Anda di sini

Protes anti-Sisi meletus di Mesir, lima penunjuk perasaan ditahan

Advertisement
 Orang ramai menuntut peletakan jawatan Sisi di Kaherah, Mesir kelmarin. — Gambar AFP
RIUH: Orang ramai menuntut peletakan jawatan Sisi di Kaherah, Mesir kelmarin. — Gambar AFP

KAHERAH: Protes kecil yang amat jarang sekali berlaku meletus kelmarin di Kaherah dan kota lain di Mesir untuk menuntut peletakan jawatan Presiden Abdel Fattah al-Sisi tetapi polis dengan cepat meleraikan mereka, wartawan AFP melaporkan.

Puluhan orang menyertai demonstrasi waktu malam di sekitar Dataran Tahrir – pusat revolusi 2011 yang menggu-lingkan pemimpin autokratik yang begitu lama memerintah negara tersebut.

Demonstrasi sedemikian amat jarang sekali berlaku selepas Mesir melarang tunjuk perasaan di bawah undang-undang yang diluluskan ekoran penggulingan bekas presiden Islamis Mohamed Morsi oleh tentera pada 2013.

Di tengah-tengah pasukan keselamatan yang begitu besar, termasuk polis rusuhan dan anggota polis preman, penunjuk perasaan telah ditahan.

Wartawan AFP menyaksi-kan sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan ditangkap dan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di sekitar dataran.

Di bawah pemerintahan Sisi, jeneral yang mengetuai penggulingan Morsi sebelum beliau menjadi presiden, pihak berkuasa telah melancarkan operasi yang meluas ke atas penentang, dan menahan ribuan aktivis Islam selain aktivis sekular dan penulis blog yang popular.

Rakaman demonstrasi, di mana puluhan melaung “Keluar Sisi”, dikongsikan dalam talian menggunakan hashtag #Tahrir_Square, yang ‘tren-ding’ di seluruh dunia.

Di sepanjang jalan yang bersebelahan dengan Sungai Nil, tidak jauh dari dataran, wartawan AFP melaporkan melihat kumpulan kecil orang yang melaungkan slogan anti-Sisi selepas dileraikan dengan cepat.

Protes berlaku selepas Mohamed Ali, seorang ahli perniagaan dari Mesir yang hidup dalam buangan dan tidak puas hati, menuntut penggulingan Sisi.

Kontraktor pembinaan itu telah memaparkan video tular dari Sepanyol sejak awal September yang menuduh Sisi dan angkatan tentera mengamalkan rasuah yang berleluasa.

Sisi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut pada minggu lepas di satu persidangan belia dan memberi jaminan kepada rakyat Mesir bahawa beliau “jujur dan setia” kepada rakyatnya dan angkatan tentera.

Dalam video terkini yang dipaparkan pada awal pagi kelmarin dalam akaun media sosialnya yang semakin berkembang, Ali menggesa rakyat Mesir untuk menunjuk perasaan di jalanan selepas perlawanan bola sepak yang amat dinanti-nantikan antara dua kuasa bola sepak di Kaherah, Al Ahly dan Zamalek, dalam Piala Super.

Video yang dikongsikan dengan meluas dalam talian turut menunjukkan protes bertaburan dalam pelbagai jumlah di Iskandariah, Al-Mahalla, Damietta dan Suez. — AFP

Advertisement