Anda di sini

Kuching FA belasah Tun Razak FC

Advertisement
 Zainuddin (dua kanan) mengejar bola sambil dicabar pemain Tun Razak FC pada perlawanan Liga M3 2019 di Stadium Sarawak, Petra Jaya Kuching malam kelmarin.
CABAR: Zainuddin (dua kanan) mengejar bola sambil dicabar pemain Tun Razak FC pada perlawanan Liga M3 2019 di Stadium Sarawak, Petra Jaya Kuching malam kelmarin.

KUCHING: Pengendali Kuching FA, Ideris Untong akui masih belum berpuas hati dengan jentera serangannya meskipun berjaya membelasah Tun Razak FC dengan 6-0 dalam aksi Liga M3 2019 di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini malam kelmarin.

Menurut Ideris, pasukannya boleh menang dengan jaringan lebih besar namun masalah ketumpulan jentera serangan banyak mensia-siakan deretan peluang yang terhidang.

“Saya masih kurang berpuas hati kerana penyudah kita masih tumpul. Separuh masa pertama kita ada sekurang-kurangnya 16 peluang terbaik.

“Masalah ini perlu ditangani dengan segera kerana walaupun kita bermain dengan baik namun ia tidak memberi makna jika kita gagal menjaringkan gol,” katanya ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Bagaimanapun, Ideris tetap gembira dengan kemenangan itu sambil berharap tiga mata dapat menyuntik moral semua pemain untuk meningkatkan mutu permainan mereka dalam baki perlawanan selepas ini.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah tidak menunggu lama apabila Sufizal Ismail membuka jaringan seawal minit ketiga selepas menerima lorongan cantik daripada Dzulazlan Ibrahim.

Minit ke-37 giliran Samsu Alam Abdul Samad mencetak nama selaku penjaring selepas melakukan percubaan dari luar petak penalti lawan.

Berselang babak kedua, Kuching FA menggandakan asakan demi asakan dalam usaha menambah jaringan.

Gol ketiga skuad warga kota itu menjelma pada minit ke-50 hasil jaringan pemain sayap, Mohd Zainuddin Bohri selepas menyambar bola gagal ditampan kemas oleh penjaga gol lawan, Mohd Hafidz Romly.

Anak-anak didik Ideris terus selesa selepas pemain pertahanan Tun Razak FC, Mohd Syazwan Mohamed Rani menjaringkan gol sendiri pada minit ke-63.

Impian kelab berpangkalan di ibu negara itu untuk cuba bangkit terus kempunan setelah Kuching FA menambah gol kelima pada minit ke-77 hasil jaringan Dzulazlan menerusi sepakan penalti.

Pesta gol Kuching FA diteruskan dengan jaringan keenam oleh Muhammad Yazid Ahzhar pada minit ke-79.

Kuching FA kini mengumpul 46 mata namun kurang satu perlawanan untuk kekal di tangga kedua liga.

Skuad itu akan meneruskan kempen menentang BTK FC pada 28 September ini di Padang Astaka, Kuala Berang, Terengganu.

  • oleh
  • Advertisement