Anda di sini

Kebakaran hutan di Sri Aman berjaya dipadamkan

Advertisement
 Keadaan kebakaran hutan di Sektor A Kampung STC Sri Aman pada petang semalam. — Foto JBPM
SEMAKIN PULIH: Keadaan kebakaran hutan di Sektor A Kampung STC Sri Aman pada petang semalam. — Foto JBPM

KUCHING: Operasi pemadaman kebakaran hutan tanah gambut di Sri Aman semalam menggunakan pesawat CL-415 Bombadier Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya dilakukan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata operasi semalam  membuahkan hasil dengan mencedok air 10 kali dengan jumlah 60,000 liter air yang disembur ke kawasan kebakaran di Kampung STC Sri Aman.

“Operasi bermula jam 8.15 pagi dan berakhir jam 12.15 tengah hari, sedikit sebanyak dapat memadamkan kebakaran hutan (di Sri Aman) sekali gus menurunkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU),” katanya.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan bahawa operasi sama telah dilakukan pada 18 dan 21 September lalu tetapi gagal kerana pesawat tidak dapat melakukan operasi ‘water scooping’ disebabkan lokasi melakukan operasi itu terdapat pukat nelayan dan tidak mendapat kerjasama penduduk setempat bagi mengalihkan pukat berkenaan.

Uggah juga berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan tinjauan selepas itu memaklumkan bahawa objek meragukan tersebut adalah pancang dan tidak dapat dibuang.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua agensi yang bertungkus-lumus menjayakan operasi pemadaman dan pembenihan awan terutama JBPM, APMM, METMALAYSIA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Lembaga Air Kuching (LAK).

“Begitu juga dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Residen Sri Aman,” katanya.

Sementara itu berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat jam 6 petang semalam, Sri Aman mencatat bacaan IPU 192 (tidak sihat) berbanding sangat tidak sihat iaitu 202 pada jam 12 tengah hari.

Selain Sri Aman, tiga lagi kawasan merekod bacaan tidak sihat iaitu Samarahan (120), Kuching (108) dan Miri (103).

Lapan lagi kawasan mencatat bacaan sederhana iaitu Miri (98), Sarikei (95), ILP Samalaju (93), Sibu (86), Mukah (76), Bintulu (72), Limbang (71) dan Kapit (59).  

Manakala jumlah titik panas dikesan di Sarawak setakat jam 5 petang semalam hanya dua iaitu di Lundu.

Sumatera merekodkan titik panas tertinggi iaitu 777 manakala Kalimantan 363.

  • oleh
  • Advertisement