Anda di sini

Perodua sasar jual 1,000 unit Axia Style sebulan

PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyasarkan untuk menjual 1,000 unit sebulan varian baharu yang baharu diperkenalkan bagi model Axia, Axia Style, bersandarkan pada ciri menarik yang ditawarkannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata varian baharu itu ditampilkan dengan tiga ciri penampilan baharu daripada varian utama sedia ada, dijangka dapat memenuhi permintaan profesional muda dan pembeli kereta pertama kali.

“Kami menyasarkan  6,000 unit Axia dijual sebulan, dan daripada angka ini, 1,000 unit dijangka disumbangkan oleh varian Style,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Perodua Axia 2019 di sini, kelmarin.

Axia baharu itu telah menerima kira-kira 5,000 tempahan sejak tempahan dibuka bulan lepas dan pengeluar kereta nasional kedua itu menjangkakan kira-kira 27 peratus daripada unjuran jualan 235,000 unit pada tahun ini disumbangkan oleh model Axia.    

Ditawarkan dalam enam varian - E, G, GXtra, SE, AV and new STYLE - Axia baharu itu berharga antara RM24,090 dan RM43,190, di atas jalan (OTR) bagi Semenanjung Malaysia.

“Bagi tempoh lebih suku abad, Perodua telah menggerakkan Malaysia dengan kenderaan kompak berkualiti yang menawarkan kenderaan yang praktikal, boleh dipercayai, mudah dipandu dan kos pemilikan keseluruhan yang rendah.

“Bagi sebab ini dan lebih banyak lagi, Perodua Kancil dan Viva merupakan pilihan popular bagi seluruh generasi Malaysia yang membeli kereta pertama mereka,” kata Zainal Abidin.

Beliau berkata Axia baharu yang merupakan kenderaan cekap tenaga, juga menawarkan kemajuan besar dalam aspek keselamatan dan gaya Malaysia, sambil mengekalkan harga mampu milik.

“Adalah menjadi aspirasi kami untuk berkongsi sebanyak mungkin teknologi terbaharu kami dalam semua varian kenderaan kami dengan orang ramai,” katanya, sambil menambah syarikat menawarkan nilai untuk Axia baharu, meskipun mungkin terdapat kos tambahan, dengan menawarkan teknologi canggih terkini.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata aspirasi syarikat untuk mengekalkan harga mampu milik bagi semua kenderaannya akan menarik lebih banyak pelanggan yang disokong oleh penawaran teknologi canggih.

“Kami bekerjasama rapat dengan vendor (rantaian bekalan) untuk menguruskan kos bahan ke tahap yang kami boleh serap,” katanya, sambil menambah Perodua telah memulakan program pengurangan kos dalam tempoh empat tahun lepas untuk mengurangkan harga kenderaan melalui penambahbaikan di kemudahan pengeluarannya, menjadikan ia lebih cekap.

Sementara itu, Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin berkata syarikat itu telah mengeluarkan dan menjual kira-kira 3.7 juta kenderaan di seluruh negara bagi tempoh 26 tahun lepas.

“Kami berharap kami telah memberi impak yang besar kepada kehidupan harian rakyat Malaysia. Perodua jauh lebih banyak daripada sekadar menjual kereta, “ katanya.

Bagi tempoh lapan bulan pertama 2019, beliau berkata Perodua menjual lebih 160,000 kenderaan, menguasai 40 peratus perkongsian pasaran Malaysia.

“Axia 2019 adalah hasil daripada usaha penambahbaikan berterusan kami dalam bidang keselamatan, praktikal dan nilai keseluruhan dalam produk kami,” katanya. — Bernama