Anda di sini

Graduan OKU dari Sarawak penerima Hadiah Pingat Emas USM

Advertisement
 Teresa Wong mencium Felicia yang akan menerima pingat emas Universiti Sains Malaysia (USM) bagi pelajar kelainan upaya pada Majlis Konvokesyen USM ke-57 yang bermula esok pada sidang akhbar semalam. — Gambar Benama
TAHNIAH: Teresa Wong mencium Felicia yang akan menerima pingat emas Universiti Sains Malaysia (USM) bagi pelajar kelainan upaya pada Majlis Konvokesyen USM ke-57 yang bermula esok pada sidang akhbar semalam. — Gambar Benama

GEORGE TOWN: Biarpun dilahirkan dengan daya penglihatan yang terhad, seorang graduan kelainan upaya (OKU) Felicia Pui Jia Yin, 24, kini bakal dianugerahkan Hadiah Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM) kategori pelajar kelainan upaya pada upacara konvokesyen yang akan berlangsung bermula hari ini.

Felicia, yang berasal dari Sarawak, dahulunya tidak menerima pengajian di peringkat sekolah rendah kini bakal bergraduasi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.76 dalam Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Inggeris.

“Sebagai seorang insan berkelainan upaya masalah penglihatan, saya yakin mampu mencapai kejayaan walaupun saya tidak sama seperti manusia lain.

Sejak di bangku sekolah, adalah menjadi impian saya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti biarpun saya tidak menerima pendidikan awal di sekolah rendah,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, semalam.

Felicia berkata, beliau mula mendapat pendidikan formal pada usia 14 tahun setelah memasuki tingkatan satu di Sekolah Menengah Perempuan St George Pulau Pinang.

“Sebelum memasuki tingkatan satu, ibu telah mengajar saya mengenal huruf di rumah. Saya juga mula belajar muzik sejak berumur 10 tahun, berlainan dengan adik saya yang mengikuti sesi persekolahan di peringkat sekolah rendah,” katanya.

Adiknya, Andrea Pui Jia Hui, 23, yang juga mengalami kecacatan penglihatan turut akan bergraduasi bersama Felicia dalam bidang yang sama dengan keputusan yang cemerlang. Kedua-dua mereka kini berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang terjemahan.

Felicia berkata, dalam kesibukan menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, beliau dan adiknya dalam masa yang sama cuba menggenggam Diploma dalam bidang muzik khususnya piano dari sebuah universiti tempatan. Tambahnya, mereka berdua juga kini mengambil kursus pengajian bahasa asing dan kini menumpukan kepada bahasa Perancis.

Kata Felicia, beliau bercita-cita untuk menjadi penterjemah manakala adiknya Andrea mahu menjadi guru muzik dan guru bahasa.

Sementara itu, Alexander Tan Wai Teng, 24, yang berasal dari Pulau Pinang bakal menerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-raja Malaysia kategori pelajar terbaik bukan bumiputera.

Alaxender berkata, beliau telah mendapat Anugerah Dekan sepanjang pengajiannya selama tiga tahun di USM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanik (Kepujian) dengan CGPA 3.93 biarpun terpaksa berhempas pulas menamatkan pengajiannya dalam masa yang sama menjaga ibunya yang telah diserang strok sejak empat tahun lepas.

USM juga bakal menganugerahkan Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia kategori pelajar bumiputera kepada Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi Suhardi, 24, Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Loh Shean Min, 24, Anugerah Pingat Emas Naib Canselor kategori Pemimpin Pelajar Cemerlang Bebiyana Bidin, 24, dan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor kategori Pelajar Tahun Akhir Terbaik Lapangan Sukan kepada Tham Khai Xin, 24, selaku atlet renang. — Bernama

Advertisement