Anda di sini

Menilik kisah di sebalik Balikpapan

 Wartawan Utusan Borneo dan The Borneo Post bergambar dengan Mejar Fadzlin (tiga kiri) selepas makan malam di restornag pinggir laut di kota Balikpapan.
KENANGAN: Wartawan Utusan Borneo dan The Borneo Post bergambar dengan Mejar Fadzlin (tiga kiri) selepas makan malam di restornag pinggir laut di kota Balikpapan.

Kota terdekat dengan lokasi cadangan ibu kota baharu Indonesia

BEBERAPA hari selepas meninggalkan Balikpapan, igauan kembali menyegar kisah kembara jurnalistik ke kota minyak dan bumi batubara di hujung Kalimantan itu.

Benarlah kata orang, sekali kita minum air di Balikpapan, kita pasti teringat untuk kembali lagi. Barangkali juga kerana terkenal sebagai Kota BERIMAN, maka Balikpapan sentiasa menduga keimanan kita.

Apa tidaknya, kita berasa cukup tenang di sini. Indah pandangan kotanya bersih, warganya mesra melekat di hati. Apalagi bila teringat ikan bakar Selat Makassar, kepiting rangup dan jus dingin buah naga merah jambu.

Dua malam berturut, kami menyentap makanan segar di Jalan Mulawarman itu, betul-betul di pinggiran laut, dibelai hembusan angin malam dari seberang, dan sesekali disiram percikan ombak menghempas pantai.

Balikpapan semakin mapan - bersih, indah dan aman. Memang itulah persepsi setiap orang yang kali pertama menjejaki kota kedua terbesar selepas Samarinda di Kalimantan Timur (KALTIM) ini.

 Pintu gerbang dibina di beberapa laluan utama dengan tulisan `Balikpapan Kota Beriman'.
MERCU TANDA: Pintu gerbang dibina di beberapa laluan utama dengan tulisan `Balikpapan Kota Beriman'.

Justeru, tidak hairan jika Balikpapan mendapat jolokan Kota BERIMAN, iaitu akronim kepada 'Bersih, Indah Aman dan Nyaman.'

Sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aji Muhammad Sulaiman menuju ke dada kota yang sedikit berselimut kabus, laluannya sungguh bersih terjaga rapi, dihiasi seni landskap mempersonakan, sekaligus memberikan kita ketenangan jiwa sepenuhnya. Ada taman di dalam hati.

Rakan setugas, Saibi Gi dan Jeremy Veno, kelihatan begitu bersemangat menghayati panorama indah itu. Sesekali mereka seperti mengelamun. Mungkin memikirkan keluarbiasaan kota yang kali pertama mereka jejaki ini.

Seperti mereka, saya juga optimis Balikpapan memangnya mengamit setiap orang untuk kembali datang. Dalam kembara singkat itu, kami cuba menilik sebanyak mungkin rahsia di sebalik Balikpapan dan Kaltim seluruhnya.

Berkeluasan lebih 503,000 km persegi dan berpenduduk lebih 650,000 orang, kota berlambangkan beruang madu ini juga menggunakan motto `Balikpapan Kubangun, Kujaga, dan Kubela' yang menjadi pegangan warganya.

Kekuatan semangat penduduk ditambah lagi dengan semboyan `Gawi Manuntung Waja Sampai Kaputing'  yang bermaksud  'apabila memulai suatu pekerjaan, harus sampai selesai.'

Saya menemui bermacam kategori warga di Balikpapan. Semuanya ramah-tamah belaka. Memang pun, kota ini jadi pertemuan warga dari berbagai penjuru wilayah Indonesia untuk mencari kehidupan kerana di sinilah pintu gerbang perekonomian Kaltim.

Bangunan kotanya serba moden, dengan banyak mercu tanda kemajuan menongkat langit serata tempat. Malah, lapangan terbangnya saja antara yang termoden dan tercantik di Kalimantan, kalaupun tidak di seluruh Indonesia.

 Pemandangan di sisi bangunan Plaza Balikpapan yang merupakan antara pusat beli-belah tumpuan di kota minyak itu.
MAJU: Pemandangan di sisi bangunan Plaza Balikpapan yang merupakan antara pusat beli-belah tumpuan di kota minyak itu.

Berjalan di tengah jantung kota ini, banyak bank, hotel dan gedung beli-belah menguak pintu kepada pedagang dan pelancong. Perkiraan mutakhir, terdapat 47 bank, 67 hotel, tujuh pusat beli-belah utama dan 13 pasar tradisional.

Kota ini turut dilengkapi kemudahan asas seperti sistem pengangkutan awam yang teratur, baik dalam kota mahupun ke luar kota, sekali gus memudahkan pergerakan kepada setiap pengunjung yang berdatangan.

Lebih penting di sini adanya sejumlah 15 hospital moden lagi ternama, yang menawarkan pelbagai rawatan perubatan dan kesihatan moden.

Inilah antara kisah penemuan kecil dalam kembara singkat di kota ini. Suatu dimensi kehidupan baharu. Sebuah kota yang pesat membangun. 

 Penulis bergambar di hadapan pejabat Perhubungan Tentera Malaysia di Balikpapan.
KENANGAN: Penulis bergambar di hadapan pejabat Perhubungan Tentera Malaysia di Balikpapan.

Hakikat ini turut diakui oleh Pegawai Perhubungan Tentera Malaysia (PPTM) Balikpapan, Mejar Fadzlin Mohd Nasir, bahawa Balikpapan yang diakrabinya sejak lebih setahun lalu, tidak seperti gambarannya sebelum datang ke sini.

Malah, dia yang berasal dari Johor hanya mengambil masa beberapa hari menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran kerana keadaannya sama seperti di Malaysia.

"Waktu mendapat arahan bertugas di sini, rasanya macam satu kejutan juga, sebab gambaran kita mengenai Indonesia ini adalah kesesakan jalan dan kepadatan penduduk seperti di Jakarta dan Batam.

"Sesampai di lapangan terbang Balikpapan, saya nampak airportnya baharu. Saya sampai waktu siang, jadi dapat tengok suasana. Terus ke hotel di tengah kota. Bandarnya pula nampak moden dan bersih.

"Saya rasa dalam masa sebulan saja, saya sudah menerima suasana di sini. Makanannya juga tidak jauh berbeza, cuma tidak jumpa mee kari. Oleh kerana saya pernah bertugas di Tawau selama empat  tahun, makanan seperti Nasi Kuning dan Bakso adalah biasa, begitulah di sini," katanya.

Fadzlin mengakui dalam tempoh dua bulan saja, dia dan keluarga sudah menikmati kehidupan di Balikpapan sama seperti di kampung halaman sendiri, apatah lagi dengan dua anggota bersamanya - Koperal Mohd Fekri Ahmad dan Koperal Mohd Aidal Ramli - yang turut membawa keluarga masing-masing.

 Balikpapan Ocean Square antara bangunan moden di kota itu.
LAMBANG KEMAKMURAN: Balikpapan Ocean Square antara bangunan moden di kota itu.

Balikpapan adalah kota terdekat dengan lokasi cadangan ibu kota baharu Indonesia, di persekitaran kawasan antara Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara, iaitu sekitar 50km jaraknya dari kota ini.

Kami melewati kedua-dua tempat berkenaan, iaitu Semboja dan Sepaku, dalam perjalanan dari Balikpapan ke Samarinda. Kawasannya dilitupi hutan tebal, di antara kawasan datar dan sedikit belahan berbukit.

Mengikut perancangan, pembangunan ibu kota baharu itu mengutamakan aspek kelestarian alam sekitar.

Pada hari terakhir kembara di Balikpapan, Koperal Aidal Ramli,  membawa kami ke sebuah gerai ikan bakar. Sedang menikmati ikan bakar panas-panas dengan sup asam, kami didatangi dua pemuzik jalanan, membawa `Berita Kepada Kawan' (ciptaan Ebiet G Ade) yang sungguh menghiburkan.

Selesai menikmati hiburan pengamen muda itu, kami pun berangkat menuju lapangan terbang untuk berangkat pulang -- meninggalkan segumpal kenangan di sebalik Balikpapan yang pastinya terus berkembang mapan.

 Pemandangan di sisi bangunan Plaza Balikpapan yang merupakan antara pusat beli-belah tumpuan di kota minyak itu.
MAJU: Pemandangan di sisi bangunan Plaza Balikpapan yang merupakan antara pusat beli-belah tumpuan di kota minyak itu.