Anda di sini

JKKK kekal, tidak diganti MPKK

Advertisement
UGGAH

KUCHING: Kerajaan persekutuan bersetuju tidak akan menukar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia juga bersetuju untuk tidak memperkenalkan atau menubuhkan MPKK di negeri ini sebaliknya mengekalkan JKKK sedia ada.

Malahan katannya, kerajaan persekutuan bersetuju dengan pandangan kita bahawa kewujudan badan lain akan menyebabkan kekeliruan dan memecahbelahkan rakyat.

“Saya ingin membuat penjelasan mengenai respons yang dibuat Menteri Kerja Raya Baru Bian dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen mengenai MPKK.

“Apabila kerajaan persekutuan membuat keputusan untuk menukar nama JKKK kepada MPKK, Kerajaan Sarawak menegaskan agar nama JKKK harus dikekalkan di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Pada masa sama katanya, kerajaan persekutuan memutuskan untuk mengurangkan elaun JKKK kepada RM500 dan ia telah membuat bayaran elaun kepada kerajaan negeri tanpa gagal.

Di Sarawak katanya, kerajaan persekutuan  mengiktiraf bahawa Pengerusi JKKK masing-masing adalah daripada ketua kaum yang dinamakan tuai rumah, ketua kampung dan kapitan.

Selepas itu ujarnya, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menambah RM400 lagi untuk bayaran elaun kepada mereka kerana sebelum ini ketua kaum telah menerima elaun RM900 seorang setiap bulan.

“Saya ingin menyatakan di sini bahawa Kerajaan Sarawak belum dimaklumkan secara rasmi tentang sebarang cadangan untuk menukar JKKK kepada MPKK kecuali kenyataan media oleh tiga Yang Berhormat,” katanya.

Uggah memberitahu pada masa ini, JKKK telah memperlihatkan dirinya sebagai jentera akar umbi yang cekap di negeri ini terutama bertindak sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan.

“Oleh itu, pada dasarnya tidak perlu mempunyai badan alternatif untuk ditubuhkan bersama JKKK.

“Ini hanya membawa kepada kekeliruan dan pasti akan memecahbelahkan rakyat,” kata beliau. — Bernama

Advertisement