Anda di sini

Produk Malaysia dapat perhatian dalam kalangan 1.4 bilion pengguna di China

Advertisement

NANNING (China): Produk keluaran Malaysia semakin mendapat perhatian dalam kalangan 1.4 bilion pengguna di China, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata produk Malaysia juga sering mendapat jolokan antara produk terbaik dan berkualiti.

“Permintaan terhadap produk Malaysia di sini cukup tinggi kerana kualiti yang dimiliki, malah ada pengguna yang memberi cadangan supaya kita melakukan inovasi lagi ke atas produk kita seperti sarang burung dan Tongkat Ali.

“Saya sendiri ada merasa keluaran baharu Malaysia di sini (Nanning) dan ia amat lazat. Ini sesuatu yang amat menarik dan membuktikan pengeluar kita mempunyai inovasi baharu dan tidak mudah putus asa untuk menjadi pengeksport terbaik khususnya di China,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Astaka Malaysia di Ekspo China ASEAN (CAEXPO) 2019, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Tan Sri Halim Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Wan Latiff Wan Musa.

Melihat perkembangan itu, Darell berkata beliau akan mengarahkan timbalannya Ong Kia Ming untuk memastikan pasaran Malaysia terus berkembang di China khususnya di Shanghai sempena Ekspo Antarabangsa Import China (CIIE) pada tahun ini.

Antara produk keluaran Malaysia yang mendapat pasaran di China ialah sarang burung, produk berasaskan durian, makanan dan minuman serta barangan berasaskan kayu.

Sementara itu, Wan Latiff berkata reputasi produk Malaysia yang baik di China bakal membuka peluang kepada syarikat tempatan yang menyertai Ekspo China ASEAN (CAEXPO) 2019 untuk meraih nilai jualan yang tinggi.

“Pujian terhadap produk Malaysia merupakan perkara biasa di China. Ia mendapat kepercayaan yang tinggi daripada masyarakat China kerana kualiti dan standardnya, sekali gus meletakkan Malaysia di atas berbanding pesaing kita yang lain,” katanya.

Ekspo ASEAN-China kali ke-16 (CAEXPO) 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula 21 hingga 24 September ini menyaksikan sebanyak 167 syarikat termasuk 151 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka. — Bernama

Advertisement