Anda di sini

Jambatan Batu Danau kini sudah selamat digunakan

 Dr Abdul Rahman (dua kiri) dan Paulus (dua kanan) mendengar taklimat daripada pegawai JKR Limbang.
LAWAT: Dr Abdul Rahman (dua kiri) dan Paulus (dua kanan) mendengar taklimat daripada pegawai JKR Limbang.

LIMBANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang membaik pulih Jambatan Batu Danau yang rosak sebelum ini dan memberi jaminan sudah selamat digunakan mulai Khamis lalu.

Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang sambil diiringi Jurutera Bahagian Limbang Noor Ismail Razali serta pegawai-pegawai JKR melawat jambatan itu pada Jumaat lalu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada JKR kerana berjaya membaik pulih bahagian yang rosak di kedua-dua belah jambatan itu dan kini selamat digunakan semula,” kata Dr Abdul Rahman di sini semalam.

Bagaimanapun, pembaikan itu hanya bersifat sementara sambil menunggu ketibaan bahan baharu untuk menggantikan rangka atau sambungan jambatan itu dengan yang baharu bernilai RM100,000.

Menurutnya, projek itu dibiayai kerajaan pusat dan ‘sendi’ baharu jambatan itu diperlukan bagi memastikan keselamatan semua kenderaan dan mengelakkan kerosakan berulang menyebabkan kemalangan.

“Pada Mei 2016, dua kemalangan jalan raya berlaku di jambatan tersebut disebabkan  kerosakannya.

“Salah satu kemalangan berlaku pada 20 Mei dengan pemandu van mengalami kecederaan ringan namun kenderaannya rosak teruk,” jelasnya.

Dr Abdul Rahman berkata, JKR turut memberi jaminan pada masa sama mereka akan memantau secara dekat jambatan itu terutama kerja-kerja pembaikan sementara untuk sendi jambatan yang sudah rosak.

“Sendi baharu menyambungkan jambatan itu terpaksa dibeli dari luar Sarawak dan dijangka disediakan dan dipasang dalam tempoh dua hingga tiga bulan,” katanya.