Anda di sini

Kes letupan gas CityONE: Syarikat elektrikal dihadapkan ke mahkamah

Advertisement
 

KUCHING: Sebuah lagi syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berikutan insiden letupan gas di CityONE Megamall 4 Disember tahun lepas.

Pengurus Sin Nyen Electronic Electrical, yang namanya tidak didedahkan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa (PO) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Wilson Lee. 

Hakim Taufik Mohd @ Mohd Yusoff menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes selain membenarkan pengurus syarikat itu dibebaskan dengan jaminan mahkamah berjumlah RM10,000. 

Mahkamah juga mengarahkan PO untuk menyediakan pertuduhan baharu yang lebih jelas dan terperinci berikutan pertuduhan yang dikemukakan tidak jelas.

Syarikat elektrikal berkenaan didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

Jika sabit kesalahan, entiti berkenaan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebutan kes hari ini juga menyaksikan individu yang mewakili subkontraktor sepatutnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berbeza untuk dituduh bagi insiden sama. 

Namun, Hakim Marutin Pagan, hakim yang mengendalikan kes berkenaan sedang menjalankan tugas di tempat lain. 

Justeru, kes membabitkan pengurus subkontraktor berusia 56 tahun itu dijadualkan untuk disebut semula pada 8 Oktober depan. 

Individu berkenaan didakwa di bawah Seksyen 17(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

Syarikat elektrikal itu diwakili peguam, Siew Chen Fui manakala subkontraktor itu diwakili peguam Voon Lee Shan. 

Insiden letupan gas di CityONE Megamall tahun lepas itu berlaku akibat kebocoran gas.

Peristiwa itu menyaksikan tiga terkorban dan 41 cedera termasuk empat cedera parah dalam kejadian letupan sekitar pukul 3.30 petang itu.

  • oleh
  • Advertisement