Anda di sini

Belanjawan 2020 diharap sedia dana mencukupi bagi NAP 2019

Advertisement

KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada bulan depan akan memperuntukkan dana secukupnya bagi pelaksanaan fasa pertama Dasar Automotif Negara (NAP) 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Madani Sahari berkata fasa pertama NAP 2019 yang akan bermula tahun depan sehingga 2023-2024, merupakan kesinambungan kepada NAP 2014 dengan penekanan kepada penambahbaikan dasar-dasar polisi dengan teknologi baharu termasuk aspek modal insan dan kecekapan tenaga pekerja.

“Kita sudah hantar (permohonan peruntukan) dan mengharapkan supaya perlaksanaan fasa pertama NAP 2019 itu dibuat dengan dana yang mencukupi,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Belanjawan 2020 itu dijadual dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Oktober depan.

Pada masa sama, Madani menggesa kalangan penggiat industri untuk turut memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan usaha pembangunan sektor terbabit.

“Kita sering beranggapan dalam belanjawan ini, hanya kerajaan sahaja yang beri tetapi pemain industri juga perlu memberi sokongan.

“Mereka mahukan insentif tetapi pada masa yang sama insentif itu tidak dapat diteruskan sekiranya aktiviti itu tidak dilaksanakan oleh pihak industri sendiri,” katanya.

Malah, kata beliau, dana yang disalurkan mungkin akan berkurangan sekiranya sasaran yang telah ditetapkan, terbukti gagal dicapai. — Bernama

Advertisement