Anda di sini

Rempuhan maut

Advertisement
 Keadaan di lokasi kemalangan maut di Jalan Matang, malam kelmarin.
TUMPUAN: Keadaan di lokasi kemalangan maut di Jalan Matang, malam kelmarin.

KUCHING: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas dirempuh sebuah kereta di persimpangan Jalan Matang berhampiran Asrama Luar Kampus Politeknik di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Efendy Othman, 30.

Menurutnya, semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah pusat bandar raya menuju ke Matang sekitar jam 8.50 malam.

“Setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta yang bergerak dari arah Matang ke Kuching dikatakan cuba memotong kenderaan lain lalu merempuh motosikal yang ditunggangi mangsa.

“Impak rempuhan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan telah disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beberapa anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan dan kenderaan yang terlibat kemalangan juga telah dibawa ke IPD Padawan untuk pemeriksaan PUSPAKOM dan Jabatan Kimia.

“Manakala, mayat mangsa juga telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Di SARIKEI, sebuah bas ekspres yang sedang dalam perjalanan dari Sarikei ke Kuching terbabas lalu terbalik berhampiran sebuah lencongan jalan tidak jauh dari Jambatan Awik, dekat Saratok, awal pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Nazry Mohamat berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar 4.20 pagi.

“Berdasarkan keterangan pemandu bas, terdapat berapa penumpang dalam bas terbabit, namun beliau tidak pasti jumlah sebenar.

“Difahamkan ketika melalui lencongan di lokasi terbabit, pemandu bas hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan dan terbalik,” katanya.

Kemalangan itu turut menyebabkan lalu lintas terganggu selama kira-kira satu jam sebelum bas itu berjaya dialihkan dengan bantuan jentera bomba.

Menurut Nazry, kesemua penumpang bas berkenaan menaiki bas gantian untuk meneruskan perjalanan.

  • oleh
  • Advertisement