Anda di sini

PM: Gerakan koperasi boleh bantu tangani peningkatan kos sara hidup

Advertisement
  Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) melakukan gimik perasmian pada Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi dan Sambutan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Majlis Countdown Halatuju Koperasi pada 2022 di Tamarind Square semalam. — Gambar Benama
PERASMIAN: Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) melakukan gimik perasmian pada Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi dan Sambutan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Majlis Countdown Halatuju Koperasi pada 2022 di Tamarind Square semalam. — Gambar Benama

CYBERJAYA: Gerakan koperasi boleh memainkan peranan besar dalam membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di bandar dan  luar bandar bagi menangani peningkatan kos sara hidup, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sumbangan koperasi bukanlah semata-mata mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi perlu juga dilihat dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat yang membawa kepada kemakmuran bersama.

“Dalam konteks berkoperasi, kuasa yang ada di tangan kita adalah dalam menentukan harga patut dengan kualiti dan jaminan penggunaan,” katanya menyampaikan amanat kepada 20,000 ahli Gerakan Koperasi pada majlis Countdown Hala Tuju Koperasi Selepas 100 Tahun, di sini semalam.

Mengambil contoh di Jepun, Dr Mahathir berkata Japanese Consumer Co-operative Union (JCCU) merupakan gabungan 320 koperasi pengguna dan dianggotai oleh 29 juta orang.

Katanya mereka bukan sekadar menguasai segmen pasaran dengan membekalkan barangan keperluan harian tetapi mampu menawarkan persekitaran yang lestari kepada komuniti setempat.

Ke arah itu, Dr Mahathir berkata beliau mengalu-alukan pelaksanaan program Barang Asas 100 (BA 100), anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd.

Program yang diluluskan kabinet pada 29 Ogos itu berteraskan e-dagang, yang akan mengumpulkan belian barang asas secara pukal mengikut permintaan oleh kira-kira 3,000 koperasi runcit di seluruh negara, katanya.

Dr Mahathir juga mengalu-alukan inisiatif baharu SKM untuk menggabungkan koperasi utama dalam sektor pemborongan dan peruncitan dengan menubuhkan koperasi peringkat menengah iaitu Gabungan Angkatan Koperasi Borong dan Runcit (AKRAB).

“AKRAB berperanan sebagai pelengkap dalam ‘co-operative linkages’ yang akan membolehkan koperasi menguasai keseluruhan rantaian pengedaran yang efektif khususnya dalam usaha mengurangkan harga barangan melalui pembelian secara pukal dan kemudahan pengedaran yang efisien.

Inisiatif itu, katanya perlu diperkukuh dan diperluaskan lagi melalui jaringan e-Coop Trade Centre yang dapat mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah, sekali gus berupaya menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran.

Mengenai perkembangan koperasi di Malaysia, Perdana Menteri berkata ia bermula sejak 1922 dengan penubuhan koperasi pertama iaitu Syarikat Bekerjasama-sama Jimat Cermat dan Pinjam Wang Pekerja-Pekerja Jabatan Pos dan Telekom Berhad di Taiping, Perak.

“Jika dilihat dari segi asas penubuhan koperasi itu sendiri, ia melibatkan sekumpulan individu bergabung secara sukarela untuk membantu diri sendiri dan menetapkan matlamat bersama koperasi tersebut,” katanya.

Selaras dengan tema majlis itu ‘Koperasi Pemacu Keusahawanan Negara’, Dr Mahathir berkata ia bersesuaian dengan perjalanan berliku sektor koperasi yang hari ini telah berjaya berperanan sebagai satu daripada peneraju utama dalam menjana pertumbuhan sosioekonomi negara.

“Gerakan koperasi di Malaysia telah mampu membantu kerajaan melaksana pelbagai program untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama,” katanya.

Dengan kekuatan gerakan koperasi Malaysia yang mencecah angka 14,237 melibatkan 6.1 juta ahli, Dr Mahathir berkata koperasi boleh bergabung dan menceburi bidang baharu dan mengembangkan aktiviti sedia ada untuk menguasai pasaran yang lebih luas.

Selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030, Perdana Menteri berkata koperasi merupakan antara platform keusahawanan yang penting bagi pembangunan ekonomi negara.

“Koperasi merupakan salah satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada anggota dan masyarakat,” katanya.

Dr Mahathir berkata koperasi perlu menguasai sistem rantaian nilai yang mantap dan ekosistem yang kondusif dan ini boleh dilakukan sekiranya koperasi melibatkan diri secara terus dalam aktiviti pembuatan, pembekalan, pengedaran dan perkhidmatan logistik.

Bersesuaian dengan cabaran ekonomi digital berikutan Revolusi Industri 4.0, katanya gerakan koperasi perlu mengorak langkah dengan lebih agresif untuk merebut dan menguasai pasaran global melalui platform eCo-op Trade Centre.

Sudah tiba masanya kita membuat anjakan paradigma supaya kita tidak berada di takuk sedia ada dan berupaya bersaing dalam era Industri 4.0,” kata Dr Mahathir. — Bernama

Advertisement