Anda di sini

‘Chainblock Limbang’ berjaya muncul juara

Advertisement
 Dr Abdul Rahman dan Sufian (tengah) bersama pasukan-pasukan yang mengambil bahagian pada pertandingan tersebut.
BERENTAP: Dr Abdul Rahman dan Sufian (tengah) bersama pasukan-pasukan yang mengambil bahagian pada pertandingan tersebut.

LIMBANG: Pasukan menggelar diri mereka ‘Chainblock Limbang’ berjaya muncul juara dalam Pertandingan Tarik Tali Tertutup Bahagian Limbang 2019, anjuran Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang, bertempat di Kompleks Sukan Limbang di sini, Sabtu lalu.

Kemenangan itu juga membolehkan pasukan itu memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 serta piala iringan.

Manakala naib juara dimenangi pasukan Green Head 12 yang membawa pulang hadiah wang tunai RM800 berserta piala.

Tempat ketiga pula dikongsi bersama pasukan Red Qaawai dan Warisan Awat-Awat Lawas dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500 serta piala iringan.

Walikota Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat yang juga Pengerusi Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang memberitahu sebanyak lapan pasukan berentap pada pertandingan kali ini dengan tujuh pasukan adalah dari Limbang dan sebuah pasukan dari daerah Lawas.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Dr Abdul Rahman Ismail.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu turut mengharapkan persembahan terbaik daripada pasukan yang memenangi pertandingan kali ini untuk menghadapi kejuaraan antarabangsa pada 22 November nanti.

Beliau berkata, kejohanan tersebut juga merupakan acara memanaskan badan untuk menghadapi kejohanan antarabangsa terbuka Limbang menawarkan hadiah wang tunai sejumlah RM44,000 sekali gus merebut piala kejuaraan Piala Ketua Menteri.

Sementara itu, Sufian berkata sehingga kini seramai 33 peserta sudah mengesahkan penyertaan mereka untuk pertandingan tersebut dan penyertaan masih terbuka kepada mana-mana pasukan berminat mengambil bahagian.

Katanya, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftarkan pasukan masing-masing dengan melayari laman Facebook https://www.facebook.com/LimbangTOW/ atau laman web https://limbangtow.wixsite.com/limbangtow2019 .

Kejohanan antarabangsa itu dianjurkan oleh Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang dan Pejabat Residen Bahagian Limbang bermula pada 2007 atas ilham Dr Abdul Rahman.

Ketika itu ia lebih dikenali ‘Tarik Kalat’ One Borneo dan kemudian dinaik taraf kepada kejohanan gred lima bintang dan dinamakan Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Terbuka Limbang bermula 2017 hingga kini.

  • oleh
  • Advertisement