Anda di sini

Elak berpolitik, fokus tanggungjawab bantu rakyat

 Arunarnsin menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terlibat dalam kejadian angin kencang di Kampung Jaya Bakti.
SUMBANGAN: Arunarnsin menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terlibat dalam kejadian angin kencang di Kampung Jaya Bakti.

SANDAKAN: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Arunarnsin Taib mengingatkan pemimpin masyarakat supaya fokus kepada tanggungjawab membantu rakyat bukannya asyik bermain politik.

“Berhenti bermain politik kerana ia tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat, sebaliknya pemimpin masyarakat harus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum menegaskan, sebagai pemimpin sewajarnya mereka bekerja dan membangunkan rakyat di kawasan masing-masing.

“Ini bukan masanya kita main politik, pilihan raya sudah lepas… tidak perlu bercerita memburuk-burukkan pemimpin sendiri. Baik hentikan, kita fokus kepada pembangunan dan usaha membantu rakyat.

"Jangan tabur fitnah, lebih baik kita rapatkan saf dan mengeratkan silaturahim serta perpaduan sesama kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada enam keluarga yang rumah mereka mengalami kerosakan selepas terlibat bencana angin kencang di Kampung Jaya Bakti, kelmarin.

Arunarnsin berkata, apabila telah dilantik menjawat pemimpin di peringkat kampung, sewajarnya mereka melaksanakan tanggungjawab dan main peranan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Pemimpin masyarakat perlu berpegang pada asas perjuangan untuk membela kepentingan rakyat, bukannya asyik berpolitik sehingga mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Beliau juga mahu pemimpin masyarakat di kawasannya agar terus komited dalam menjaga kebajikan serta keperluan rakyat tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik.

Mengenai sumbangan kepada enam keluarga terlibat, beliau berkata ia adalah untuk meringankan beban mereka.

“Kita sudah mengambil senarai mangsa serta kerosakan rumah yang perlu dibaiki dan kita telah hantar permohonan bagi membaik pulih rumah terlibat kepada Jabatan Kebajikan,” katanya.