Anda di sini

Liga Perdana: The Citizens ‘mengamuk’ di Stadium Etihad

Advertisement
  Aguero diasak oleh dua pemain Watford pada perlawanan Liga Perdana Inngeris di Stadium Etihad, Manchester kelmarin. — Gambar AFP
SENGIT: Aguero diasak oleh dua pemain Watford pada perlawanan Liga Perdana Inngeris di Stadium Etihad, Manchester kelmarin. — Gambar AFP

LONDON, England: Manchester City ‘mengamuk’ di Stadium Etihad apabila juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu menjaringkan lima gol dalam tempoh 18 minit pada separuh masa pertama ketika menang 8-0 ke atas Watford sementara Leicester City mendapat kelebihan video bantuan pengadil (VAR) ketika menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 Sabtu lepas.

Dibantu oleh hatrik Bernardo Silva, City memusnahkan lawan mereka dengan mudah untuk mengatasi rekod kemenangan 7-0 ketika  menentang Norwich pada 2013, yang merupakan rekod kemenangan terbesar kelab dalam liga elit sebelum ini.

Walaupun mereka kurang satu gol untuk menyamai rekod kemenangan terbesar liga – ketika Manchester United membelasah Ipswich 9-0 pada 1995 – aksi meyakinkan mereka itu adalah satu cara sempurna untuk menebus kekalahan mengejut di Norwich minggu lepas.

Kemenangan itu melonjak City kembali ke tangga kedua liga, dua mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, yang bermain lewat di Chelsea.

“Apabila anda menjaringkan lima gol dari lima cubaan – kualiti pemain yang kami ada menjadi perbezaannya,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

“Apa yang saya paling suka ialah kebiasaannya apabila anda mendahului 5-0 pada masa rehat, separuh masa kedua tidak begitu serius, ia membosankan tetapi kami melakukan sebaliknya dan kami lebih agresif dan bermain dengan sangat baik dalam separuh masa kedua.

“Orang masih tidak faham, wartawan, pengulas sukan, bekas pemain, kekalahan adalah sebahagian dari kehidupan. Kami boleh tewas perlawanan tetapi apa yang penting ialah cara kami melihat dan bangkit dari kekalahan itu.”

City membelasah Watford 6-0 di final Piala FA Inggeris musim lepas dan mereka mengekalkan rentak yang sama dengan menamatkan saingan lawan sebelum 30 minit permainan dalam separuh masa pertama.

David Silva membuka jaringan seawal minit pertama sebelum Sergio Aguero menambah jaringan dari satu tendangan penalti enam minit kemudian.

Walaupun tanpa penyerang Raheem Sterling, City menjadikan kedudukan 3-0 dari satu tendangan percuma Riyad Mahrez yang terkena kepala Tom Cleverley dan masuk ke pintu gol.

Bernardo menjaringkan gol pertama beliau pada minit ke-15 sebelum Nicolas Otamendi menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-18.

Bernardo Silva melengkapkan hatrik beliau selepas rehat dan Kevin De Bruyne melengkapkan jaringan pada lewat permainan.

Di Stadium King Power, Leicester City membuktikan kemampuan mereka mengejutkan empat pasukan teratas liga apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Tottenham.

Harry Kane membuka jaringan buat Spurs pada minit ke-29 tetapi permainan memihak kepada Leicester selepas gol oleh pemain pertahanan Spurs, Serge Aurier pada pertengahan separuh masa kedua tidak dibenarkan pengadil selepas semakan VAR kerana ofsaid.

Leicester mengambil sepenuh peluang dari kekecewaan pemain Spurs apabila mengikat kedudukan tidak lama selepas itu dengan gol Ricardo Pereira sebelum James Maddison menjaringkan gol kemenangan dengan satu rembatan jarak jauh, lima minit sebelum tamat permainan.

Tottenham hanya menang dua dari tujuh perlawanan pertama musim ini dalam semua pertandingan dan pengurusnya, Mauricio Pochettino mengakui kontroversi VAR memainkan peranan dalam keputusan hambar pasukannya.

Beliau terkilan kerana rentak permainan memihak kepada pasukan tuan rumah ekoran semakan VAR yang terlalu lama sebelum gol Aurier dibatalkan.

“Emosi permainan berubah. Ia memberikan harapan dan keyakinan kepada Leicester pada 10 minit terakhir,” kata Pochettino.

“Saya hanya berkata kami boleh menerima semua sistem dalam sukan ini dan sekarang saya tidak akan merungut.”

Pada perlawanan lain, Burnley menewaskan Norwich 2-0 di Turf Moor menerusi dua gol Chris Wood.

Sheffield United menambah tekanan ke atas pengurus Everton, Marco Silva, di mana pasukan beliau dicemuh penyokong sendiri selepas  tewas 0-2 di Goodison Park sementara Newcastle United juga dicemuh penyokong sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan Brighton di St James’ Park. — AFP

Advertisement