Anda di sini

Kekuatan Kepimpinan Diri

Hayati bagaimana dunia peribadi anda menentukan kejayaan awam anda.
 
Oleh ERIC LAU

Dalam dunia korporat, kejayaan amat dimartabatkan. Dalam dunia organisasi, kejayaan bermakna mencapai sasaran keuntungan, memenuhi jangkaan pemegang saham dan menepati visi organisasi.

Acap kali, pemimpin korporat berhempas-pulas untuk mencapai matlamat-matlamat ini. Dari satu segi, kejayaan itu manis dan diterima baik. Ia membawa kepuasan peribadi, ganjaran kewangan dan tujuan hidup yang bermakna.

Namun dari perspektif yang lain, ada juga kelemahannya. Pemimpin-pemimpin ini selalunya bekerja terlalu keras dan sehingga lewat malam. Hal ini boleh menjejaskanbudaya sosial dan hubungan di tempat kerja, dan sesetengah pula mungkin memilih untuk melanggar etika dalam menjalani urusan perniagaan.

Semua ini dilakukan atas alasan meraih kejayaan untuk organisasi.

Pimpin diri anda terlebih dahulu

Tugas seseorang pemimpin adalah memimpin organisasi sendiri. Namun kepimpinan terbaik untuk menjamin kejayaan yang bermakna hanya tercapai apabila pemimpin belajar untuk memimpin dirinya terlebih dahulu.

Logiknya mudah: jika anda tidak berdaya memimpin diri sendiri, anda sebenarnya tidak mampu memimpin orang lain. Kehidupan peribadi seseorang pemimpin sering kali menjadi penentu kejayaan awam mereka. Bagaimanapun, kepimpinan kendiri bermula dengan kesedaran diri.

Saya pernah menjadi peminat American Idol. Bahagian yang saya suka dalam rancangan realiti TV ini adalah pada permulaan musim, iaitu saat uji bakat diadakan. Saya sangat seronok menonton bahagian ini!

Sekiranya anda mengikuti rancangan tersebut, anda bakal menyaksikan kesudahan beberapa peserta. Anda akan nampak peserta yang ‘cuba’ menyanyi. Apabila dia selesai, para juri membuat keputusan peserta ini gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Apakah yang berlaku selepas ini? Peserta tersebut bergegas keluar dari bilik uji bakat dengan diekori jurukamera. Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya. Dia mempertikaikan keputusan tersebut. Dia menganggap barisan juri tidak menghargai bakatnya yang luar biasa dan menaruh prasangka terhadapnya.

Tetapi tunggu sekejap. Saya dan anda yang menonton sedar bahawa peserta ini tidak boleh menyanyi. Juri-juri profesional sedar peserta ini tidak boleh menyanyi.

Namun demikian, satu-satunya insan yang tidak tahu bahawa peserta ini tidak boleh menyanyi ialah dirinya sendiri! Dia sama sekali tidak sedar diri akan kemampuannya (atau sebenarnya, ketidakmampuannya) untuk menyanyi.

Ramai pemimpin korporat hanyut dalam situasi sedemikian. Dalam usaha untuk mencapai kejayaan, mereka kurang sedar akan cara memimpin diri sendiri dan orang lain. Acap kali, mereka mudah gelap mata dengan kejayaan jangka pendek dan tidak nampak dengan jelas aspek yang benar-benar penting.

Walau bagaimanapun, seseorang pemimpin hanya mampu sedar diri apabila mereka membuat refleksi kendiri. Terdapat pelbagai aspek yang harus dipertimbangkan oleh seseorang pemimpin, tetapi buat masa ini saya ingin tumpukan perhatian pada tiga titik cerminan utama.

Berkaitan: Mula Dengan Insan Cerminan Diri 1. Dorongan pemimpin

Apakah yang mendorong seseorang pemimpin untuk berjaya? Saya sebenarnya ingin menyatakan bahawa semua pemimpin mempunyai tujuan yang murni, iaitu merealisasikan matlamat korporat yang mampan, membantu para pekerja menambah baik diri dan maju dalam kerjaya mereka serta memastikan organisasi masing-masing meninggalkan impak yang positif terhadap masyarakat.

Malangnya, kita sering berhadapan dengan pemimpin yang memagar diri bagai aur dan besar kepala. Mereka sering menyembunyikan niat sebenar dengan berselindung di sebalik wawasan strategik — kononnya, mereka nampak gambaran secara keseluruhan.

Akibatnya, hal ini menghakis budaya organisasi yang positif, organisasi distruktur semula tanpa ada angin tanpa ada ribut, kepercayaan dan kesetiaan pekerja semakin menipis dan pekerja yang bagus mula meninggalkan syarikat.

Kesudahannya, matlamat jangka pendek pemimpin dapat dipenuhi. Dia berjaya memperoleh durian runtuh. Pemimpin ini nampak macam malaikat di depan bos. Diamelabel dirinya sebagai pakar dalam strategi pemulihan. Vitae kurikulumnya sangat sempurna untuk mengejar pekerjaan yang lebih besar.

Bagaimanapun, dia menyebabkan kekacauan dalam struktur syarikat, budaya yang kurang enak dan strategi perniagaan terlaksana yang kurang mampan. Pemimpin yang terdorong oleh wang, kuasa dan ego sering membuat keputusan berlandaskan keuntungan sendiri. Sebaliknya, pemimpin yang benar-benar hebat memiliki niat yang ikhlas dan berusaha membangunkan syarikat dengan tulus ikhlas.

2. Keluarga pemimpin

Saya suka takrifan kejayaan oleh John Maxwell. Katanya, 

“MAKNA SEBENAR KEJAYAAN ADALAH DISAYANGI DAN DIHORMATI OLEH INSAN YANG PALING RAPAT DENGAN SAYA.”

Saya setuju!

Bagi kita semua, insan yang paling rapat ialah pasangan, anak-anak, ibu bapa dan adik-beradik. Agak mengecewakan tatkala ramai pemimpin bekerja keras untuk mendaki tanggakejayaan namun pada titik akhir pendakian, tangga tersebut tersandar pada dinding yang tidak sepatutnya.

Saya pernah berucap di hadapan beberapa pemimpin sebuah syarikat multinasional akan kepentingan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan. Dalam sesi tersebut, saya menyentuh isu yang berkaitan dengan keluarga.

Pada akhir sesi, peserta yang berpangkat paling kanan dalam bilik tersebut secara senyap-senyap mendekati saya untuk mengucapkan terima kasih atas perkongsian yang diberi. Dengan air mata yang berlinangan, dia memberitahu dia sepatutnya mendengar ucapan saya berkenaan kepentingan hubungan kekeluargaan 30 tahun yang lepas.

Dia kemudian menceritakan bahawa dia telah bekerja keras untuk mencapai kejayaan dalam dunia korporat bertahun-tahun lamanya sehingga dia mengabaikan dua orang anak perempuannya. Hari ini, kedua-dua orang anaknya mempunyai keluarga sendiri dan menetap di luar negara. Dia dan isteri bertemu dengan mereka setiap tahun atau dua tahun sekali.

Yang paling menyedihkannya bukanlah jarak geografi yang memisahkannya dengan anak-anaknya namun jurang perhubungan dan emosi antara mereka. Pemimpin yang baik sentiasa memberi tumpuan pada aspek yang benar-benar penting, iaitu keluarga mereka.

3. Kesihatan pemimpin

Pemimpin boleh mendesak diri untuk bekerja keras namun sekiranya mereka tidak berhati-hati, hal ini bakal menjejaskan kesejahteraan fizikal mereka.

Pokok pangkalnya, sekiranya kesihatan kita tidak terjaga, kita bakal ketandusan kekuatan dan tenaga untuk memenuhi impian. Bukan sekali kita terdengar cerita berkenaanpemimpin korporat yang meninggal dunia akibat tekanan di tempat kerja.

Cuba ingat balik kisah Ranjan Das, ketua pegawai eksekutif SAP India, yang meninggal akibat serangan jantung pada tahun 2009. Usianya baru mencecah 42 tahun.

Mereka yang mengenalinya berkata, Ranjan bukanlah seorang yang mereka sangka boleh terkena serangan jantung. Dia pelari maraton yang tegar, ramai tahu dia suka bersenam dan menjaga pemakanannya.

Hakikatnya, Ranjan meninggal sejurus selepas sesi senaman. Dengan tahap kesihatannya yang hebat, tiada sesiapa yang percaya Ranjan meninggal dengan cara yang sedemikian.

Namun setelah diteliti, rupa-rupanya Ranjan secara purata hanya tidur selama empat hingga lima jam sehari. Dia mempunyai jadual kerja yang padat bertali arus dan hidupnya dipenuhi tekanan.

Hakikatnya, tidak kira sejauh mana latihan dan diet sihat yang diamalkan seseorang, hal ini tidak mampu mengubati gaya hidup yang dibebani tekanan. Sukar bagi pemimpin untuk hidup bebas daripada tekanan namun yang pasti, mereka mampu menguruskan tahap tekanan dengan mengawal aspek yang membebankan fikiran dan jasad.

Akhir kata

Pemimpin yang baik memimpin organisasi mereka dengan sebaik-baiknya. Pemimpin yang lebih baik memimpin diri mereka terlebih dahulu. Sebaik sahaja mereka kenal pasti niat sebenar dan perkara yang mendorong mereka, kejayaan yang besar bakal menjelang tiba.

Oleh itu, kepada setiap pemimpin di luar sana, ambil masa untuk membuat refleksi kendiri. Refleksi kendiri akan mewujudkan kesedaran diri, lantas mendorong seseorang membetulkan diri dan akhirnya membawa pada transformasi diri.

LOGIKNYA MUDAH SEKALI: JIKA ANDA TIDAK BERDAYA MEMIMPIN DIRI SENDIRI, ANDA SEBENARNYA TIDAK MAMPU MEMIMPIN ORANG LAIN. KEHIDUPAN PERIBADI SESEORANG PEMIMPIN SENTIASA MENJADI PENENTU KEJAYAAN AWAM MEREKA.

Sumber
Sumber