Anda di sini

Festival filem Perancis Hollywood jalin hubungan dengan Amazon dan juga Netflix

 

FESTIVAL filem Perancis di Hollywood akan mempamerkan filem-filem dari dua gergasi striming Amazon dan Netflix pada bulan ini dalam usaha untuk mengangkat wayang Gallik (Perancis) di Amerika Syarikat (AS).

COLCOA Ke-23 – festival terbesar di dunia yang khusus untuk dunia perfileman Perancis – akan dibuka dengan ‘Les Miserables’, sebuah filem cereka penampilan sulung yang dibawa oleh Amazon selepas ia memenangi Hadiah Juri di Cannes pada musim panas ini.  

Ini merupakan kali pertama sebuah filem Amazon akan muncul di COLCOA, yang juga akan menayangkan ‘I Lost My Body’, sebuah filem animasi, yang diramal akan memenangi anugerah, mengenai tangan putus dan dibeli oleh Netflix selepas Cannes.

Hubungan tegang di antara platform striming dengan festival filem telah mencetuskan perdebatan yang hangat sejak beberapa tahun lalu, khususnya di Perancis, di mana Cannes melarang tayangan filem Netflix kononnya untuk melindungi pawagam yang tertekan.

Namun pengarah festival Francois Truffart memberitahu AFP bahawa COLCOA gembira untuk bekerja bersama platform dalam talian jika ia membantu membawa filem Perancis kepada penonton yang lebih ramai di Amerika.

“Bagi wayang Perancis, kita adalah pasaran yang sangat khusus, dan filem yang dikeluarkan di pawagam (di AS) sebenarnya sesuatu yang kecil,” katanya.

“Lima, enam tahun lalu, kita boleh membuat filem yang dapat mengaut $5 atau $6 juta di pawagam, sesuatu yang besar bagi filem asing.

“Namun pada hari ini, jika kita mengaut $1 juta, ia adalah hasil yang baik. Jadi ia menjadi amat, amat susah.”

- Tayangan terhad di atas skrin besar -

Truffart berkata dia tetap mahu melihat filem dikeluarkan di pawagam sebelum ia muncul dalam talian.

Sejak beberapa tahun lalu, Amazon dan Netflix telah memberi tayangan terhad kepada beberapa buah filem – khususnya calon untuk memenangi anugerah seperti ‘Roma’ dan ‘The Irishman’ – di atas skrin besar sebelum striming bermula.

‘Les Miserables’ dan ‘I Lost My Body’ akan muncul di pawagam terpilih di AS sebelum ia dimuat naik ke Amazon Prime dan Netflix.

“Kita tidak ada isu yang sama kerana kita bukan di Perancis,” kata Truffart.

“Senario kes terburuk adalah untuk tidak menayangkan lagi filem asing di pawagam di AS. Kita benar-benar perlu bekerja dengan semua pelakon yang berusaha sedaya upaya untuk perkara itu.”

COLCOA berlangsung pada 23-28 September di Los Angeles.

‘Les Miserables’ menangani isu kekejaman polis ke atas pendatang muda di Montfermeil kontemporari – latar belakang dalam novel Victor Hugo yang ditulis pada abad ke-19.

Turut ditayangkan nanti adalah drama pengganas ‘Young Ahmed’, yang memenangi Anugerah Pengarah Terbaik di Cannes untuk adik beradik Dardenne, dan ‘Adults in the Room’, sebuah filem aksi politik daripada Costa-Gavras, yang memenangi anugerah Oscar, berdasar buku tulisan bekas menteri kewangan Greece, Yanis Varoufakis, mengenai krisis eurozon.

Projek terbaharu ikon filem Perancis, Catherine Deneuve, ‘Happy Birthday’ juga akan ditayangkan, selain penyertaan rasmi Algeria bagi Anugerah Oscar, ‘Papicha’, tentang seorang wanita muda yang hidup pada waktu perang saudara yang dipacu oleh golongan Islamis di negara tersebut. — AFP