Anda di sini

Balikpapan dan Samarinda, dua kota moden berhampiran ibu kota baharu Indonesia

Advertisement
Bandar Balikpapan yang bersih dan pesat membangun berasaskan aktiviti ekonomi minyak dan gasnya.
Bandar Balikpapan yang bersih dan pesat membangun berasaskan aktiviti ekonomi minyak dan gasnya.

BALIKPAPAN yang terletak di Kalimantan Timur ternyata bukan seperti yang majoriti kita di Sarawak sangka - kawasan yang masih diliputi hutan tebal dan mundur - sebaliknya Balikpapan merupakan sebuah kota yang moden.

Sejurus pesawat dinaiki dari Pontianak mendarat di Balikpapan, kami bertiga - Saibi Gi dan Lichong Angkui (wartawan Utusan Borneo Sarawak dan Sabah), dan Jeremy Veno (wartawan The Borneo Post) - kagum dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aji Muhamamad Sulaiman.

Kami tiba di bandar minyak dan gas itu pada petang 9 September 2019, dengan tujuan khusus - ingin mencari maklumat berhubung rancangan perpindahan ibu kota negara Indonesia sejak diumumkan Presiden Joko Widodo pada Ogos 2019.

Disebabkan tiada penerbangan langsung dari Kuching, kami menggunakan penerbangan Kuching ke Pontianak pada 8 September 2019, dan perlu bermalam semalam di bandar pusat pentadbiran Kalimantan Barat itu.

Pontianak menggunakan zon masa Waktu Indonesia Barat (WIB), kira-kira satu jam lewat berbanding waktu Malaysia. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio, Pontianak kira-kira jam 11.30 pagi WIB, selepas bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira 30 minit sebelumnya.

Pada hari berikutnya, kami menggunakan pesawat jam 2.10 dari Pontianak, dan memakan masa kira-kira sejam setengah untuk tiba di Balikpapan. Balikpapan terletak dalam zon Waktu Indonesia Tengah (WIT), sama zon waktu dengan Malaysia.

 Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aji Muhamamad Sulaiman yang menampilkan budaya penduduk tempatan dan alam sekitarnya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aji Muhamamad Sulaiman yang menampilkan budaya penduduk tempatan dan alam sekitarnya.

Ketibaan kami di bandara (panggilan Indonesia bagi lapangan terbang) disambut oleh Mejar Fadzlin Mohd Nasir yang merupakan Pegawai Perhubungan Tentera Malaysia di Balikpapan. 

Orangnya begitu gemar membantu meskipun kami tidak pernah mengenalinya. Seminggu sebelum berangkat ke Balikpapan, dia berjanji hendak membantu kami dari segi logistik dan penginapan. 

Dia meminta Koperal Aidal Ramli yang berasal dari Kedah, seorang stafnya, untuk membantu kami dari awal sehingga akhir. 

Kami dibawa ke sebuah hotel untuk menginap satu malam, kerana keesokan harinya pada 10 September, kami akan mewawancara Gubernur Kalimantan Timur yang berpejabat di Samarinda.

Angin laut yang nyaman bertiup pada malam pertama kami menginap di Balikpapan seakan-akan mengalu-alukan kami yang semuanya pertama kali menjejakkan kaki ke bandar yang akan terletak berhampiran dengan pusat pentadbiran baharu bagi Republik Indonesia.

Kami dibawa Fadzlin yang berasal dari Johor menjamu selera makanan laut. Restoran yang terletak di tepi laut itu amat sesuai untuk merehatkan minda selepas penat bekerja seharian. Kami turut disertai stafnya, Koperal Mohd Fikre Ahmad.

 (Dari kiri) Aidal, Saibi, Teddy, Fadzlin, Lichong, Jeremy dan Fikre.
(Dari kiri) Aidal, Saibi, Teddy, Fadzlin, Lichong, Jeremy dan Fikre.

Kami dimaklumkan kota ini memang dipenuhi warga luar yang datang bekerja dalam sektor minyak dan gas. Disebabkan itu, harga barangan agak tinggi berbanding di tempat lain.

Landasan lapangan terbangnya juga terletak di pinggir laut. Ketika pesawat hendak mendarat, jelas kelihatan pelantar minyak yang terletak tidak jauh dari pantai. 

DARI BALIKPAPAN KE SAMARINDA

Kami bersama Aidal tiba di Samarinda kira-kira jam 10 pagi selepas menempuh perjalanan jalan raya menghubungkan dua kota itu selama tiga jam yang terletak 115 kilometer antara dua bandar itu.

Di pertengahan jalan kami menikmati sarapan - Tauhu Semedang - di sebuah gerai tepi jalan yang sering menjadi persinggahan orang ramai dari dua kota tersebut.

Jalan raya satu lorong dan banyak lori melambatkan sedikit perjalanan. Sepanjang jalan terdapat perkampungan. Malah yang menariknya, masjid didirikan tidak jauh antara satu sama lain. Tidak sampai satu kilometer, akan kelihatan masjid yang lain di hadapannya. 

(Dari kiri) Esron, Saham, Saibi, Kamarul, Lichong dan Jeremy di pejabat Perwakilan Tentera Malaysia di Samarinda.
(Dari kiri) Esron, Saham, Saibi, Kamarul, Lichong dan Jeremy di pejabat Perwakilan Tentera Malaysia di Samarinda.

Ketibaan kami di Samarinda disambut Pegawai Perhubungan Tentera Malaysia di Samarinda, Kapten Kamarul Ariffin Ajhman. Orangnya peramah dengan dibantu dua stafnya, Koperal Saham Yak dan Koperal Esron Laidin. Mereka menunggu di Pejabat Perwakilan Tentera Malaysia di Samarinda.

Saham turut mengiringi kami ke Pejabat Gubernur Kalimantan Timur, Isran Noor. Dia kelihatan bersemangat sebab hendak membawa ‘orang kampung’ dari Sarawak. Dia berasal dari Sibu, manakala Kamarul dari Johor, dan Esron dari Sabah.

Sesi wawancara dengan Gubernur dijadual diadakan pada pukul 11 pagi. Kami menunggu giliran untuk dipanggil. Isran, melayani kami penuh keramahan. Ruang pejabatnya agak sederhana tetapi selesa.  

Jambatan lama dan baharu yang merentasi Sungai Mahakam di Samarinda.
Jambatan lama dan baharu yang merentasi Sungai Mahakam di Samarinda.

Samarinda sebuah kota yang moden, dilengkapi dengan berbagai kemudahan. Penulis cuma mengenali nama Samarinda menerusi ‘kain Samarinda’. Ia terletak di pinggir Sungai Mahakam. 

Populasi kota itu dianggarkan 850,000 orang. Jalan raya agak sesak ketika waktu kemuncak, dan dipenuhi dengan motosikal. 

 Masjid Pusat Islam yang dibina di tengah Samarinda Kota Tepian.
Masjid Pusat Islam yang dibina di tengah Samarinda Kota Tepian.

Ada cerita yang mengatakan Samarinda mengambil nama daratannya yang sama paras dengan air sungai, mengakibatkan sering banjir apabila air pasang - sama rendah (Samarinda).

Samarinda Kota Tepian, itu jolokan diberi kepada bandar yang menghasilkan arang batu. Kegiatan ekonominya juga bergantung dengan pembalakan. Ketika melalui jambatan menyeberangi Sungai Mahakam, akan kelihatan kapal-kapal berisi muatan arang batu dan kayu balak.

Penghuni bandar itu terdiri daripada Melayu, Cina, Jawa, Bugis, Madura dan Dayak. Beberapa dekorasi bangunan utama di bandar itu masih mengekalkan motif Dayak. 

Warga bandar itu bangga dengan kewujudan Masjid Pusat Islam Samarinda. Ia kelihatan bercahaya pada waktu malam. Menara utamanya setinggi 99 meter melambangkan Asmaul Husna yang merupakan 99 nama Allah.

Gereja Besar St Mary juga melambangkan keharmonian agama dalam kalangan penduduk di Samarinda. Ia tersergam indah di tengah-tengah kota yang sibuk. 

Bandar Samarinda yang kian membangun di Kalimantan Timur.
Bandar Samarinda yang kian membangun di Kalimantan Timur.

Penginapan tidak sukar untuk mencarinya di kota ini. Hotel berharga sederhana hingga ke mewah memang mudah ditempah.

Kami meninggalkan Samarinda pada 11 September 2019 dengan harapan akan kembali apabila ia menjadi bandar pinggiran ibu kota Indonesia yang baharu kelak. Pastinya, kegiatan ekonomi dan sosial di bandar ini akan bertambah pesat.

JALAN TOL SAMARINDA-BALIKPAPAN DALAM PEMBIKINAN

MEMANG jalan raya menghubungkan Samarinda dan Balikpapan perlu diganti dengan yang baharu - lebih besar dan memendekkan perjalanan antara dua kota itu. 

Jalan dua lorong yang berliku dan agak sesak dengan kenderaan pelbagai jenis menyebabkan sukar untuk memotong. 

Samsul Arifin, staf Biro Hubungan Masyarakat Sekretariat Daerah Provinsi Kalimantan Timur, membawa kami ke kawasan pembinaan jalan tol pada 11 September 2019.

Selepas mendapat kebenaran daripada pejabat pembinaan projek, kami dibenarkan masuk. 

Kilometer 46 jalan tol - tempat Jokowi berdiri sambil meninjau lokasi ibu kota baharu pada 7 Mei 2019 - merupakan arah tuju kami pada tengah hari itu.

Jalan tol pertama di Kalimantan itu kelak akan menghidupkan nadi perhubungan antara Samarinda dan Balikpapan, malah memangkin rancangan perpindahan ibu kota negara ke Kalimantan Timur.

Samsul (dua kiri) bersama kumpulan wartawan daripada Utusan Borneo dan The Borneo Post di Kilometer 46 jalan tol Samarinda-Balikpapan.
Samsul (dua kiri) bersama kumpulan wartawan daripada Utusan Borneo dan The Borneo Post di Kilometer 46 jalan tol Samarinda-Balikpapan.

Ia dibina dengan panjang 99,350 kilometer dan memendekkan perjalanan kepada sejam berbanding tiga jam menggunakan jalan sedia ada.

Samsul memberitahu kami kawasan Jokowi berdiri itu terletak kira-kira 15 kilometer dari pantai. 

"Laut boleh kelihatan dari bukit di hadapan itu dan begitu strategik lokasinya," ujarnya.

Kami mendapati kerja-kerja akhir bagi empat fasa pertama projek sedang rancak dilakukan. Kelihatan kenderaan berat dengan pekerja sibuk melaksanakan tugas masing-masing.

Kami begitu bertuah diberi peluang memasuki kawasan pembinaan selepas menunggu kira-kira setengah jam untuk proses mendapatkan kebenaran.

NAMA YANG PELIK

Kami kembali ke kota Balikpapan pada petang 11 September. 

Balikpapan Kota Beriman. Jolokan diberikan penduduk tempatan pada mulanya bagi kami yang pertama kali menjejaki bandar ini melambangkan latar belakang penduduknya yang begitu patuh dengan ajaran agama.

Sebenarnya Beriman merupakan singkatan bersih, indah, aman dan nyaman! 

Aidal menceritakan sudah menjadi kelaziman warga Indonesia gemar memanggil nama singkatan. 

"Mula-mula dahulu saya tidak faham apa yang mereka sebut 'nasgor'. Rupa-rupanya itu singkatan bagi nasi goreng," ujarnya sambil disahut kami bertiga dengan ketawa.

Ketawa bukan mengejek, tetapi sekadar berasa lucu.

Ada lagi! Pasar segar jadi 'pasgar'. Aduh, macam-macam. Tetapi apa nak dikata itu memang sudah budaya mereka. Lagikan Kalimantan Timur dipendekkan menjadi 'Kaltim'.

Pada 12 September 2019, kami dipertemukan dengan anak Sarawak yang bekerja sebagai pengurus operasi National Oilwell Varco Teddy Amau di bandar tersebut. 

Anak Iban berasal dari Baleh, Kapit itu mula bekerja di Balikpapan dengan syarikat minyak dan gas itu pada 2004. 

Teddy, 54, beristerikan warga Indonesia dari Menado. 

Kami berjumpa dengannya di Pejabat Perwakilan Tentera Malaysia Balikpapan.

Setengah hari melayan Teddy yang tidak pernah kering idea dalam berbicara, agak menghiburkan.

Menikmati Nasi Padang sebagai makanan tengah hari di Balikpapan.
Menikmati Nasi Padang sebagai makanan tengah hari di Balikpapan.

Kami dibawa Fadzlin untuk menjamu selera tengah hari di sebuah kedai menghidangkan nasi padang.

Saya pertama kali menikmati hidangan sebegitu. Banyak lauk dihidangkan di hadapan kami. Aneka pilihan. Penuh satu meja.

Kemudian dalam hati saya terdetik, semua lauk-pauk ini akan dikira. Sebenarnya, mereka akan mengira bayaran berdasarkan apa yang kita ambil sahaja. 

Fadzlin belanja makan tengah hari itu. 

Masa yang ada di kota itu dimanfaatkan kami sepenuhnya untuk meninjau keadaan sekeliling. Memasuki gedung pakaian dan kedai jualan cenderamata. 

Saya sering menyamakan Balikpapan seperti Bintulu dan Miri di Sarawak. Ada kawasan perindustrian minyak dan gas. Lori tangki pengangkut milik syarikat Pertamina sering kelihatan. 

Dari tepian pantai berhampiran Pelabuhan Semayang, kelihatan sayup-sayup daerah Penajam Paser Utara. Jika hendak ke situ dari Balikpapan, perlu menggunakan feri yang mengambil masa kira-kira sejam setengah. 

Sesungguhnya penduduk di kawasan itu amat bersyukur kerana sebahagian dari daerahnya akan dibangun menjadi ibu kota negara yang baharu.

Bandar Balikpapan yang bersih dan pesat membangun berasaskan aktiviti ekonomi minyak dan gasnya.
Bandar Balikpapan yang bersih dan pesat membangun berasaskan aktiviti ekonomi minyak dan gasnya.

Pada hari terakhir di Balikpapan, Aidal membawa kami ke sebuah gerai ikan bakar.

Sedang menikmati ikan bakar panas dengan sup asam, kami dihiburkan dua pemuzik jalanan dengan petikan gitar akustik sambil mendendangkan lagu 'Berita kepada kawan' nyanyian asal Ebiet G Ade. 

Mencari sesuap nasi di kota yang penuh dengan pelbagai ragam.

Adakah Balikpapan akan menerima pembangunan pesat setelah ibu kota negara selesai berpindah kelak?

Jika ada rezeki, saya tidak keberatan untuk menjengah kembali kemajuan kota ini.

  • oleh
  • Advertisement