Anda di sini

Hero bomba tempa nama sukan bina badan ke peringkat antarabangsa

Advertisement
 Ezam (tengah), Mohd Kasrul dan Yusri (kiri) mempamerkan tubuh badan mereka yang sasa ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Terengganu, semalam. — Gambar Bernama
HERO SADO: Ezam (tengah), Mohd Kasrul dan Yusri (kiri) mempamerkan tubuh badan mereka yang sasa ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Terengganu, semalam. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Hero sado. Itu gelaran yang sesuai diberikan buat anggota bomba ini yang bukan sahaja bergelumang dengan asap memadam kebakaran atau menyelamatkan nyawa dan harta benda, tetapi turut menempa nama di peringkat antarabangsa dalam sukan bina badan.

Ezam Aziery Mamat, 35, yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu berkata minatnya dalam bidang bina badan ini telah berputik sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila melihat aktor-aktor antarabangsa yang bertubuh tegap dan ‘berketak’ di kaca televisyen.

“Saya membesar pada zaman Salman Khan dan selalu tengok badan dia tegap dan sado. Saya juga jadikan Arnold Schwarzenegger sebagai idola saya. Cuma pada waktu itu saya tidak mempunyai peralatan khusus untuk bina badan.

Jadi saya guna peralatan yang ada di sekeliling seperti simen, alat ganti lori dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini.

Beliau yang berasal dari Kuala Nerus itu nekad mendapatkan bentuk badan yang tegap dan sasa pada 2005 dan menyertai lebih 20 kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak 2011.

Selain menang Mr Malaysia 2015, Ezam Aziery turut merangkul emas bagi Kejohanan Sukan Bomba Dunia 2018 di Chungju, Korea Selatan dan terbaru, beliau menjuarai Kejohanan Sukan Polis dan Bomba Dunia 2019 bagi acara ‘Powerlifting Bench Press’ bagi kategori 83-93kg di Chengdu China bulan lepas.

Dua lagi rakan sepasukan Ezam Aziery di BBP Kuala Terengganu iaitu Mohd Kasrul Zuhairie Mohd Zubir, 34, dan Yusri Yong, 43, turut mengikut jejak langkahnya dalam bidang bina badan dan memenangi pelbagai pingat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bagi Mohd Kasrul Zuhairie, kemudahan gimnasium yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan termasuk peralatan bina badan di BBP Kuala Terengganu telah banyak membantunya untuk mendapatkan tubuh yang tegap.

“Kalau tidak ada kes atau operasi selalunya saya akan menghabiskan masa lebih kurang dua jam di gimnasium tersebut. Kalau boleh setiap hari perlu berlatih, sekiranya tidak berlatih dalam tiga hari mesti badan rasa tidak selesa,” katanya.

Beliau juga menganggap tubuh tegap yang dimilikinya itu sebagai satu peluang untuk lebih dekat dan akrab dengan masyarakat.

“Jika pergi ke sekolah untuk berkempen kanak-kanak lebih tertarik dan rapat dengan ‘pakcik-pakcik bomba’ ini (berbadan sado). Jadi mereka akan lebih berminat untuk mendengar ceramah, bergambar dan ingin mengetahui bagaimana kehidupan kami (anggota bomba),” katanya.

Yusri pula menjadikan kelebihan fizikalnya itu untuk membantu meringankan beban rakan-rakan sepasukannya ketika menjalankan operasi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

“Peralatan kebombaan semuanya berat-berat jadi tidak ada masalah untuk kami mengangkat peralatan berat. Kalau sebelum bina badan saya mudah berasa mengah untuk angkat barang berat tapi kini tugasan itu lebih mudah dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu , Rozizah Abni Hajar yang juga  ketua BBP Kuala Terengganu berkata ketiga-tiga mereka memberi inspirasi kepada anggota lain mendapatkan badan yang sihat dan sentiasa berstamina ketika menjalankan tugas.

Katanya ketiga-tiga anak buahnya itu menjadi antara jurulatih dalam program ‘Boot Camp’ yang diperkenalkannya pada Februari lepas, dalam misi memastikan 117 anggota di balai tersebut bebas daripada obesiti.

“Melalui program Boot Camp ini kami kenal pasti anggota yang mengalami obesiti, dan mereka ini telah menjalani proses penurunan berat badan selama sebulan dengan dipantau jurulatih termasuk Ezam, Kasrul dan Yusri.

Hasil daripada program itu kami dapat lihat anggota-anggota ini berjaya turunkan berat badan mereka. Ada yang turut sehingga 20 kilogram hanya dalam tempoh sebulan,” katanya sambil berkata Indeks Jisim Tubuh (BMI) semua anggotanya dipantau dan diperiksa setiap dua bulan. — Bernama

Advertisement