Anda di sini

Denny tetap optimis walaupun Sarawak tewas

Advertisement
Penyerang import Sarawak, Hudson Dias cuba merampas bola dari pemain UKM FC, Mohd Irwan Syazmin dalam aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran 2019 di Stadium Sarawak, Petra Jaya.
Penyerang import Sarawak, Hudson Dias cuba merampas bola dari pemain UKM FC, Mohd Irwan Syazmin dalam aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran 2019 di Stadium Sarawak, Petra Jaya.


KUCHING: Jurulatih interim Sarawak, Mohamad Denny Da’ail menegaskan peluang pasukannya masih terbuka untuk mara ke final Piala Cabaran 2019 meskipun mencatat kekalahan tipis 0-1 di tangan UKM FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam tadi.

Beliau bagaimanapun akui anak didiknya perlu bekerja dengan lebih gigih jika berhasrat untuk merealisasikan impian mara ke final.

“Kita masih ada separuh akhir kedua dan saya percaya dengan peluang kita. Namun kita perlu bekerja dengan lebih keras pada separuh akhir kedua untuk merealisasikan impian mara ke final. 

“Sudah tentu kita akan cuba berbuat sesuatu untuk menukar keputusan ini,” katanya selepas perlawanan tamat.

Menurut Denny, barisan pertahanannya banyak melakukan kesilapan mudah dan membuka ruang hingga memberi keyakinan kepada jentera penyerang UKM FC untuk sering mengasak gawang Sarawak.

Penjaga gol Sarawak, Shaiful Wazizi Mohammad wajar menerima pujian selepas cemerlang menggagalkan beberapa percubaan berbahaya penyerang UKM FC sepanjang perlawanan.

Gol tunggal UKM FC dijaringkan oleh pemain import, Milad Zanidpour Mansour pada minit ke-79 selepas menerima hantaran rendah Matteo Roskam.

Saingan separuh akhir kedua akan berlangsung pada 28 September ini (Sabtu) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.


 

  • oleh
  • Advertisement