Anda di sini

Angkara mabuk, dendam

Advertisement
 Mayat mangsa dijumpai di tengah jalan.
TERBARING: Mayat mangsa dijumpai di tengah jalan.

KUCHING: Seorang lelaki dijumpai mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh di tengah jalan antara Kampung Resak dan Kampung Diang, Jalan Mentung Merau, Serian awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, mangsa berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pada jam 4 pagi (22 September 2019) polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam keadaan berdarah di tengah jalan raya di antara Kampung Resak dan Kampung Diang, Jalan Mentung Merau Serian.

"Bertindak atas maklumat itu, polis bergegas ke tempat kejadian dan hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dedah Aswandy, polis turut menahan empat suspek lelaki dalam lingkungan usia 16 hingga 19 tahun.

Jelasnya, mangsa dan suspek dipercayai telah menghadiri satu majlis keramaian di kampung berdekatan.

"Punca kejadian dipercayai mabuk dan dendam lama. Pihak polis juga menjumpai serpihan botol kaca dan rantai mesin gergaji di tempat kejadian," katanya.

Pada masa sama beliau memberitahu, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

"Kesemua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement