Anda di sini

Pemuda dijumpai mati disyaki dibunuh, empat suspek diberkas di Serian

Advertisement
Mayat mangsa tiba di Hospital Umum Sarawak hari ini untuk menjalani bedah siasat.
Mayat mangsa tiba di Hospital Umum Sarawak hari ini untuk menjalani bedah siasat.

KUCHING: Seorang lelaki dijumpai mati dalam keadaan berdarah dipercayai dibunuh di tengah jalan antara Kampung Resak dan Kampung Diang, Jalan Mentung Merau, Serian awal pagi ini. 

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, mangsa berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

"Pada pukul 4 pagi (22 September 2019) polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam keadaan berdarah di tengah jalan raya di antara Kampung Resak dan Kampung Diang, Jalan Mentung Merau Serian.

"Bertindak atas maklumat itu, polis bergegas ketempat kejadian dan hasil siasatan ditempat kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dedah Aswandy, polis turut menahan empat suspek lelaki yang berusia antara 16 hingga 19 tahun.

Jelasnya, mangsa dan suspek dipercayai telah menghadiri satu majlis keramaian di kampung berdekatan.

"Punca kejadian dipercayai mabuk dan berdendam lama. Pihak polis juga menjumpai serpihan botol kaca dan rantai mesin gergaji di tempat kejadian," katanya lagi. 

Pada masa sama beliau memberitahu, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

"Kesemua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," tegasnya. 

  • oleh
  • Advertisement