Anda di sini

Kuching FA kembali mencabar, berpesta gol benam Tun Razak FC

Sufizal (kiri) dikawal ketat dua pemain Tun Razak dalam aksi Liga M3 2019 di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam tadi.
Sufizal (kiri) dikawal ketat dua pemain Tun Razak dalam aksi Liga M3 2019 di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam tadi.


KUCHING: Skuad Kuching FA kembali menemui rentak kemenangan dalam kempen Liga M3 2019 selepas membelasah pasukan tercorot, Tun Razak FC, 6-0 di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam tadi.

Tuan rumah tidak menunggu lama apabila Sufizal Ismail membuka jaringan seawal minit ketiga selepas menerima lorongan cantik dari Dzulazlan Ibrahim.

Minit ke-37 giliran Samsu Alam Abdul Samad mencetak nama selaku penjaring selepas melakukan percubaan dari luar petak penalti.

Berselang babak kedua, Kuching FA menggandakan asakan demi asakan dalam usaha menambah jaringan.

Gol ketiga Kuching FA menjelma pada minit ke-50 hasil jaringan pemain sayap, Mohd Zainuddin Bohri selepas menyambar bola gagal ditampan kemas penjaga gol lawan, Mohd Hafidz Romly.

Anak didik Ideris Untong terus selesa selepas bek Tun Razak, Mohd Syazwan Mohamed Rani menjaringkan gol sendiri pada minit ke-63.

Impian kelab berpangkalan di ibu negara itu untuk cuba bangkit terus kempunan setelah Kuching FA menambah gol kelima minit ke-77 hasil jaringan Dzulazlan menerusi sepakan penalti.

Pesta gol Kuching FA diteruskan dengan jaringan keenam oleh Muhammad Yazid Ahzhar pada minit ke-79.

Kuching kini mengumpul 46 mata namun kurang satu perlawanan untuk kekal di tangga kedua liga.

Skuad itu akan meneruskan kempen menentang BTK FC pada 28 September di Padang Astaka, Kuala Berang, Terengganu.