Anda di sini

Kemunculan sulung e-Sport di Sukan MASISWA Zon Sabah 2019

 Para atlet mewakili 19 IPTS yang menyertai Kejohanan Sukan MASISWA Zon Sabah merakam gambar kenangan selepas kejohanan itu.
SEMANGAT KESUKANAN: Para atlet mewakili 19 IPTS yang menyertai Kejohanan Sukan MASISWA Zon Sabah merakam gambar kenangan selepas kejohanan itu.

KOTA KINABALU: Fenomena sukan elektronik atau e-Sport yang kini menjadi kegemaran remaja di Malaysia dilihat semakin berkembang pesat seiring dengan gelombang perdana bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Malah, arena e-Sport juga semakin mendapat perhatian banyak pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan yang mengiktirafnya sebagai satu bentuk sukan kompetitif di peringkat global. Kerajaan ingin memupuk golongan ini untuk diketengahkan ke saingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan memperkenalkan Liga E-Sport dalam usaha mencungkil bakat baharu untuk mewakili negara dalam acara e-Sport yang bertaraf antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, e-Sport mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara serta mempunyai pengikut yang besar.

"Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019, kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membangun dan menggalakkan e-Sport sebagai satu aktiviti dan industri yang diminati oleh generasi muda," katanya.

Kejohanan Sukan MASISWA Zon Sabah tahun ini telah berlangsung selama tiga hari dengan penyertaan seramai 1,100 atlet yang mewakili 19 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dari seluruh Sabah.

Kejohanan itu menampilkan sembilan jenis sukan seperti badminton, bola tampar, boling tenpin, futsal, sepak takraw, catur, bola jaring serta acara sukan terbaharu iaitu e-Sport dan Aerodance.

Johan keseluruhan pada tahun ini disandang oleh University College Sabah Foundation (UCSF) dengan 4 emas dan 1 perak, diikuti rapat naib johan SIDMA College Sabah dengan 4 emas dan 1 gangsa. Tempat ke-3 jatuh kepada North Borneo University College (NBUC) dengan 2 emas, 3 perak dan 4 gangsa.

Dalam teks ucapan Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe yang disampaikan oleh Setiausaha Politik Henry Shim, beliau berkata Kejohanan Sukan MASISWA Zon Sabah telah berjaya mencungkil bakat atlet yang boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa mengikut disiplin sukan masing-masing.

Beliau menekankan kepentingan budaya bersukan dalam kalangan pelajar di menara gading sebagai pemangkin gaya hidup sihat.

Beliau juga memuji usaha terbaik pihak tuan rumah Kejohanan Sukan MASISWA Zon Sabah tahun ini iaitu Kolej Asia Metropolitan Kota Kinabalu di atas kejayaan menganjurkan kejohanan itu.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naresh Alagan, Ketua Eksekutif Kolej Asia Metropolitan Kota Kinabalu Kristy Ng Sze Nee, Presiden Majlis Belia Sabah Ahmad Farid Sainuri dan Pengasas E-Sport Komuniti Sabah Mohd Azhar Ramili.