Anda di sini

Fokus mantap sistem perhubungan terus diutamakan

Advertisement
 Huang meninjau kerja menaik taraf jalan di Jalan Xin See, semalam.
TURUN PADANG: Huang meninjau kerja menaik taraf jalan di Jalan Xin See, semalam.

SARIKEI: Fokus untuk memantapkan sistem perhubungan yang merangkumi jalan kampung dan rumah panjang akan terus diberikan keutamaan dalam pelan pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha tersebut merangkumi kerja menaik taraf jalan lama kepada jalan yang lebih berkualiti dan selesa bagi penduduk di kawasan terbabit.

“Kini usaha menurap atau menyimen jalan-jalan lama di kawasan DUN Repok giat dijalankan dengan memanfaatkan setiap peruntukan yang disalurkan Kerajaan Sarawak melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Di samping itu juga, langkah untuk memperbaiki titian usang dan sistem perparitan di jalan kampung dan rumah panjang turut diberi fokus untuk dinaik taraf.

“Langkah ini adalah untuk memastikan masyarakat di kawasan luar bandar turut sama menikmati arus pembangunan dan tidak lagi ketinggalan serta berusaha merapatkan jurang pembangunan di antara kawasan bandar dan luar bandar,” kata Huang.

Beliau berkata demikian kepada media ketika melakukan tinjauan kerja ke beberapa lokasi di Jalan Kim San dalam kawasan DUN Repok, semalam.

Di lokasi tersebut, peruntukan RTP sebanyak RM300,000 telah disalurkan bagi tujuan menaik taraf jalan simen sepanjang satu kilometer di Jalan Xin See, yang juga merangkumi pembinaan sistem saluran perparitan, pembersihan parit dan lain-lain.

Pada masa yang sama, Huang turut mengingatkan para kontraktor yang telah dilantik dan diamanahkan untuk melaksanakan projek rakyat agar menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

“Standard kerja itu perlu dipatuhi dan kita juga berharap agensi kerajaan yang telah diamanahkan memantau dan meluluskan projek rakyat ini mengutamakan kualiti kerja.

“Kita mahu setiap nilai wang yang diperuntukkan tersebut memberi impak dan kesan yang positif kepada rakyat melalui proses pembangunan yang berkualiti tinggi,” tegas Huang.

Projek tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini dan bakal memberi manfaat kepada sekitar 300 penduduk yang mendiami kawasan berkenaan.

Turut menyertai Huang pada lawatan kerja tersebut ialah Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS) Wong Zee Yeng serta ahli-ahli Pusat Khidmat DUN Repok yang lain.

  • oleh
  • Advertisement