Anda di sini

Ibu kota baharu Indonesia, kota ‘hijau’ dan ‘pintar’

Isran menunjukkan Utusan Borneo dan The Sunday Post (The Borneo Post) ketika diwawancara secara eksklusif.
Isran menunjukkan Utusan Borneo dan The Sunday Post (The Borneo Post) ketika diwawancara secara eksklusif.

Artikel eksklusif Utusan Borneo menerusi kunjungan ke Samarinda dan Balikpapan 

TIADA lagi ibu kota yang padat bangunan dan bilangan penduduk yang tinggi seperti di Jakarta apabila pusat pentadbiran Indonesia dipindah ke Kalimantan Timur seperti diumumkan Presiden Joko Widodo pada Ogos lepas.

Ibu kota negara itu kelak akan dibangun dengan mengutamakan alam sekitar - 70 peratus ‘hijau’ dan 30 peratus lagi perkotaan, seperti dinyatakan Gubernur Kalimantan Timur (KALTIM) Isran Noor.

“Kita terbalikkan (berbanding Jakarta), hanya paling maksimum 30 peratus saja pembangunan dan selebihnya itulah perhutanan kembali.

“Perencanaan ibu kota baharu ini oleh Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas) sebagai ‘Green City’, ertinya kota yang hijau. 

“Ada lagi istilah Smart City, kota yang pintar, kemudian ada juga disebut Forest City, kota hutan, dan kota yang berkelanjutan dan berkesinambungan sampai ke hari kiamat,” katanya ketika memberi analogi ibu kota baharu.

Menurutnya, pembangunan pusat pentadbiran kerajaan dilihat dari perspektif jangka masa panjang.

“Di kawasan itu nanti tidak akan ada banyak penduduk. Penduduknya hanya untuk memenuhi keperluan rangka pemerintahan, pegawai-pegawai pemerintah, kakitangan jabatan kerajaan.

“Sebahagian besar kawasan dikhaskan untuk lingkungan alam sekitar. Kalimantan ini merupakan paru-paru dunia, termasuk saudara-saudara di Sabah, Sarawak dan juga Brunei. 

“Ini harus dijaga baik. Kaedah-kaedah lingkungan tidak boleh diabaikan. Harus menjadi keutamaan dalam membangun sebuah perkotaan,” jelasnya ketika diwawancara Utusan Borneo dan The Borneo Post, pada 10 September 2019 di pejabatnya, di Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia.

Cenderamata kepada Isran daripada pengurusan Utusan Borneo dan The Borneo Post.
Cenderamata kepada Isran daripada pengurusan Utusan Borneo dan The Borneo Post.

Pejabat Isran menjadi tumpuan media tempatan dan asing sejak Jokowi mengumumkan Kalimantan Timur akan dibangunkan sebagai ibu kota negara baharu - menggantikan Jakarta.

Antara media yang disebut berkunjung untuk wawancara, media dari Singapura, Australia dan Belanda. Ertinya, kunjungan Utusan Borneo dan The Borneo Post merupakan media pertama dari Malaysia.

Gubernur merupakan jawatan setaraf Ketua Menteri atau Menteri Besar jika di Malaysia. Pejabatnya terletak di Samarinda - kira-kira 100 kilometer dari Balikpapan - amat sibuk melayani para tetamu.

Samarinda terkenal dengan aktiviti ekonominya, arang batu, manakala Balikpapan sebagai kota minyak dan gas.

Ini menjadikannya sebagai kota pemangkin dalam rancangan membina ibu kota negara baharu yang belum diberi nama, malah belum diumumkan koordinat secara khusus oleh Jokowi.

Beliau sekadar mengumumkan ia terletak di sebahagian Kabupaten Penajam Paser Utara dan sebahagian Kabupaten Kutai Negara. 

Isran enggan mendedahkan lokasi sebenar ibu kota itu dalam wawancara eksklusif yang mengambil masa kira-kira setengah jam. 

Projek lebuh raya tol menghubungkan Balikpapan dan Samarinda yang kini dalam proses pembikinan dan dijangka siap tidak lama lagi.
Projek lebuh raya tol menghubungkan Balikpapan dan Samarinda yang kini dalam proses pembikinan dan dijangka siap tidak lama lagi.

Meskipun dibangun dengan keluasan kira-kira 250,000 hektar - lebih besar dari Jakarta seluas 60,000 hektar - beliau menjamin tiada kemusnahan hutan yang besar akan terbabit kerana kerajaan sejak dahulu mempunyai rancangan penjagaan alam sekitar terutama membabitkan hidupan liar seperti orang utan.

Bukan sekadar memelihara perihal alam sekitar, rancangan perpindahan dari Jakarta yang dianggarkan dihuni kira-kira 10 juta penduduk, tidak akan meminggirkan soal kependudukan.

“Lokasi yang akan menerima kesan dari migrasi dan urbanisasi dan itu akan kita perhalusi tataruang (susun atur), dan sudah pasti kegiatan masyarakatnya akan menjadi lebih besar,” ujarnya.

Pusat pentadbiran Kalimantan Timur yang menempatkan pejabat Gubernurnya di Samarinda.
Pusat pentadbiran Kalimantan Timur yang menempatkan pejabat Gubernurnya di Samarinda.

Mengenai tanah adat penduduk asal dari suku Dayak, beliau menegaskan ia bukan isu seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Tanah adat terletak di daerah pedalaman dan selatan Kabupaten Paser. Itu (kawasan ibu kota baharu semuanya tanah negara, dan dulu ada orang yang dipindahkan dari Pulau Jawa. Ada pun milik perseorangan cuma kecil, orang asal di situ tidak terkesan,” katanya.

Penduduk Kalimantan Timur menurutnya amat gembira dan menyambut baik perpindahan pusat pentadbiran dari Jakarta, sebuah metropolis yang terlalu padat penduduknya. 

Bagi beliau, pemilihan Kalimantan Timur sesuai dengan kedudukan Borneo yang bebas gempa bumi dan bencana alam lain. 

“Kalimantan Timur pastinya bersedia. Bagi saya tidak ada masalah lokasi ibu kota negara baharu itu terletak di Kalimantan Tengah, Barat atau Utara dan Timur, yang pasti saya menyokong keputusan Presiden menetapkan Kalimantan Timur.

“Saya sudah bercakap dengan Gubernur lain di Kalimantan bahawa mereka juga menyokong sepenuhnya (pemilihan Kalimantan Timur). Kita pasti sedia kerana ini keputusan negara dan yang merancangnya ialah pemerintah pusat,” jelasnya.

Turut menjadikan Kalimantan Timur sesuai dari pandangan Isran ialah logistik di Samarinda dan Balikpapan. Dua bandar yang mempunyai kira-kira setengah juta penduduk itu masing-masing mempunyai lapangan terbang antarabangsa - Lapangan Terbang Sultan Aji Muhamad Sulaiman (Balikpapan) dan Lapangan Terbang Aji Pangeran Tumenggung Pranoto. 

Ia cuma perlu dinaik taraf agar mampu menampung ketibaan pesawat dan pelawat yang lebih banyak. 

Sistem perhubungan darat juga akan lebih baik dengan siapnya lebuh raya tol dari Samarinda ke Balikpapan dan seterusnya disambung ke Penajam Paser Utara dan Bontang. Semua ini akan memudahkan pergerakan di kawasan ibu kota negara baharu kelak.

Pelabuhan laut juga bertaraf antarabangsa yang wujud bagi menyokong aktiviti ekonomi berasaskan sumber asli di Kalimantan Timur - arang batu, minyak dan gas.

Pusat Islam di Samarinda yang merupakan antara mercu kemegahan di kota Kalimantan Timur.
Pusat Islam di Samarinda yang merupakan antara mercu kemegahan di kota Kalimantan Timur.

Satu keunikan diungkap Isran ialah dua ibu kota di sebuah pulau. Beliau berkata tidak ada di mana-mana bahagian di dunia, ada dua ibu kota negara yang berbeza di sebuah pulau, yakni dimiliki Indonesia dan Brunei. 

Tidak kurangnya kewujudan dua ibu negeri Malaysia - Sarawak dan Sabah - yang juga bakal menerima kesan daripada perpindahan ibu kota negara dari Jakarta kelak.

Sudah pasti dengan perpindahan Jakarta ke Kalimantan Timur, akan menjadikan aktiviti ekonomi di Borneo lebih rancak. 

“Dari segi ekonomi untuk Sarawak dan Sabah, akan ada kesannya ekonomi apabila ibu kota negara baharu dekat dengan Miri dan Labuan, Sabah dan Kuching dan Bandar Seri Begawan. Pasti akan ada kesan ekonomi. Kita serumpun - rumpun Melayu,” katanya.

Bagaimanapun beliau pasrah akan wujud kegiatan penyeludupan di sempadan. Tetapi yang pasti ia akan dikawal serapi mungkin.

(Artikel seterusnya akan menceritakan perjalanan wartawan Utusan Borneo ke Kalimantan Timur)