Anda di sini

Kejohanan Golf Malaysian Masters berlangsung di Sarawak tahun depan 

Advertisement
 Leunkwang (empat kanan) menerima hadiah daripada Ahmad Sarji (tiga kanan) sambil disaksikan (dari dua kiri) Pegawai Peraturan Pertandingan Fritz Katzengruber, Nik Mustapha, Johar, Din dan Henry di Kuching semalam.
TAHNIAH: Leunkwang (empat kanan) menerima hadiah daripada Ahmad Sarji (tiga kanan) sambil disaksikan (dari dua kiri) Pegawai Peraturan Pertandingan Fritz Katzengruber, Nik Mustapha, Johar, Din dan Henry di Kuching semalam.

KUCHING: Professional Golf of Malaysia (PGM) dan Jelajah Pembangunan Asian (ADT) merancang menganjurkan Kejohanan Golf Malaysian Masters di Sarawak pada tahun depan.

Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata Malaysian Masters yang dianjurkan itu mirip dengan Kejohanan Golf Terbuka Malaysia.

“Malaysian Masters sepatutnya dianjurkan pada tahun ini namun disebabkan beberapa perkara kita terpaksa menganjurkannya pada tahun depan,” katanya pada sidang media Kejohanan Golf PGM MNRB ADT Sarawak di Kelab Golf Sarawak (KGS), Petra Jaya di sini semalam.

“Kita telah mendapat sokongan daripada kerajaan Sarawak dan saya telah berjumpa dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada dasarnya bersetuju dengan cadangan  menganjurkan kejohanan itu di Sarawak.

“Seramai 25 pemain golf terkemuka dalam ‘PGM Order of Merit’ akan berentap pada Malaysian Masters manakala selebihnya perlu memenuhi kriteria ditetapkan oleh ADT,” jelasnya.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan penaja berkait rapat dengan industri pelancongan untuk menjadikan Malaysian Masters sebagai salah satu program pelancongan di Sarawak.

“Kita akan mengumumkan venue, tarikh dan hadiah wang tunai selepas mengenal pasti bagaimana kejohanan ini memberi manfaat kepada pelancongan Sarawak,” ujarnya.

Katanya, PGM menlahirkan rasa bangga kerana diberi peluang membawa Kejohanan Golf PGM MNRB ADT ke Sarawak untuk tahun kesembilan.

Ahmad Sarji berkata, kejayaan jelajah itu banyak bergantung kepada tajaan penaja sambil berterima kasih dengan Malaysian National Reinsurance Berhad (MNRB) terus menyokong kejohanan itu untuk tahun kelapan berturut-turut.

“MNRB banyak menyumbang kepada kejohanan ini merupakan sebahagian Jelajah Pembangunan Asian (ADT) dan menyediakan mata Official World Golf (OWGR) kepada peserta mendapat kedudukan enam terbaik.

“Kejohanan in sangat penting kerana membolehkan peserta negara-negara terbabit mendapat seberapa banyak mata ranking agar dapat memperbaiki kedudukan dalam OWGR.

“Memandangkan kebanyakan ADT dianjurkan di Malaysia, ia dapat membantu menjimatkan kos pemain-pemain negara berbanding jika menyertai pertandingan ADT di luar negara,” jelas beliau.

Dengan bantuan mata ranking dunia membuka peluang kepada pemain-pemain negara menghantar kuota penuh dua pemain lelaki dua wanita pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Sejak penubuhan ADT, Malaysia kini mempunyai lebih 10 pemain dalam OWGR termasuk Gavin Kyle Green yang bermain dalam Jelajah Eropah.

Mengenai Kejohanan Golf PGM MNRB ADT di Sarawak, Ahmad Sarji berkata penganjuran terpaksa disingkatkan kepada dua pusingan berbanding empat pusingan dirancang awal berikutan masalah jerebu.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan MNRB, Datuk Johar Che Mat berkata pihaknya terus menyokong usaha berterusan PGM dalam mempromosi dan mengekalkan pembangunan golf.

Katanya, adalah penting bagi pemain-pemain negara diberi landasan pendedahan meningkatkan skil dan memupuk daya saing diperlukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

“Kami percaya Jelajah PGM membolehkan mereka mencapai semua terutamanya sembilan pertandingan disokong ADT dalam Kalendar PGM 2019,” tambah Johar.

Seramai 83 pemain menyertai jelajah bermula dari 18 September hingga semalam dengan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan RM225,000.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden Kumpulan MNRB Mohd Din Merican, Pengurus Besar PGM, Nik Mustapha Nik Mohamed dan Kapten KGS, Henry Chuo.

Sementara itu, keadaan jerebu tidak menghalang pemain-pemain negara memberikan aksi memberangsangkan sekali gus mendominasi dua tempat teratas.

Leunkwang Kim dan Daeng Rahman menduduki tempat pertama dan kedua selepas masing-masing mencatat 137 dan 138 pukulan. Tempat ketiga milik pemain Amerika Syarikat, Samuel Cyr dengan 138 pukulan.

Pemain Thailand, Chonlatit Chuenboonngam di tempat keempat dengan 139 pukulan disusuli M Sasidaran dari Malaysia di tempat kelima dengan 140 pukulan.

Advertisement