Anda di sini

Jerebu: Penyakit asma, konjuntivitis meningkat namun URTI menurun

Advertisement
DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan jumlah kes pesakit berkaitan jerebu; asma dan konjunktivitis  di 33 buah Fasiliti Sentinel Jerebu di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun penurunan bagi kes pesakit yang mendapatkan rawatan bagi jangkitan saluran pernafasan (URTI) di sini.

"Terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 3.5 peratus iaitu dari 1,222 kepada 1,265 kes, pada Minggu Epid (ME) ke 38 iaitu dari 15 hingga 21 September, berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 pada 30 Jun hingga 7 September lepas.

"Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 51.4 peratus iaitu dari 266 kepada 403 kes pada tempoh sama.

"Manakala penyakit URTI menunjukkan penurunan sebanyak 9.6 peratus iaitu daripada 8,258 kepada 7,465," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peningkatan kes adalah ekoran daripada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 8 malam, 22 September yang menunjukkan 24 stesen berada pada bacaan tahap sederhana, 42 stesen berada pada bacaan tahap tidak sihat dan sebuah stesen mempunyai bacaan tahap sangat tidak sihat.

Hasil pemantauan pihak KKM, ME ke 38 iaitu 15 hingga 21 September terdapat  17  kawasan merekodkan status IPU Sangat Tidak Sihat di Kulim Hi-Tech, Balik Pulau, Minden, Taiping, Johan Setia, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Putrajaya, Batu Muda, Nilai, Tangkak, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan Kuching.

"Tiada kawasan merekodkan status IPU Bahaya pada ME 37 bagaimanapun pada ME 38 terdapat satu (1) kawasan merekodkan status IPU Bahaya iaitu Sri Aman," tambahnya.

Justeru, KKM menasihati orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat daripada jerebu.

Bagi mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, orang ramai boleh melayari laman sesawang KKM di http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Orang ramai disaran untuk mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/ dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.

Advertisement