Anda di sini

Bacaan IPU di Sarawak menurun, semua sekolah dibuka

Murid sekolah rendah  St Mary Kuching turun ke sekolah seperti biasa hari ini selepas cuaca jerebu tertambah baik. Gambar Muhammad Rais Sanusi
Murid sekolah rendah St Mary Kuching turun ke sekolah seperti biasa hari ini selepas cuaca jerebu tertambah baik. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Keadaan jerebu di negeri ini bertambah baik dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan penurunan di semua bahagian. 

Laman sesawang Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 10 pagi ini menunjukkan Sri Aman merekodkan IPU tertinggi di Sarawak pada paras tidak sihat dengan bacaan 122.

Manakala lain-lain bahagian di negeri ini mencatatkan IPU pada paras sederhana di bawah bacaan 100 iaitu ILP Miri (80), Miri (79), Kuching (75), Samarahan (74), Samalaju (72), Sarikei (70), Sibu (66), Mukah (64), Bintulu (60), Limbang (58), dan Kapit (55).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu berikutan trend jerebu yang menunjukkan penurunan, semua sekolah di semua daerah beroperasi dan dibuka semula hari ini. 

Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan berkata sebarang perubahan dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. 

Pihak sekolah juga  diingatkan untuk mengikut prosedur standard operasi yang ditetapkan serta merujuk kepada Prosedur Operasi Standard Penutupan Sekolah Berikutan Kejadian Jerebu yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.