibesarkan oleh ibunya untuk “sentiasa bersuara mengenai perkara yang anda rasa adalah betul, tidak kira apa yang anda buat sebagai pekerjaan”, dan sejak beberapa tahun lalu, ia bermakna memperjuangkan alam sekitar.

Dia berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada bulan lepas, dan memberitahu kerajaan-kerajaan bahawa “dunia sedang melihat” usaha untuk mewujudkan perjanjian lautan global, dan memberi amaran bahawa “kita tidak mampu untuk melakukannya dengan salah”.

Namun dia juga ingin melihat Hollywood meningkatkan lagi usaha dengan “potensinya untuk mencapai jutaan manusia” bagi memupuk perubahan.

Dalam rundingan baru-baru ini dengan Rob Marshall untuk pembikinan semula filem aksi hidup ‘Little Mermaid’ terbitan Disney, Bardem berkata dia menggesa pengarah itu untuk menambah mesej alam sekitar kepada filem tersebut.

“Kita perlu mengambil kesempatan ke atas cerita cantik dan menakjubkan ini yang ditulis oleh (Hans Christian) Andersen dan memuatkan pencemaran lautan ke dalamnya,” kata Bardem.

“Kita dapat mencapai jutaan generasi muda … itu adalah sesuatu yang filem seperti ini dapat dan harus buat.”

Menurut Bardem, Marshall “sangat terbuka kepadanya”, – tetapi meyakinkan sebuah syarikat korporat gergasi tertentu mungkin satu perkara lain.

“Ini adalah jentera besar. Dia bukan seorang pengarah ‘auteur’ yang mempunyai filem kecilnya sendiri di mana dia dapat membuat setiap keputusan – ini adalah Disney.”

Bardem – yang memenangi Anugerah Oscar untuk ‘No Country for Old Men’ pada 2007 – mengakui ini bukan satu-satunya motivasinya untuk melibatkan diri dengan ‘Little Mermaid’.

Dia dan isterinya Penelope Cruz mempunyai dua orang anak termasuk seorang anak perempuan berusia enam tahun.

“Saya akan segera menjadi wiranya buat selama-lamanya,” katanya sambil bergurau. “Ayah akan menjadi seorang wira! Hanya untuk itu, ia adalah berbaloi.”

Namun menjadi seorang bapa juga sudah menguatkan tekadnya untuk memperjuangkan alam sekitar.

“Apabila kita ada anak, kita menjadi bapa kepada setiap kanak-kanak di dunia. Saya tahu bunyinya sangat basi, tetapi ia adalah benar,” katanya.

“Mereka akan berusia 18 atau 20 tahun dan mereka akan melihat kita dan mereka akan berkata ‘Anda patut malu. Anda tahu – apakah yang anda buat mengenainya?”

Bagi Bardem, sebahagiannya adalah memilih watak dengan mesej penting.

Dalam filemnya yang akan datang ‘Dune’, Bardem membawa watak pemimpin suku kaum terakhir yang hidup di sebuah planet dengan ekosistem yang telah rosak, dipaksa mengitar semula liur, peluh dan air kencing untuk tahan kepanasan.

“Perkara itu dapat menjadi realiti dalam masa 20 tahun,” katanya. — AFP

Advertisement